36 ADIL, PRIHATIN DAN BERKEBAJIKAN
Dalam urusan dasar luar negara, Malaysia disarankan terus mengambil sikap tegas dan berani, serta tidak memihak kepada kuasa besar, terus menjuarai isu-isu negara umat Islam supaya Malaysia disegani oleh rakan di mata dunia. Letakkan keutamaan kerjasama serantau daripada kalangan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama negara- negara Islam (OIC) dan negara-negara berkecuali (NAM) terlebih dahulu. Namun, hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia.
I. SERUAN PENYATUAN UMMAH
PAS konsisten mengajak semua pihak sama ada parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat untuk memperkukuhkan perpaduan ummah, disatukan orang Melayu Islam dan diajak orang bukan Islam yang tidak ekstrem, mengikut acuan Sirah Rasulullah SAW. Bila umat Islam lemah, kita akan hilang kekuatan. Bila kita tidak bersatu, kepentingan orang Melayu Islam semakin hari semakin dipijak dan hak keistimewaan agama Islam dan hak orang Melayu dan bumiputera semakin dicabar.
Seruan penyatuan ummah ini tidak menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam, bahkan kita akan terus memelihara kebebasan beragama dan memberikan keadilan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kita wajib menjaga perpaduan ummah yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang.