Pergi ke kandungan

Laman:PELITA BRUNEI - 1 SEPTEMBER 1957E.pdf/4

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf

- 4 -

KENYATAAN KAPADA ORANG 2 RAMAI MENGENAI JALAN RAYA DARI DANAU KA-ANDUKI

Pejabat Kerja Raya dan Pejabat Roads Section sedang menerima beberapa banyak perminta'an daripada Pegawai 2 Keraja'an kerana meminta kebenaran melalui jalan baharu dari Danau ka-Anduki.

Jalan yang baharu ini sedang dalam pembena'an dan mengguna-kan terus jalan ini sudah barang tentu akan menggendalakan pekeraja'an yang sedang di-jalankan.

Satelah pekerja'an membena jalan ini siap di mana 2 bahagian, maka jalan itu akan di buka untok keguna'an orang2 ramai, tetapi buat semantara Pegawai2 Keraja'an tidak di-benarkan menggunakan jalan baharu ini kechuali dalam perkara2 yang sangat mustahak, dan ini pun hanya dengan kebenaran dari Tuan State Engineer atau pun mana2 orang yang di lantek oleh-nya untok memberi kebenaran saperti itu.


PERTANDINGAN BACHA'AN KORAN SA-NEGERI BRUNEI

Kira2 500 orang telah hadzir di Masjid Pekan Brunei pada hari Ahad 11 haribelan August, 1957 menyaksikan Peraduan Bacha'an Koran Al-Karim Sa-Negeri yang telah di-langsongkan dengan selamat-nya di bawah anjoran Persatuan Kesatuan Islam, Brunei.

Di antara para hadzirin di-Majlis itu ia lah Yang Teramat Mulia Seri Peduka Duli Pengiran Bendahara; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar, Haji Ahmad bin Daud, Pegawai Daerah Brunei dan lain2-nya.

Hadiah2 kapada pembacha2 Koran yang menang dan kapada tiap2 orang yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu telah di-sampaikan oleh Yang Teramat Mulia Seri Peduka Duli Pengiran Bendahara. Keputusan-nya ada-lah saperti berikut:-

Bahagian orang2 tua: Perisai Pusingan kurnia daripada Duli Yang Maha Mulia Maulana Al-Sultan, Sir Omar Ali Saifuddin dan dua lagi hadiah untok Johan Peraduan ini telah di-menangi oleh Awang Mohamed Yusof bin Abdul Latiff dari Bandar Brunei. Hadiah yang kedua Piala Perak Pusingan daripada Yang Mulia Pehin Orang Kaya Di-Gadong di-menangi oleh Majidi bin Haji Mohamed dari Daerah Belait, dan Hadiah yang ketiga di-menangi oleh Masri bin Abon dari Seria.

Bahagian kanak2 lelaki: Hadiah pertama Piala Perak Pusingan daripada Persatuan Kesatuan Islam Brunei di-menangi oleh Bahaki bin Jamaludin dari Seria pada yang kedua berturut2, Yang kedua Ja'afar bin Haji Arsad dari Seria dan Hadiah yang ketiga Ismail bin Haji Abdul Rahim dari Daerah Brunei.

Bahagian kanak2 perempuan: Hadiah Pertama Piala Perak Pusingan daripada Persatuan Kesatuan Islam Brunei di-menangi oleh Dayang Majidiah binte Abang Haji Ali dari Seria; Hadiah yang kedua di-menangi oleh Dayang Rokiah binte Mohamed Noor dari Tutong; dan Hadiah yang ketiga di-menangi oleh Dayangku Zubaidah binte Pengiran Matasan dari Daerah Belait.


LANTEKKAN SAMENTARA AHLI2 MAJLIS MASHUARAT NEGERI

DYMM Maulana Al-Sultan, dengan persesuaian TYT Pesuroh Jaya Tinggi bagi Negeri Brunei telah melantek Inche' Hamidoon bin Awg. Damit, Pg. Ahmad bin Pg. Anak Hj. Mohd. Yassin, dan Che'gu Awg. Jamil bin Awg. Umar sabagai Ahli2 Samentara Majlis Mashuarat Negeri mulai daripada 29 August, 1957.