Pergi ke kandungan

Laman:Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).pdf/169

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Pengangkutan Awam Darat
169


Penyiaran notis siasatan

156. (1) Jika Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat diarahkan oleh Menteri supaya mengadakan suatu siasatan di bawah subseksyen 154(1) atau memutuskan untuk mengadakan suatu siasatan di bawah subseksyen 154(2), Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah menyiarkan, mengikut apa-apa cara yang difikirkannya sesuai, suatu notis mengenai perkara yang berikut:

(a) hakikat bahawa ia mengadakan siasatan itu;
(b) tempoh siasatan itu akan diadakan;
(c) jenis perkara yang dengannya siasatan itu adalah berhubungan;
(d) tempoh sekurang-kurangnya empat puluh lima hari yang dalamnya, dan bentuk yang dengannya, orang awam dipelawa untuk membuat penghujahan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat mengenai perkara itu;
(e) perkara yang diinginkan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat supaya diliputi oleh penghujahan itu; dan
(f) alamat atau alamat-alamat tempat penghujahan itu boleh dihantar.

(2) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat tidak dikehendaki untuk menyiarkan suatu notis mengenai semua perkara yang disebut dalam subseksyen (1) pada masa yang sama atau mengikut cara yang sama.

(3) Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat hendaklah menimbangkan apa-apa penghujahan yang diterima dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis itu.

(4) Penghujahan yang dibuat oleh orang awam hendaklah mengikut bentuk dan jenis yang dinyatakan dalam notis itu.