UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 270
AKTA ISTANA NEGARA
(ELAUN-ELAUN DIRAJA) 1982
Suatu Akta untuk membuat peruntukan mengenai pemberian elaun khas dan keistimewaan lain kepada seseorang Raja dan Permaisurinya yang masing-masingnya pernah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:
Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Istana Negara (Elaun-elaun Diraja) 1982 dan hendaklah disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1981.
Elaun bagi bekas Yang di-Pertuan Agong
2. Maka hendaklah dibayar kepada seseorang Raja yang pernah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, bagi seumur hidup, elaun bulanan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Pertama.