(4) Pengeluaran semula susunan tipografi suatu edisi yang
diterbitkan bagi apa-apa maksud termasuk penyelidikan, pengajian
sendirian, kritikan, ulasan atau pelaporan berita atau peristiwa semasa
tidak melanggar hak cipta yang wujud menurut kuasa seksyen ini jika
pengeluaran semula itu bersesuaian dengan urusan yang wajar:
Dengan syarat bahawa jika pengeluaran semula itu diumumkan kepada awam ia hendaklah disertai dengan suatu perakuan tajuk karya itu dan penciptaannya, kecuali jika karya itu dimasukkan secara sampingan dalam sesuatu siaran.
(5) Kerajaan, Arkib Negara, atau mana-mana Arkib Negeri, Perpustakaan Negara, atau mana-mana perpustakaan Negeri, atau mana-mana perpustakaan awam dan institusi pelajaran, sains atau profesional sebagaimana ditetapkan oleh Menteri melalui perintah, boleh mengeluarkan semula susunan tipografi suatu edisi yang diterbitkan tanpa melanggar hak cipta yang wujud menurut kuasa seksyen ini jika pengeluaran semula itu adalah demi kepentingan awam dan bersesuaian dengan urusan yang wajar dan peruntukan mana-mana peraturan.
Kelayakan bagi perlindungan
10. (1) Hak cipta wujud dalam tiap-tiap karya yang layak mendapat hak cipta yang mana pencipta atau dalam hal karya ciptaan bersama, mana-mana daripada pencipta itu adalah seorang orang berkelayakan semasa karya itu dibuat.
(2) Hak cipta juga wujud dalam tiap-tiap karya yang layak mendapat hak cipta dan yang—
- (a) sebagai suatu karya sastera, muzik atau seni atau filem atau
rakaman bunyi adalah mula-mulanya diterbitkan di Malaysia;
- (b) sebagai suatu karya seni bina adalah didirikan di Malaysia atau sebagai mana-mana karya seni lain adalah dimuatkan dalam suatu bangunan yang terletak di Malaysia;
- (c) sebagai suatu siaran adalah dipancarkan dari Malaysia.