Pergi ke kandungan

Khutbah Haji Perpisahan

Daripada Wikisumber

KHUTBAH HAJI PERPISAHAN

Wahai manusia, dengarkanlah apa yang aku akan katakan ini kerana aku tidak tahu samada aku akan berada bersama kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarkanlah baik-baik apa yang aku akan katakan dan sampaikanlah apa yang aku katakan ini kepada mereka yang tidak hadir pada hari ini.
Wahai manusia, sebagaimana kamu anggap bulan ini, hari ini, bandar ini sebagai sesuatu yang suci, maka hargailah nyawa dan harta setiap orang Islam sebagai amanah yang suci. Kembalikan barang-barang yang telah diamanahkan pada kamu kepada pemilik yang sah. Jangan sakiti seseorang maka dengan itu seseorang tidak akan menyakiti kamu. Ingatlah bahawa kamu pasti akan bertemu dengan Tuan kamu, dan bahawa Dia pasti akan menghitung amalan kamu. Allah melarang kamu mengambil riba, maka semua kewajipan riba akan dihapuskan…
Berhati-hatilah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, oleh itu berhati-hatilah agar kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.
Wahai manusia, adalah benar bahawa kamu mempunyai hak-hak tertentu ke atas wanita-wanita kamu, tetapi mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menerima hak kamu maka mereka berhak menerima makanan dan pakaian sebaik-baiknya. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berbelas kasihan terhadap mereka kerana mereka adalah teman dan pembantu yang taat bagi kamu. Dan adalah hak kamu untuk menentukan sesiapa yang boleh bergaul dengan mereka termasuk juga tidak berzina.
Wahai manusia, dengarkanlah kata-kataku ini dengan sungguh-sungguh, sembahlah Allah, tunaikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadan dan keluarkanlah zakat. Tunaikanlah haji jika kamu mampu. Kamu semua tahu bahawa setiap orang Islam adalah saudara bagi seorang Islam yang lainnya. Kamu semua adalah setara. Tiada seorang pun yang melebihi orang lain melainkan dengan ketakwaan dan amal salih.
Ingatlah, satu hari kamu akan mengadap Allah dan menjawab atas amalan kamu. Oleh itu berhati-hatilah, jangan tersesat daripada jalan orang yang salih setelah aku pergi.
Wahai manusia, tiada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tiada agama baru akan diturunkan. Fikirlah dengan baik, wahai manusia, dan fahamilah kata-kataku ini yang aku sampaikan kepada kamu semua. Aku tinggalkan dua perkara, al-Quran dan Sunnahku, dan jika kamu mengikuti kedua-duanya kamu tidak akan sesat.
Semua yang mendengar kata-kataku ini seharusnya menyampaikannya kepada orang lain dan seterusnya kepada orang lain; dan barangkali orang terakhir memahami kata-kataku ini lebih baik daripada orang yang mendengarnya langsung daripadaku. Wahai Allah, saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan risalah-Mu kepada umat-Mu.