Pergi ke kandungan

Akta Taman Negara 1980

Daripada Wikisumber
Akta Taman Negara 1980 (1980)
dikarang oleh Parlimen Malaysia
4257Akta Taman Negara 19801980Parlimen Malaysia

Jata Malaysia


UNDANG-UNDANG
MALAYSIA




VERSI ATAS TALIAN TEKS
CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI




Akta 226


AKTA TAMAN NEGARA 1980

Sebagaimana pada 1 Disember 2012

AKTA PENCEN 1980

Tarikh Perkenan Diraja
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
11 Februari 1980
Tarikh penyiaran dalam Warta
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
28 Februari 1980
Kali terakhir dipinda melalui Akta A671 yang mula berkuat kuasa pada
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
16 Disember 1983

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 226

AKTA TAMAN NEGARA 1980


SUSUNAN SEKSYEN


Seksyen
1. Tajuk ringkas dan pemakaian
2. Tafsiran
3. Penubuhan Taman Negara
4. Tujuan penubuhan Taman Negara
5. Majlis Penasihat Taman Negara
6. Fungsi Majlis Penasihat Taman Negara
7. Penubuhan jawatankuasa Taman Negara
8. Ketua Pengarah dan lain-lain orang hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan dengan sewajarnya peruntukan Akta
9. Menduduki tanah dalam kawasan Taman Negara
10. Larangan am terhadap melombong dalam kawasan Taman Negara
11. Peraturan-peraturan

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 226

AKTA TAMAN NEGARA 1980

Suatu Akta bagi mengadakan peruntukan berkenaan dengan penubuhan dan pengawalan Taman Negara dan berkenaan dengan perkara yang berkaitan dengannya.

[ 29 Februari 1980 ]

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:

Tajuk ringkas dan pemakaian

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Taman Negara 1980 dan hendaklah tertakluk kepada subseksyen (2) dipakai di seluruh Malaysia[1].

(2) Akta ini tidak terpakai bagi Sabah dan Sarawak dan Taman Negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu yang kesemuanya menjadi Taman Negara sebagaimana diperihalkan dalam Jadual Enakmen Taman Negara (Kelantan) [En. 14/1938] dan dalam Jadual Pertama kepada Enakmen Taman Negara (Pahang) 1939 [En. 2/1938] dan Enakmen Taman Negara (Terengganu) [En. 6/1358]. Tafsiran

2. Dalam Akta ini —

“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Hidupan Liar dan Taman Negara yang dilantik di bawah [2]Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 [Akta 76];

“pegawai” ertinya Ketua Pengarah atau mana-mana orang lain yang disebut di bawah seksyen 8(1);

“Taman Negara” ertinya sesuatu Taman Negara yang ditubuhkan di bawah seksyen 3.

Penubuhan Taman Negara

3. (1) Pihak Berkuasa Negeri boleh di atas permintaan Menteri merizabkan mana-mana tanah Negeri dalam kawasan Negeri itu (termasuklah mana-mana kawasan laut) bagi maksud suatu Taman Negara di bawah suatu nama yang akan diberi kepadanya.

(2) Kawasan yang dirizabkan sedemikian itu hendaklah diletakkan di bawah kawalan suatu jawatankuasa Taman Negara yang ditubuhkan di bawah seksyen 7.

(3) Perizaban sesuatu kawasan atau sebahagian darinya di bawah seksyen ini tidak boleh dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Negeri kecuali selepas berunding dengan Menteri.

(4) Apa-apa perizaban tanah di bawah seksyen ini hendaklah diberitahu dalam Warta dan pemberitahuan itu hendaklah—

(a) memperihalkan tanah rizab itu;
(b) menetapkan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa mengawal tanah yang dirizabkan sedemikian itu;
(c) menjadi keterangan muktamad bahawa tanah yang diperihalkan sedemikian itu adalah dirizabkan bagi maksud Akta ini.

Tujuan penubuhan Taman Negara

4. Tujuan penubuhan Taman Negara ialah untuk memelihara dan melindungi hidupan liar, hidupan tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang mempunyai kepentingan dari segi kaji bumi, kaji purba, sejarah dan etnologi dan kepentingan lain dari segi sains dan pemandangan, dan melalui pemerliharaan dan penggunaannya untuk memajukan pendidikan, kesihatan, nilai estetik dan rekreasi orang ramai.

Majlis Penasihat Taman Negara

5. (1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Penasihat Taman Negara yang hendaklah terdiri daripada ahli-ahli yang berikut−

(a) seorang pengerusi yang hendaklah dilantik oleh Menteri;
(aa) Setiausaha Kerajaan Negeri tiap-tiap Negeri di mana terdapat suatu Taman Negara atau sebahagian daripadanya;
(b) tiga orang wakil yang dinamakan oleh Pihak Berkuasa Negeri dari tiap-tiap satu Negeri dalam mana terdapat suatu Taman Negara atau sebahagian darinya;
(c) Ketua Pengarah;
(d) seorang wakil Perbendaharaan;
(e) seorang wakil Bahagian Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri;
(f) seorang wakil Perbadanan Kemajuan Pelancongan;
(g) seorang wakil Jabatan Perhutanan; dan
(h) tidak lebih dari enam orang lain yang hendaklah dilantik oleh Menteri.

(2) Seseorang ahli yang dilantik di bawah perenggan (1)(a) atau (h) hendaklah memegang jawatan selama sesuatu tempoh masa sebagaimana yang diputuskan oleh Menteri dan Menteri boleh pada bila-bila masa memecatnya dari jawatan tanpa memberi apa-apa sebab baginya.

Fungsi Majlis Penasihat Taman Negara

6. (1) Majlis Penasihat Taman Negara hendaklah memberi nasihat kepada Menteri mengenai perkara yang berhubung dengan pemeliharaan, penggunaan, penjagaan, pengawalan, pengurusan dan kemajuan Taman Negara dan apa-apa perkara lain sebagaimana yang dirujuk kepadanya dari semasa ke semasa oleh Menteri.

(2) Tertakluk kepada peraturan yang dibuat di bawah seksyen 11, Majlis hendaklah memutuskan tatacaranya di mesyuaratnya.

Penubuhan jawatankuasa Taman Negara

7. (1) Suatu jawatankuasa hendaklah ditubuhkan oleh Menteri bagi tiap-tiap satu Taman Negara yang terdiri daripada ahli-ahli yang berikut—

(a) Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tiap-tiap satu Negeri di mana Taman Negara itu terletak;
(aa) Pengarah Tanah dan Galian tiap-tiap Negeri di mana terdapat suatu Taman Negara atau sebahagian daripadanya;
(b) seorang wakil dari tiap-tiap satu jabatan Kerajaan Persekutuan dan selepas berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri, Kerajaan Negeri sebagaimana yang Menteri, selepas berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri fikirkan perlu diwakili; dan
(c) lain-lain orang yang tidak melebihi tiga orang jumlahnya sebagaimana yang dilantik oleh Menteri dan subseksyen 5(2) hendaklah dipakai mutatis mutandis bagi sesuatu perlantikan di bawah perenggan ini.

(2) Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah menjadi pengerusi jawatankuasa itu, tetapi jika sesuatu Taman Negara terletak dalam kawasan dua Negeri atau lebih, Setiausaha Kerajaan Negeri bagi Negeri yang berkenaan itu hendaklah menjadi pengerusi secara bergilir dan, tertakluk kepada peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 11, jawatankuasa itu hendaklah memutuskan tatacaranya di mesyuaratnya.

(3) Sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen ini hendaklah bertanggungjawab bagi pemeliharaan, penggunaan, penjagaan, pengawalan, pengurusan dan kemajuan Taman Negara yang baginya ia ditubuhkan dan, dalam melaksanakan tanggungjawabnya di bawah Akta ini, jawatankuasa itu hendaklah bertindak mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Taman Negara dari semasa ke semasa.

Ketua Pengarah dan orang lain hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan dengan sewajarnya peruntukan Akta

8. (1) Ketua Pengarah dan orang lain yang dilantik di bawah subseksyen 4(1) [2]Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan dengan sewajarnya peruntukan Akta ini dan pada berbuat demikian orang itu hendaklah disebut dengan nama jawatan yang diberikan kepada mereka di bawah Akta ini

(2) Ketua Pengarah hendaklah mempunyai kuasa pengawasan dan arahan am ke atas semua perkara yang berhubung dengan Taman Negara.

(3) Menteri boleh dari semasa ke semasa memberikan kepada Ketua Pengarah arahan yang bersifat am dan yang tidak berlawanan dengan peruntukan Akta ini mengenai penjalanan kuasa yang diberikan kepada, dan tugas yang dikehendaki dilaksanakan oleh, Ketua Pengarah di bawah Akta ini dan Ketua Pengarah hendaklah menguatkuasa semua arahan itu.

Menduduki tanah dalam kawasan Taman Negara

9. (1) Pihak Berkuasa Negeri boleh selepas berunding dengan Menteri memajak atau membenarkan supaya diguna atau diduduki mana-mana tanah dalam kawasan sesuatu Taman Negara tertakluk kepada syarat dan sekatan sebagaimana yang difikirkannya patut dikenakan dan bagi mana-mana daripada maksud yang berikut—

(a) pembinaan dan penyelenggaraan jalan;
(b) pembinaan dan penyelengaraan lapangan terbang kecil;
(c) pembinaan dan penyelenggaraan empang dan kolam air;
(d) pembinaan dan penyelenggaran hotel, rumah rehat, rumah kediaman, bangunan dan kerja-kerja kegunaan awam,

jika Pihak Berkuasa Negeri memikirkan mana-mana daripada maksud ini sebagai perlu dan demi kepentingan kemajuan Taman Negara itu menurut tujuan yang disebut dalam seksyen 4, dan

(e) perlombongan atau cari gali menurut peruntukan seksyen 10.

(2) Mana-mana tanah yang dipajakkan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana tanah yang berkenaan dengannya sesuatu kegunaan atau pendudukan telah dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah subseksyen (1) hendaklah terus menjadi sebahagian daripada Taman Negara itu dan ditakluk oleh peruntukan Akta ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya kecuali setakat mana yang ditetapkan dalam apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah subseksyen (1).

(3) Tertakluk kepada Akta ini, apa-apa pajakan atau permit untuk mengguna atau menduduki tanah di bawah seksyen ini hendaklah dikeluarkan menurut Kanun Tanah Negara.

(4) Kecuali menurut kuasa apa-apa hak yang diberikan oleh atau diperolehi di bawah atau berkenaan dengan mana-mana pajakan atau permit di bawah subseksyen (1) atau sebagaimana yang selainnya diperuntukkan dalam Akta ini, tiada seorangpun selain daripada seseorang pegawai boleh mendiami, memasuki, mengguna atau menduduki mana-mana tanah dalam kawasan dan menjadi sebahagian daripada sesuatu Taman Negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah.

Larangan am terhadap melombong dalam kawasan Taman Negara

10. (1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (2), pengendalian melombong atau mencari gali tidak boleh dijalankan dalam kawasan sesuatu Taman Negara.

(2) Jika pada bila-bila masa Pihak Berkuasa Negeri mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dalam suatu bahagian tertentu sesuatu Taman Negara terdapat bahan galian yang begitu berharga hinggakan akan berlawanan dengan kepentingan Negeri itu jika ia tidak dilombong, Pihak Berkuasa Negeri boleh selepas berunding dengan Menteri mengeluarkan, di bawah undang-undang yang berhubung dengan perlombongan, lesen untuk mencari gali bahagian Taman Negara itu dan jika perlu mengeluarkan kemudiannya perakuan melombong atau pajakan lombong berkenaan dengan bahagian Taman Negara itu atau mana-mana bahagia daripada bahagian itu.

(3) Jika apa-apa perakuan melombong atau pajakan lombong dikeluarkan berkenaan dengan mana-mana tanah dalam kawasan sesuatu Taman Negara, pemegang perakuan atau pajakan itu hendaklah mempunyai hak untuk lalu-lalang, lesen atau kemudahan lain sebagaimana yang perlu bagi melaksanakan dengan praktiknya hak yang diberi oleh perakuan atau pajakan itu.

(4) Walau apa pun terkandung dalam undang-undang yang berhubungan dengan perlombongan, maka hendaklah ada suatu syarat termaklum dalam sesuatu perakuan melombong atau pajakan lombong yang dikeluarkan menurut seksyen ini bahawa mana-mana pegawai hendaklah mempunyai hak memasuki tanah yang berkenaan dengannya suatu lesen untuk mencari gali, suatu perakuan melombong atau suatu pajakan lombong telah dikeluarkan sebagaimana perlu supaya ia boleh menjalankan tujuan Akta ini berkenaan dengan tanah itu dan Taman Negara amnya.

Peraturan-peraturan

11. (1) Menteri boleh selepas berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri membuat peraturan-peraturan yang tidak berlawanan dengan Akta ini berhubung dengan mana-mana atau semua daripada perkara-perkara yang berikut, iaitu—

(a) penutupan kawasan tertentu dalam sesuatu Taman Negara dari orang awam;
(b) larangan terhadap pembunuhan, pencederaan, penjeratan, penangkapan atau pengandangan apa-apa hidupan liar dalam kawasan sesuatu Taman Negara dan pelupusan hidupan liar yang dibunuh, dicedera, dijerat, ditangkap atau dikandang itu;
(c) larangan terhadap binatang yang ditetapkan daripada dibawa masuk ke dalam atau terus berada dalam kawasan sesuatu Taman Negara;
(d) pembakaran dan penebangan tumbuh-tumbuhan dalam kawasan sesuatu Taman Negara;
(e) pelupusan hidupan liar, tumbuh-tumbuhan atau lain-lain benda yang dijumpai dalam kawasan sesuatu Taman Negara;
(f) pemeriksaan mana-mana orang yang disyaki melanggar mana-mana peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini;
(g) tempoh dan masa di mana orang awam boleh masuk ke dalam sesuatu Taman Negara atau mana-mana bahagiannya;
(h) kawalan terhadap kelakuan, tanggungan dan kewajipan orang yang melawat atau berjalan, menjelajah atau berkhemah dalam sesuatu Taman Negara dan (tanpa menyentuh keluasan makna peruntukan yang tersebut di atas) keselamatan orang yang melawat Taman itu dan tanggungan mereka mengenai semua perbelanjaan sewajar yang dikenakan berkenaan dengan gerakan mencari orang yang telah hilang atau (selepas gagal mematuhi peraturan itu) yang dengan munasabah dipercayai telah hilang di dalamnya;
(i) fee bagi pengeluaran permit untuk memasuki atau berkhemah dalam kawasan sesuatu Taman Negara, bagi kemasukan kereta ke dalam dan pengambilan fotograf dalam kawasan sesuatu Taman Negara atau bagi perkhidmatan yang berkaitan dengan penggunaan atau penikmatan sesuatu Taman Negara;
(j) perlindungan, pemeliharaan dan penjagaan terhadap sesuatu Taman Negara dan terhadap kerja kekal dan kerja penyelenggaraan dan terhadap kemudahan dan ameniti dan terhadap hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan dan ciri-ciri yang mempunyai kepentingan dari segi pemandangan, sains dan sejarah di dalamnya;
(k) kawalan terhadap lalu-lintas dan pengangkutan penumpang dalam kawasan sesuatu Taman Negara;
(l) penyitaan dan pelupusan apa-apa kereta, vessel, binatang atau lain-lain barang atau benda yang berkenaan dengannya berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini;
(m) penalti berkenaan dengan pelanggaran mana-mana peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini;
(n) pembinaan dan penyelenggaraan hotel, rumah rehat, rumah kediaman, bangunan dan kerja kegunaan awam;
(o) kuasa dan tugas pegawai berhubung dengan penjalanan peruntukan Akta ini dan peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini;
(p) tatacara yang akan dipakai oleh Majlis Penasihat Taman Negara dan jawatankuasa Taman Negara di mesyuarat mereka dan saraan atau elaun yang kena dibayar kepada ahli-ahlinya;
(q) apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu oleh Menteri bagi pengawalan dan pengurusan yang baik sesuatu Taman Negara atau bagi mencapai tujuan ia ditubuhkan.

(2) Menteri boleh membuat peraturan-peraturan yang berlainan di bawah subseksyen (1) berkenaan dengan Taman Negara yang berlainan.


UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 226

AKTA TAMAN NEGARA 1980

SENARAI PINDAAN

Undang-undang yang meminda Tajuk ringkas Berkuat kuasa dari
Akta A571 Akta Taman Negara (Pindaan) 1983 16-12-1983
P.U.(A) 187/84 Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Pengubahsuaian Enakmen Taman Negara) 1984 16-04-1984

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 227

AKTA PENCEN 1980

SEKSYEN YANG DIPINDA

Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari
3 Act A571 16-12-1983
5 Act A571 16-12-1983
7 Act A571 16-12-1983
9 Act A571 16-12-1983
10 Act A571 16-12-1983
11 Act A571 16-12-1983

  1. CATATAN— Pemakaian ke Wilayah Persekutuan Labuan melalui pengubahsuaian- lihat P.U. (A) 187/1984 yang bermula pada 16 April 1984.
  2. 2.0 2.1 CATATAN— Akta ini dimansuhkan oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar [Akta 716] mula berkuat kuasa pada 28 Disember 2010 – lihat subsekyen 4(1) Akta 716 [P.U.(B) 545/2010].