Akta Kanak-Kanak 2001
UNDANG-UNDANG
MALAYSIA
CETAKAN SEMULA
Akta 611
AKTA KANAK-KANAK 2001
Sebagaimana pada 1 Julai 2023
AKTA KANAK-KANAK 2001
|
Tarikh Perkenan Diraja
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
|
15 Februari 2001 |
|
Tarikh penyiaran dalam Warta
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
|
1 Mac 2001 |
|
Kali terakhir dipinda melalui Akta A1511 yang mula berkuat kuasa pada
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
|
1 Januari 2017 |
Cetakan Semula Yang Terdahulu
|
Cetakan Semula Yang Pertama
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
|
2002 |
|
Cetakan Semula Yang Kedua
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
|
2006 |
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 611
AKTA KANAK-KANAK 2001
SUSUNAN SEKSYEN
Bahagian I
PERMULAAN
| Seksyen | |
| 1. | Tajuk ringkas, pemakaian dan permulaan kuat kuasa |
| 2. | Tafsiran |
Bahagian II | |
| 3. | Penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak |
| 3a. | Dana |
| 4. | Keanggotaan Majlis |
| 4a. | Pembatalan dan peletakan jawatan |
| 5. | Mesyuarat Majlis |
| 5a. | Ketetapan tanpa bermesyuarat |
| 6. | Penubuhan jawatankuasa |
| 6a. | Pengosongan jawatan |
| 7. | Penubuhan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak |
| 7a. | Penubuhan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak
|
Bahagian III | |
| 8. | Pelantikan dan kuasa Pelindung |
| 8a. | Pelantikan Pembantu Pelindung |
| 9. | Pelantikan Ketua Pendaftar dan Pendaftar |
| 10. | Pelantikan pegawai akhlak |
Bahagian IV | |
| 11. | Penubuhan dan bidang kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak |
| 12. | Tempat bersidang dan orang yang boleh hadir di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak |
| 13. | Tempoh yang dinyatakan dalam mana-mana perintah yang dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak tidak boleh melampaui tarikh kanak-kanak mencapai umur lapan belas tahun |
| 14. | Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh memerintahkan supaya peletakan, penahanan, dsb., melampaui tarikh kanak-kanak mencapai umur lapan belas tahun |
| 15. | Sekatan ke atas laporan dan penyiaran media |
| 16. | Anggapan mengenai umur |
Bahagian V | |
| 17. | Pengertian kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan |
Bab 2 | |
| 18. | Pengambilan kanak-kanak ke dalam jagaan sementara |
| 19. | Pengemukaan di hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
|
| 20. | Kanak-kanak yang memerlukan pemeriksaan atau rawatan perubatan |
| 21. | Pemeriksaan dan rawatan perubatan |
| 22. | Kebenaran untuk dimasukkan ke hospital |
| 23. | Kawalan ke atas kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital |
| 24. | Kebenaran bagi rawatan perubatan |
| 25. | Langkah-langkah yang hendaklah diambil selepas pemeriksaan atau rawatan perubatan |
| 26. | Tiada liabiliti ditanggung kerana memberikan kebenaran |
| 27. | Kewajipan pegawai perubatan atau pengamal perubatan |
| 28. | Kewajipan anggota keluarga |
| 29. | Kewajipan pengasuh kanak-kanak |
| 29a. | Maklumat mengenai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan |
| 30. | Kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak |
Bab 3 | |
| 31. | Penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak |
| 32. | Kanak-kanak tidak boleh digunakan untuk mengemis, dsb. |
| 33. | Kesalahan kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan |
Bab 4 | |
| 34. | Pemakaian dan tafsiran |
| 35. | Pemberitahuan tentang pengambilan kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalan |
| 36. | Obligasi kemudiannya |
| 37. | Kuasa Pelindung untuk menghendaki supaya kanak-kanak dikemukakan di hadapannya
|
Bahagian VI | |
| 38. | Pengertian kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemulihan |
| 39. | Memindahkan kanak-kanak ke tempat perlindungan |
| 39a. | Siasatan oleh Pelindung |
| 40. | Kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berhubung dengan kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemulihan |
| 41. | Kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dengan segera |
| 42. | (Dipotong) |
Bab 2 | |
| 43. | Kesalahan-kesalahan |
| 44. | Anggapan yang berhubungan dengan seksyen 43 |
| 45. | Peletakan sementara menanti prosiding |
Bahagian VII | |
| 46. | Kanak-kanak yang tidak terkawal |
| 47. | Pengawasan oleh pegawai akhlak |
Bahagian VIII | |
| 48. | Pemindahan milikan, jagaan atau kawalan kanak-kanak dengan menyalahi undang-undang |
| 49. | Pembawaan masuk kanak-kanak melalui dakwaan palsu |
| 50. | Pemeriksaan kanak-kanak dan orang yang menjaganya |
| 51. | Pelindung boleh menghendaki jaminan
|
| 52. | Kesalahan membawa atau menghantar keluar kanak-kanak tanpa keizinan yang sepatutnya orang yang mempunyai jagaan yang sah |
| 53. | Perintah mendapatkan balik |
Bahagian VIIIa | |
| 53a. | Menteri boleh meluluskan pusat |
Bahagian IX | |
| 54. | Tempat selamat |
| 55. | Tempat perlindungan |
| 55a. | Jagaan susul kanak-kanak yang dilepaskan dari tempat perlindungan |
| 56. | Kanak-kanak yang lepas lari atau dipindahkan dari tempat selamat atau tempat perlindungan |
| 57. | Kesalahan memindahkan atau menolong kanak-kanak lepas lari dari tempat selamat atau tempat perlindungan |
Bab 2 | |
| 58. | Tempat tahanan |
| 59. | Kanak-kanak yang lepas lari atau dipindahkan dari tempat tahanan |
| 60. | Kesalahan memindahkan atau menolong kanak-kanak lepas lari dari tempat tahanan |
Bab 3 | |
| 61. | Asrama akhlak |
| 62. | Kanak-kanak di bawah umur sepuluh tahun tidak boleh dihantar ke asrama akhlak
|
| 62a. | Jagaan susul kanak-kanak yang dilepaskan dari asrama akhlak |
| 63. | Kanak-kanak yang lepas lari atau dipindahkan dari asrama akhlak |
| 64. | Kesalahan memindahkan atau menolong kanak-kanak lepas lari dari asrama akhlak |
Bab 4 | |
| 65. | Sekolah diluluskan |
| 66. | Kanak-kanak di bawah umur sepuluh tahun tidak boleh dihantar ke sekolah diluluskan |
| 67. | Bila kanak-kanak boleh dihantar ke sekolah diluluskan |
| 68. | Perintah sekolah diluluskan hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa, dsb., yang membawa kanak-kanak ke sekolah itu |
| 69. | Penahanan lanjut di sekolah diluluskan melampaui tempoh perintah |
| 70. | Jagaan susul kanak-kanak yang dilepaskan dari sekolah diluluskan |
| 71. | Lepas lari dari sekolah diluluskan, dsb., atau tidak kembali ke sekolah diluluskan selepas tamat cuti, dsb. |
| 72. | Kesalahan memindahkan atau membantu kanak-kanak lepas lari dari sekolah diluluskan |
Bab 5 | |
| 73. | Sekolah Henry Gurney |
| 73a. | Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara berkenaan dengan Sekolah Henry Gurney |
| 74. | Kanak-kanak di bawah umur empat belas tahun tidak boleh dihantar ke Sekolah Henry Gurney |
| 75. | Bila kanak-kanak boleh dihantar ke Sekolah Henry Gurney |
Bab 6 | |
| 76. | Kuasa berkenaan dengan orang yang berumur lapan belas tahun tetapi di bawah umur dua puluh satu tahun
|
| 77. | Kuasa Menteri untuk memindahkan orang yang menjalani hukuman pemenjaraan ke Sekolah Henry Gurney |
| 78. | Kuasa Menteri untuk memindahkan kanak-kanak yang menjalani hukuman pemenjaraan ke sekolah diluluskan atau Sekolah Henry Gurney |
| 79. | Kuasa untuk menggantikan tempoh tahanan dengan tempoh pemenjaraan |
| 80. | Pemindahan kanak-kanak dari satu tempat selamat atau tempat perlindungan ke suatu tempat selamat atau tempat perlindungan yang lain |
Bab 7 | |
| 81. | Kanak-kanak atau orang yang diletakkan atau ditahan hendaklah tertakluk pada peraturan-peraturan |
| 82. | Lembaga Pelawat |
Bahagian X | |
| 83. | Tatacara jenayah bagi kanak-kanak hendaklah menepati Akta ini |
| 83a. | Tangkapan |
| 84. | Jaminan |
| 85. | Pengasingan kanak-kanak daripada orang dewasa di balai polis, tempat tahanan atau Mahkamah |
| 86. | Penjagaan kanak-kanak yang tidak dilepaskan atas jaminan selepas ditangkap |
| 87. | Pengemukaan maklumat oleh pegawai polis selepas penangkapan |
Bab 2 | |
| 88. | Ibu atau bapa atau penjaga dikehendaki hadir |
| 89. | Ibu dan bapa atau penjaga boleh disuruh keluar |
| 90. | Tatacara di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
|
Bab 3 | |
| 91. | Kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak apabila kesalahan dibuktikan |
| 92. | (Dipotong) |
| 93. | Ibu atau bapa atau penjaga hendaklah menyempurnakan bon |
| 94. | Kuasa untuk memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaga dan bukan kanak-kanak, membayar denda, dsb. |
| 95. | Rayuan |
| 96. | Sekatan ke atas perintah pemenjaraan |
| 97. | Hukuman mati |
Bab 3a | |
| 97a. | Perintah khidmat masyarakat |
| 97b. | Tidak mematuhi perintah khidmat masyarakat |
| 97c. | Pelakuan kesalahan selanjutnya |
| 97d. | Kesan perintah khidmat masyarakat |
| 97e. | Pindaan perintah khidmat masyarakat |
| 97f. | Mahkamah hendaklah memberikan salinan perintah khidmat masyarakat pindaan kepada pegawai akhlak |
Bab 4 | |
| 98. | Bila percubaan boleh diperintahkan |
| 99. | Tidak mematuhi perintah percubaan |
| 100. | Pelakuan kesalahan selanjutnya |
| 101. | Kesan percubaan |
| 102. | Pindaan perintah percubaan |
| 103. | Pelepasan perintah percubaan |
| 104. | Mahkamah hendaklah memberikan salinan perintah pindaan atau pelepasan kepada pegawai akhlak
|
Bahagian XI | |
| 105. | Kanak-kanak yang diletakkan dalam pemeliharaan orang yang layak dan sesuai |
| 106. | Kanak-kanak yang lepas lari atau dipindahkan daripada pemeliharaan orang yang layak dan sesuai |
| 107. | Kesalahan memindahkan atau menolong kanak-kanak lepas lari daripada pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai |
Bahagian XII | |
| 108. | Sumbangan oleh ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain |
Bahagian XIII | |
| 109. | Kuasa untuk menyiasat |
| 110. | Kuasa untuk menangkap tanpa waran |
| 111. | Penggeledahan dengan waran |
| 112. | Penggeledahan tanpa waran |
| 113. | Kuasa untuk memeriksa orang |
| 114. | Pemeriksaan |
| 115. | Halangan |
| 116. | Pelindungan informer |
Bahagian XIV | |
| 117. | Kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak diberikan kepada Mahkamah Tinggi |
| 118. | Daftar |
| 119. | Kandungan Daftar |
| 120. | Akses kepada Daftar |
| 121. | Kesalahan berkenaan dengan Daftar
|
| 122. | Perakuan Pendaftar menjadi keterangan |
| 123. | Pelindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang |
| 124. | Pekhidmat awam |
| 125. | Penalti am |
| 126. | Permulaan dan penjalanan pendakwaan |
| 127. | Penyampaian dokumen |
| 128. | Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan |
Bahagian XV | |
| 129. | Tafsiran |
| 130. | Pemansuhan |
| 131. | Sebutan mengenai Mahkamah Juvana, dsb. |
| 132. | Penerusan Majlis, dsb. |
| 133. | Penerusan kaedah-kaedah, dsb. |
| 134. | Institusi yang ditubuhkan atau ditetapkan |
| 135. | Pencegahan anomali |
| Jadual Pertama | |
| Jadual Kedua | |
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 611
AKTA KANAK-KANAK 2001
Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.
[1 Ogos 2002, P.U. (B) 229/2002]
Mengiktiraf bahawa wawasan negara sebagai negara maju sepenuhnya ialah suatu negara di mana keadilan sosial dan pembangunan moral, etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan suatu masyarakat Malaysia madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan:
Mengiktiraf bahawa seseorang kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu komponen yang penting masyarakat sedemikian tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu:
Mengakui bahawa seseorang kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya, memerlukan pelindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran, untuk membolehkannya turut serta dalam dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul:
Mengiktiraf bahawa tiap-tiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan pelindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain:
Mengakui bahawa keluarga merupakan kumpulan asas dalam masyarakat yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua anggotanya, khususnya kanak-kanak, supaya mereka boleh membesar dalam suasana aman, bahagia, kasih sayang dan persefahaman untuk memperoleh keyakinan penuh, maruah dan nilai diri seseorang manusia:
Mengiktiraf peranan dan tanggungjawab keluarga dalam masyarakat, supaya mereka diberi bantuan yang perlu untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai sumber pemeliharaan, penyaraan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak dalam masyarakat:
Maka, oleh yang demikian, DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti yang berikut:
Bahagian I
PERMULAAN
Tajuk ringkas, pemakaian dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Kanak-Kanak 2001.
(2) Akta ini terpakai di seluruh Malaysia.
(3) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.
Tafsiran
2. (1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“anggota keluarga” termasuklah ibu atau bapa atau penjaga, atau seseorang saudara;
“asrama akhlak” ertinya sesuatu asrama yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 61 sebagai tempat tinggal bagi kanak-kanak yang dikehendaki tinggal di situ di bawah seksyen 46 dan 98;
“Daftar” ertinya Daftar yang disimpan dan disenggarakan di bawah seksyen 118;
“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 128;
“hospital” ertinya mana-mana hospital Kerajaan atau mana-mana hospital pelatih perubatan sesuatu institusi pengajian tinggi awam, tetapi tidak termasuk mana-mana bahagian hospital Kerajaan atau hospital pelatih perubatan sesuatu institusi pengajian tinggi awam, yang diswastakan atau diperbadankan;
“ibu atau bapa peliharaan” ertinya seseorang, yang bukan ibu atau bapa atau saudara seseorang kanak-kanak—
- (a) yang kepadanya pemeliharaan, jagaan dan kawalan seseorang kanak-kanak telah diberikan oleh perintah Mahkamah di bawah subperenggan 30(1)(c)(i); atau
- (b) yang dibenarkan oleh Pelindung di bawah seksyen 35 atau 37, mengikut mana-mana yang berkenaan, untuk menerima seseorang kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalannya;
“jenayah berat” termasuk —
- (a) pematian salah tidak terjumlah membunuh atau percubaan membunuh;
- (b) semua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971] [Akta 37];
- (c) semua kesalahan di bawah [1]Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 [Akta 82] yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau dengan hukuman mati;
- (d) semua kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama lebih daripada lima tahun atau dengan hukuman mati; dan
- (e) semua kesalahan di bawah Akta Penculikan 1961 [Akta 365];
“kanak-kanak”—
- (a) ertinya seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun; dan
- (b) berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan [Akta 574];
“kanak-kanak dalam percubaan” ertinya seseorang kanak-kanak yang sedang berada di bawah pengawasan menurut kuasa suatu perintah percubaan;
“kaunselor” ertinya mana-mana kaunselor, penolong kaunselor, pegawai psikologi atau penolong pegawai psikologi di Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
“Ketua Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Kanak-Kanak yang dilantik di bawah subseksyen 9(1);
“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat dan termasuklah Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi setiap Negeri;
“khidmat masyarakat” ertinya apa-apa kerja, perkhidmatan atau pelaksanaan arahan demi kebaikan orang awam keseluruhannya di bawah ruang lingkup Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
“laporan akhlak” ertinya laporan yang disediakan oleh pegawai akhlak di bawah subseksyen 90(13);
“Lembaga Hakim Pelawat” ertinya Lembaga Hakim Pelawat yang dilantik di bawah seksyen 64 Akta Penjara 1995 [Akta 537];
“Lembaga Pelawat” ertinya Lembaga Pelawat yang dilantik oleh Menteri di bawah seksyen 82;
“Mahkamah” ertinya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atau mana-mana Mahkamah lain, mengikut kehendak keadaan;
“Mahkamah Bagi Kanak-Kanak” ertinya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang ditubuhkan di bawah seksyen 11;
“Mahkamah Majistret” ertinya Mahkamah Majistret Kelas Pertama;
“Mahkamah Pengawas” ertinya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bagi daerah atau kawasan yang seseorang kanak-kanak dikehendaki—
- (a) untuk tinggal di bawah suatu perintah percubaan;
- (b) untuk melaksanakan khidmat masyarakat di bawah suatu perintah khidmat masyarakat; atau
- (c) untuk diletakkan atau ditahan di bawah mana-mana perintah lain yang dibuat di bawah Akta ini;
“Majistret” ertinya Majistret Kelas Pertama;
“Majlis” ertinya Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;
“Menteri” ertinya Menteri atau Menteri-Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perkara atau perkara-perkara yang berkaitan dengannya sebutan mengenai “Menteri” itu dibuat, yang bertindak secara berseorangan atau bersesama atau selepas berunding, mengikut kehendak keadaan;
“Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak” ertinya sesuatu pasukan yang ditubuhkan oleh Majlis di bawah seksyen 7A;
“Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak” ertinya sesuatu pasukan yang ditubuhkan oleh Majlis di bawah seksyen 7;
“pegawai akhlak” ertinya pegawai akhlak yang dilantik di bawah seksyen 10;
“pegawai kanan polis” mempunyai erti yang sama seperti dalam Akta Polis 1967 [Akta 344];
“Pegawai Kebajikan Masyarakat” ertinya mana-mana Pegawai Kebajikan Masyarakat di Kementerian atau Jabatan yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan dan termasuklah mana-mana Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat;
“Pegawai Pendidikan” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Pendidikan 1996 [Akta 550];
“pegawai penjara” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Penjara 1995;
“pegawai perubatan” ertinya pengamal perubatan berdaftar dalam perkhidmatan Kerajaan dan termasuklah seseorang pengamal perubatan berdaftar di mana-mana hospital pelatih perubatan sesuatu institusi pengajian tinggi awam, tetapi tidak termasuk pengamal perubatan berdaftar di mana-mana bahagian hospital Kerajaan atau hospital pelatih perubatan sesuatu institusi pengajian tinggi awam, yang diswastakan atau diperbadankan;
“pegawai polis” mempunyai erti yang sama seperti dalam Akta Polis 1967;
“pelacuran” ertinya perbuatan seseorang menawarkan tubuhnya untuk kepuasan nafsu seks kerana upah sama ada dalam bentuk wang atau barang; dan
“pelacur” hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya;
“Pelindung” ertinya—
- (a) Ketua Pengarah;
- (b) Timbalan Ketua Pengarah;
- (c) seorang Pengarah Bahagian bagi Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat;
- (d) (Dipotong oleh Akta A1511);
- (e) mana-mana Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik di bawah seksyen 8;
“Pembantu Pelindung” ertinya seseorang yang dilantik oleh Menteri di bawah seksyen 8A;
“pemeliharaan berasaskan keluarga” ertinya pemeliharaan seseorang kanak-kanak dalam suasana kekeluargaan termasuk—
- (a) pemeliharaan seseorang kanak-kanak oleh ibu atau bapa, penjaga atau saudara;
- (b) pemeliharaan seseorang kanak-kanak oleh ibu atau bapa peliharaan atau orang yang layak dan sesuai; atau
- (c) pemeliharaan seseorang kanak-kanak di suatu pusat;
“pemunya”—
- (a) berhubung dengan mana-mana tempat—
- (i) ertinya tuan punya berdaftar tempat itu;
- (ii) penerima pajak, termasuk pemajak kecil, tempat itu sama ada berdaftar atau selainnya; atau
- (iii) ejen atau pemegang amanah mana-mana orang yang diperihalkan dalam subperenggan (i) dan (ii); dan
- (b) berhubung dengan apa-apa pengangkutan, ertinya pemunya berdaftar pengangkutan itu;
“Pendaftar” ertinya Pendaftar Kanak-Kanak yang dilantik di bawah subseksyen 9(2) dan termasuklah Ketua Pendaftar;
“pengamal perubatan berdaftar” ertinya seseorang pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 [Akta 50];
“pengangkutan” termasuklah pesawat udara, kapal, bot atau vesel sama ada terapung atau tidak, dan apa-apa kenderaan;
“pengasuh kanak-kanak” ertinya seseorang yang mengasuh seorang kanak-kanak atau lebih bagi balasan berharga bagi apa-apa tempoh masa;
“penghuni”—
- (a) ertinya seseorang yang menghuni atau mengawal mana-mana tempat; dan
- (b) berhubung dengan tempat-tempat yang bahagian-bahagiannya yang berlainan dihuni oleh orang yang berlainan, ertinya masing-masing orang yang menghuni atau mengawal setiap bahagian;
“penjaga”, berhubung dengan seseorang kanak-kanak, termasuklah mana-mana orang yang, pada pendapat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang mengambil perhatian tentang apa-apa kes yang berhubungan dengan kanak-kanak itu atau yang melibatkan kanak-kanak itu, sedang mempunyai penjagaan atau kawalan ke atas kanak-kanak itu;
“perintah khidmat masyarakat” ertinya suatu perintah yang menghendaki seseorang kanak-kanak untuk melaksanakan khidmat masyarakat di bawah seksyen 97A;
“perintah percubaan” ertinya perintah percubaan yang dibuat di bawah seksyen 98;
“perintah Sekolah Henry Gurney” ertinya perintah yang dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak menghantar seseorang kanak-kanak yang berumur empat belas tahun ke atas ke Sekolah Henry Gurney;
“perintah sekolah diluluskan” ertinya perintah yang dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak menghantar seseorang kanak-kanak ke sekolah diluluskan;
“perintah sumbangan” ertinya perintah sumbangan yang dibuat di bawah seksyen 108;
“pusat” ertinya sesuatu tempat berlindung yang ditubuhkan atau dikendalikan oleh mana-mana orang termasuk Kerajaan Negeri, sama ada—
- (a) secara perseorangan; atau
- (b) melalui kerjasama atau usaha sama dengan Kerajaan Persekutuan,
sebagaimana yang diluluskan oleh Menteri bagi maksud pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak di bawah seksyen 53A;
“rumah pelacuran” ertinya mana-mana tempat yang dihuni atau digunakan oleh mana-mana dua atau lebih daripada dua orang sama ada pada masa yang sama atau pada masa yang berlainan bagi maksud pelacuran;
“saudara” ertinya seseorang yang mempunyai hubungan persaudaraan melalui pertalian darah seibu sebapa atau pertalian darah seibu atau sebapa, atau melalui perkahwinan atau pengangkatan, termasuk pengangkatan de facto;
“Sekolah Henry Gurney” ertinya sesuatu sekolah—
- (a) yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 73; dan
- (b) di bawah arahan dan kawalan Komisioner Jeneral Penjara dan diluluskan oleh Menteri bagi pendidikan, latihan dan penahanan orang yang dihantar ke situ menurut Bahagian X;
“sekolah diluluskan” ertinya sesuatu sekolah yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 65 dan termasuklah sesuatu pusat;
“tempat” termasuklah mana-mana bangunan, rumah, pejabat, kedai, rumah pangsa, bilik atau bilik kecil atau mana-mana bahagian bilik atau bilik kecil itu, mana-mana ruang terbuka atau tertutup, dan apa-apa pengangkutan;
“tempat berkira” ertinya mana-mana tempat di mana perhubungan diadakan dengan mana-mana kanak-kanak sama ada secara langsung atau melalui pengantara bagi maksud pelacuran;
“tempat perlindungan” ertinya mana-mana tempat perlindungan yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 55;
“tempat selamat” ertinya mana-mana tempat selamat yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 54;
“tempat tahanan”—
- (a) ertinya mana-mana tempat tahanan yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 58; dan
- (b) termasuklah tempat penginapan di balai polis, bilik kurungan atau lokap polis, berasingan atau terpisah daripada pesalah-pesalah dewasa;
“tempoh percubaan” ertinya tempoh seseorang kanak-kanak dalam percubaan diletakkan di bawah pengawasan oleh suatu perintah percubaan;
“Timbalan Ketua Pengarah” ertinya Timbalan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.
(2) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan hendaklah setiap satunya disifatkan sebagai suatu Negeri.
Bahagian II
MAJLIS KEBANGSAAN BAGI KANAK-KANAK
Penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak
3. (1) Suatu majlis yang dikenali dengan nama “Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak” ditubuhkan.
(2) Fungsi Majlis adalah—
(a) untuk menasihati dan membuat syor kepada Kerajaan mengenai semua isu dan aspek yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa;
- (b) untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat dan untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat, termasuk di peringkat keluarga, mengenai hak dan maruah seseorang kanak-kanak;
- (c) untuk membangunkan program yang bertujuan untuk mendidik masyarakat dalam usaha mencegah penderaan dan pengabaian kanak-kanak serta mencegah penglibatan kanak-kanak dalam perbuatan tidak bermoral atau jenayah;
- (d) untuk memastikan bahawa standard perkhidmatan yang disediakan oleh agensi dan jabatan Kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta bagi pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak memenuhi keperluan kanak-kanak;
- (e) untuk menyelaraskan pelbagai sumber daripada semua pihak, termasuk agensi dan jabatan Kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta, yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan bagi pemeliharaan, pelindungan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak;
- (f) untuk menyelaraskan dan memantau pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan kanak-kanak oleh agensi dan jabatan Kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta;
- (g) untuk mengumpul dan mengumpul semak data dan maklumat, dan menjalankan serta menggalakkan kajian, yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak;
- (h) untuk mereka bentuk suatu sistem pengurusan yang cekap dan berkesan di seluruh Malaysia bagi kanak-kanak yang memerlukan pelindungan;
- (i) untuk menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam proses pembuatan keputusan mengenai perkara yang menyentuh kanak-kanak;
- (j) untuk memantau aktiviti dan pelaksanaan fungsi Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak; dan
- (k) untuk melakukan apa-apa perkara lain sebagaimana yang difikirkannya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya secara berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya.
(3) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan segala perkara yang perlu atau suai manfaat bagi atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsinya.
Dana
3A. Kerajaan hendaklah menguntukkan dana yang mencukupi secara tahunan kepada Majlis untuk membolehkan Majlis melaksanakan fungsinya di bawah Akta ini.
Keanggotaan Majlis
4. (1) Majlis hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut:
- (a) Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan yang hendaklah menjadi Pengerusi;
- (b) Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau wakilnya;
- (c) Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan yang hendaklah menjadi Timbalan Pengerusi;
- (d) Peguam Negara atau wakilnya;
- (e) Ketua Polis Negara atau wakilnya;
- (f) Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi sumber manusia atau wakilnya;
- (g) Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri atau wakilnya;
- (h) Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi komunikasi atau wakilnya;
- (i) Ketua Pengarah Kesihatan atau wakilnya;
- (j) Ketua Pengarah Pendidikan atau wakilnya;
- (k) Ketua Pengarah Pendaftaran Negara atau wakilnya;
- (l) Komisioner Jeneral Penjara atau wakilnya;
- (m) Ketua Pengarah Imigresen atau wakilnya;
- (n) Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat yang hendaklah menjadi Setiausaha;
- (o) dua orang wakil daripada jabatan yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
- (p) seorang wakil kementerian, di Negeri Sabah, yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
- (q) seorang wakil kementerian, di Negeri Sarawak, yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
- (r) dua orang wakil dalam kalangan kanak-kanak yang hendaklah dilantik oleh Menteri, atas syor Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat; dan
- (s) tidak lebih daripada lima orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dalam perkara yang berhubungan dengan kebajikan dan perkembangan kanak-kanak termasuk mana-mana orang yang layak untuk memberikan nasihat mengenai faktor peribumi, etnik, kebudayaan atau agama yang berkaitan, yang dilantik oleh Menteri.
(2) Seseorang anggota Mahalis yang dilantik di bawah perenggan (1)(r) atau (s) hendaklah, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatannya atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan, memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan adalah layak dilantik semula bagi tempoh maksimum dua penggal berturut-turut.
Pembatalan dan peletakan jawatan
4A. (1) Menteri boleh, pada bila-bila masa, membatalkan pelantikan mana-mana anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan 4(1)(r) atau (s).
(2) Mana-mana anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan 4(1)(r) atau (s) boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatan dengan memberikan notis bertulis satu bulan kepada Menteri.
Mesyuarat Majlis
5. (1) Majlis hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat yang ditentukan oleh Pengerusi.
(2) Tiap-tiap mesyuarat Majlis hendaklah dipengerusikan—
- (a) oleh Pengerusi;
- (b) jika Pengerusi tidak hadir, oleh Timbalan Pengerusi; atau
- (c) jika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir, oleh seorang anggota yang dipilih oleh anggota yang hadir dalam kalangan mereka.
(3) Tujuh orang anggota Majlis termasuk sekurang-kurangnya seorang anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan 4(1)(r) hendaklah membentuk kuorum pada apa-apa mesyuarat Majlis.
(4) Jika mengenai apa-apa soal yang hendak diputuskan terdapat undi yang sama banyak, maka Pengerusi, atau Timbalan Pengerusi atau anggota yang disebut dalam perenggan (2)(c) jika dia mempengerusikan mesyuarat itu, hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi biasanya.
(4A) Majlis boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Majlis bagi maksud menasihati Majlis tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan tetapi orang itu tidak berhak untuk mengundi pada mesyuarat itu.
(4B) Anggota Majlis dan mana-mana orang yang diundang untuk menghadiri mesyuarat Majlis di bawah subseksyen (4A) boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.
(5) Tertakluk pada Akta ini, Majlis boleh menentukan tatacaranya sendiri.
Ketetapan tanpa bermesyuarat
5A. (1) Tertakluk pada subseksyen (2), Majlis boleh, jika perlu, meluluskan suatu ketetapan tanpa bermesyuarat.
(2) Syarat yang berikut hendaklah dipatuhi:
- (a) semua anggota Majlis telah dimaklumkan mengenai ketetapan yang dicadangkan itu atau usaha yang munasabah telah diambil untuk memaklumkan semua anggota Majlis mengenai ketetapan yang dicadangkan itu; dan
- (b) semua anggota Majlis menandakan persetujuan dengan ketetapan yang dicadangkan itu mengikut kaedah yang ditentukan oleh Majlis.
Penubuhan jawatankuasa
6. (1) Majlis boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang didapatinya perlu atau suai manfaat untuk membantunya melaksanakan fungsi-fungsinya di bawah Akta ini.
(2) Sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1)—
- (a) hendaklah dipengerusikan oleh seorang anggota Majlis;
- (b) hendaklah mematuhi dan bertindak mengikut apa-apa arahan yang diberikan kepadanya oleh Majlis; dan
- (c) boleh menentukan tatacaranya sendiri.
(3) Anggota-anggota jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh dilantik dalam kalangan anggota Majlis atau mana-mana orang lain sebagaimana yang difikirkan patut oleh Majlis.
(4) Anggota sesuatu jawatankuasa hendaklah memegang jawatan selama apa-apa tempoh yang dinyatakan dalam surat pelantikannya dan layak untuk dilantik semula.
(5) Majlis boleh membatalkan pelantikan mana-mana anggota sesuatu jawatankuasa tanpa memberikan apa-apa sebab bagi pembatalan itu.
(6) Anggota sesuatu jawatankuasa boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatan dengan memberikan notis secara bertulis kepada pengerusi jawatankuasa itu.
(7) Majlis boleh, pada bila-bila masa, menghentikan atau mengubah keanggotaan sesuatu jawatankuasa.
(8) Sesuatu jawatankuasa hendaklah mengadakan mesyuaratnya pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat yang ditentukan oleh pengerusi jawatankuasa itu.
(9) Sesuatu jawatankuasa boleh mengundang mana-mana orang untuk menghadiri mesyuaratnya bagi maksud menasihatinya tentang apa-apa perkara yang dibincangkan tetapi orang itu tidak berhak untuk mengundi pada mesyuarat itu.
(10) Kecuali anggota jawatankuasa yang dilantik dalam kalangan anggota Majlis, mana-mana orang lain yang dilantik sebagai anggota jawatankuasa boleh dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.
Pengosongan jawatan
6A. (1) Jawatan seseorang anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan 4(1)(r) atau (s) dan jawatan anggota jawatankuasa yang bukan anggota Majlis hendaklah menjadi kosong sekiranya—
- (a) dia meninggal dunia;
- (b) telah dibuktikan terhadapnya, atau dia telah disabitkan atas, suatu pertuduhan berkenaan dengan—
- (i) kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak;
- (ii) kesalahan di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan rasuah; atau
- (iii) mana-mana kesalahan lain yang boleh dihukum dengan pemenjaraan, sama ada pemenjaraan sahaja atau sebagai tambahan kepada denda atau sebagai ganti denda, selama lebih daripada dua tahun;
- (c) dia menjadi tidak sempurna akal atau selainnya tidak berupaya untuk menunaikan kewajipannya;
- (d) dia menjadi bankrap;
- (e) berkenaan dengan anggota Majlis, dia tidak menghadiri mesyuarat Majlis tiga kali berturut-turut tanpa kebenaran Pengerusi, dan berkenaan dengan anggota jawatankuasa yang bukan anggota Majlis, dia tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa kebenaran pengerusi jawatankuasa itu;
- (f) berkenaan dengan anggota Majlis, pelantikannya dibatalkan oleh Menteri, dan berkenaan dengan anggota jawatankuasa yang bukan anggota Majlis, pelantikannya dibatalkan oleh Majlis; atau
- (g) dia meletakkan jawatan.
(2) Jika seseorang anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan 4(1)(r) atau (s) terhenti daripada menjadi anggota Majlis, oleh sebab mana-mana peruntukan Akta ini, Menteri boleh melantik seorang yang lain untuk mengisi kekosongan itu bagi tempoh berbaki yang anggota yang mengosongkan jawatan itu dilantik mengikut peruntukan yang terpakai.
Penubuhan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak
7. (1) Majlis hendaklah menubuhkan di seluruh Malaysia kumpulan-kumpulan orang, setiap kumpulan dikenali sebagai “Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak”, bagi maksud menyelaraskan perkhidmatan-perkhidmatan setempat kepada keluarga-keluarga dan kanak-kanak jika kanak-kanak memerlukan atau disyaki memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.
(2) Sesuatu Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut:
- (a) tidak lebih daripada tujuh orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dalam perkara yang berhubungan dengan pemeliharaan dan pelindungan kanak-kanak, yang dilantik oleh Menteri;
- (b) seorang pegawai perubatan; dan
- (c) seorang pegawai kanan polis.
(2A) Menteri boleh melantik mana-mana anggota yang disebut dalam perenggan (2)(a) untuk menjadi pengerusi sesuatu Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak.
(3) Sesuatu Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak hendaklah diselia oleh seorang Pelindung dan hendaklah mempunyai kuasa untuk membawa turut serta dari semasa ke semasa mana-mana orang lain yang semunasabahnya diperlukan olehnya untuk membantunya melaksanakan fungsi dan kewajipannya atau sebagaimana yang diperlukan oleh hal keadaan setiap kes, termasuklah mana-mana orang yang layak untuk memberikan nasihat tentang faktor-faktor peribumi, etnik, kebudayaan atau agama yang berkaitan.
Penubuhan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak
7A. (1) Majlis hendaklah menubuhkan di seluruh Malaysia kumpulan-kumpulan orang, setiap kumpulan dikenali sebagai “Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak”, bagi maksud menyelaraskan perkhidmatan-perkhidmatan setempat kepada keluarga-keluarga dan kanak-kanak jika kanak-kanak—
- (a) memerlukan atau disyaki memerlukan pelindungan dan pemulihan; atau
- (b) didapati bersalah atas apa-apa kesalahan.
(2) Sesuatu Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut:
- (a) tidak lebih daripada tujuh orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dalam perkara yang berhubungan dengan pelindungan dan pemulihan kanak-kanak, yang dilantik oleh Menteri;
- (b) seorang Pegawai Pendidikan; dan
- (c) seorang pegawai kanan polis.
(3) Menteri boleh melantik mana-mana anggota yang disebut dalam perenggan (2)(a) untuk menjadi pengerusi sesuatu Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak.
(4) Sesuatu Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak hendaklah diselia oleh seorang pegawai akhlak atau Pelindung dan hendaklah mempunyai kuasa untuk membawa turut serta dari semasa ke semasa mana-mana orang lain yang semunasabahnya diperlukan olehnya untuk membantunya melaksanakan fungsi dan kewajipannya atau sebagaimana yang diperlukan oleh hal keadaan setiap kes, termasuklah mana-mana orang yang layak untuk memberikan nasihat tentang faktor-faktor peribumi, etnik, kebudayaan atau agama yang berkaitan.
Bahagian III
PELANTIKAN PELINDUNG, DSB.
Pelantikan dan kuasa Pelindung
8. (1) Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik apa-apa bilangan Pegawai Kebajikan Masyarakat untuk menjalankan kuasa dan melaksanakan kewajipan seorang Pelindung di bawah Akta ini tertakluk pada apa-apa syarat yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu.
(2) Seseorang Pelindung—
- (a) hendaklah mempunyai kuasa seorang Majistret berkenaan dengan pengambilan keterangan pada mana-mana siasatan yang diadakan olehnya di bawah Akta ini;
- (b) hendaklah memberi Mahkamah suatu salinan nota keterangan itu apabila diminta berbuat demikian dengan perintah Mahkamah itu; dan
- (c) tidak boleh dipaksa untuk menjawab apa-apa soalan dalam apa-apa prosiding kehakiman tentang alasan-alasan keputusan atau kepercayaannya—
- (i) dalam apa-apa kes yang dikendalikan olehnya di bawah Akta ini; atau
- (ii) tentang apa-apa jua yang sampai kepada pengetahuannya dalam apa-apa siasatan yang dibuat olehnya sebagai Pelindung.
(3) Tiap-tiap perintah atau saman yang berupa sebagai yang dikeluarkan oleh dan di bawah tandatangan dan meterai Pelindung menurut Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan di mana-mana Mahkamah tanpa bukti lanjut dan hendaklah menjadi keterangan prima facie tentang fakta yang dinyatakan dalam perintah atau saman itu.
(4) Segala perbuatan yang dilakukan menurut apa-apa perintah atau saman yang disebut dalam subseksyen (3) hendaklah disifatkan telah dibenarkan oleh undang-undang.
Pelantikan Pembantu Pelindung
8A. Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana orang untuk menjalankan kuasa dan melaksanakan kewajipan seorang Pembantu Pelindung di bawah seksyen 18, 19 dan 20 tertakluk pada apa-apa syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu.
Pelantikan Ketua Pendaftar dan Pendaftar
9. (1) Menteri boleh melantik seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat untuk menjadi Ketua Pendaftar Kanak-Kanak bagi maksud Akta ini.
(2) Menteri boleh melantik apa-apa bilangan pegawai awam sebagaimana yang difikirkannya perlu dengan nama atau atas jawatan untuk menjadi Pendaftar Kanak-Kanak.
(3) Ketua Pendaftar hendaklah mempunyai pengawasan dan kawalan am ke atas—
- (a) Pendaftar-Pendaftar yang dilantik di bawah subseksyen (2); dan
- (b) pendaftaran kanak-kanak yang memerlukan perlindungan di bawah Akta ini.
Pelantikan pegawai akhlak
10. (1) Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik apa-apa bilangan Pegawai Kebajikan Masyarakat sebagaimana yang difikirkannya perlu untuk menjadi pegawai akhlak di seluruh Malaysia atau mana-mana bahagian di Malaysia.
(2) Seseorang pegawai akhlak apabila bertindak di bawah suatu perintah percubaan hendaklah tertakluk pada kawalan Mahkamah Pengawas.
(3) Dalam seksyen ini, “Pegawai Kebajikan Masyarakat” termasuklah Pembantu Kebajikan Masyarakat.
Bahagian IV
MAHKAMAH BAGI KANAK-KANAK
Penubuhan dan bidang kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
11. (1) Mahkamah yang ditubuhkan mengikut Akta ini dan bersidang bagi maksud—
- (a) mendengar, memutuskan atau membereskan apa-apa pertuduhan terhadap seseorang kanak-kanak; atau
- (b) menjalankan apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan atau yang akan diberikan kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak oleh atau di bawah Akta ini atau oleh mana-mana undang-undang yang bertulis lain, hendaklah dikenali sebagai “Mahkamah Bagi Kanak-Kanak”.
(2) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah terdiri daripada seorang Majistrest yang, pada menjalankan fungsi-fungsinya sebagai suatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak kecuali apabila membuat sesuatu perintah di bawah subseksyen 39(4), 42(4), 84(3) atau 86(1), mengikut kehendak keadaan, hendaklah dibantu oleh dua orang penasihat yang hendaklah dilantik oleh Menteri daripada suatu panel orang yang bermastautin di Negeri itu.
(3) Seorang daripada dua orang penasihat yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah seorang wanita.
(4) Fungsi-fungsi penasihat ialah—
- (a) untuk memaklumkan dan menasihati Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengenai apa-apa pertimbangan yang menyentuh perintah yang dibuat berdasarkan suatu dapatan bersalah atau pelakuan lain yang berkaitan terhadap mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapan Mahkamah itu; dan
- (b) jika perlu, untuk menasihati ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu.
(5) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kesalahan kecuali kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati.
(6) Kecuali sebagaimana yang diubahsuaikan atau diperluas oleh Bahagian ini, Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] hendaklah terpakai bagi Mahkamah Bagi Kanak-Kanak seolah-olah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak ialah Mahkamah Majistret.
Tempat bersidang dan orang yang boleh hadir di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
12. (1) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah, jika dapat dilaksanakan, bersidang—
- (a) sama ada di dalam suatu bangunan atau bilik yang berlainan daripada bangunan atau bilik di mana persidangan Mahkamah-Mahkamah selain Mahkamah Bagi Kanak-Kanak diadakan; atau
- (b) pada hari-hari yang berlainan daripada hari-hari persidangan Mahkamah-Mahkamah yang lain itu diadakan.
(2) Jika sesuatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang di dalam bangunan yang sama dengan Mahkamah-Mahkamah yang lain, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mempunyai pintu masuk dan pintu keluar yang berlainan daripada pintu masuk dan pintu keluar Mahkamah-Mahkamah yang lain itu untuk membolehkan kanak-kanak dibawa ke dan dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu tanpa gangguan.
(3) Tiada seorang pun boleh hadir dalam mana-mana persidangan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak kecuali—
- (a) anggota dan pegawai Mahkamah itu;
- (b) kanak-kanak yang menjadi pihak dalam kes di hadapan Mahkamah itu, ibu dan bapa, penjaga, peguam bela dan saksi mereka, dan orang lain yang ada kena-mengena secara langsung dengan kes itu; dan
- (c) mana-mana orang lain yang bertanggungjawab sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah itu.
Tempoh yang dinyatakan dalam mana-mana perintah yang dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak tidak boleh melampaui tarikh kanak-kanak mencapai umur lapan belas tahun
13. Kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta ini, apa-apa tempoh yang dinyatakan dalam mana-mana perintah yang dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah Akta ini tidak boleh melampaui tarikh kanak-kanak yang dimaksudkan dalam perintah itu mencapai umur lapan belas tahun.
Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh memerintahkan supaya peletakan, penahanan, dsb., melampaui tarikh kanak-kanak mencapai umur lapan belas tahun
14. (1) Walau apa pun apa-apa jua dalam Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis atau mana-mana rukun undang-undang, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, jika Mahkamah itu berpendapat bahawa hal keadaan memerlukannya, membuat suatu perintah yang berhubungan dengan—
- (a) peletakan atau penahanan seseorang kanak-kanak di sesuatu tempat tahanan, tempat perlindungan, asrama akhlak, sekolah diluluskan, Sekolah Henry Gurney, institusi atau pusat yang diluluskan;
- (b) pengawasan seseorang kanak-kanak oleh seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat, Pelindung atau pegawai akhlak, mengikut mana-mana yang berkenaan;
- (c) mana-mana tempoh percubaan; atau
- (d) tempoh perintah khidmat masyarakat,
yang mempunyai kesan melanjutkan tempoh peletakan, penahanan, pengawasan, percubaan atau khidmat masyarakat sedemikian melampaui tarikh kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun.
(2) Perintah yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah dipatuhi oleh kanak-kanak itu dan semua pihak yang dimaksudkan dalam perintah itu selagi perintah itu masih berkuat kuasa dan berkesan.
Sekatan ke atas laporan dan penyiaran media
15. (1) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa laporan media massa mengenai—
- (a) apa-apa langkah yang diambil terhadap seseorang kanak-kanak yang terlibat atau berupa sebagai terlibat dalam apa-apa perbuatan atau peninggalan jenayah, sama ada langkah-langkah itu semasa penyiasatan atau pada peringkat sebelum perbicaraan, perbicaraan atau selepas perbicaraan;
- (b) mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya jagaan diambil di bawah Bahagian V, VI dan VIII;
- (ba) mana-mana kanak-kanak yang ditahan di bawah Bahagian VII;
- (c) mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya mana-mana kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis telah atau disyaki telah dilakukan; atau
- (d) mana-mana prosiding di bawah Bahagian VI,
tidak boleh mendedahkan nama, alamat atau institusi pendidikan, atau memasukkan apa-apa butir yang dikira boleh membawa kepada pengenalpastian mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian sama ada sebagai orang yang terhadapnya atau yang berkenaan dengannya tindakan sedang diambil atau sebagai seorang saksi dalam tindakan itu.
(2) Gambar—
- (a) mana-mana kanak-kanak yang terlibat dalam mana-mana perkara yang disebut dalam subseksyen (1); atau
- (b) mana-mana orang, tempat atau benda lain boleh membawa kepada pengenalpastian mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian,
tidak boleh disiarkan dalam apa-apa akhbar atau majalah atau disampaikan melalui apa-apa perantara elektronik.
(3) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atau, dalam hal keadaan yang memerlukan tindakan segera, Majistret—
- (a) boleh, jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atau Majistret itu berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan keadilan untuk berbuat demikian; dan
- (b) hendaklah, dalam hal sesuatu permohonan oleh atau dengan kebenaran Pelindung,
mengetepikan kehendak seksyen ini setakat yang difikirkan suai manfaat oleh Mahkamah atau Majistret itu.
(4) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. (5) Bagi maksud seksyen ini, “menyampaikan” termasuklah menyiarkan melalui radio atau televisyen.
Anggapan mengenai umur
16. (1) Jika dalam sesuatu pertuduhan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan di bawah Akta ini—
- (a) dikatakan bahawa orang yang melakukan kesalahan itu di bawah umur atau sudah mencapai mana-mana umur yang tertentu; dan
- (b) bahawa orang itu pada hemat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah pada tarikh pelakuan kesalahan yang dikatakan itu di bawah umur atau sudah mencapai umur yang tertentu, mengikut mana-mana yang berkenaan,
orang itu hendaklah, bagi maksud Akta ini, dianggapkan pada tarikh itu di bawah umur atau sudah mencapai umur itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan apa-apa perintah yang dibuat dalam pertuduhan itu tidak boleh dibatalkan dengan apa-apa bukti kemudiannya bahawa umur itu telah dinyatakan dengan tidak betul.
(2) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berasa ragu-ragu tentang umur yang tepat bagi orang yang dikatakan telah melakukan sesuatu kesalahan, perakuan seorang pegawai perubatan yang bermaksud bahawa, pada pendapatnya, orang itu sudah atau belum mencapai umur yang tertentu boleh diberikan sebagai keterangan, dan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mengisytiharkan umur orang itu bagi maksud Akta ini.
(3) Umur yang diisytiharkan sedemikian oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah subseksyen (2) hendaklah disifatkan sebagai umur sebenar orang itu, melainkan dan sehingga dibuktikan sebaliknya.
Bahagian V
KANAK-KANAK YANG MEMERLUKAN PEMELIHARAAN DAN PELINDUNGAN
Bab 1
AM
Pengertian kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan
17. (1) Seseorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan pelindungan jika—
- (a) kanak-kanak itu telah atau besar kemungkinan kanak-kanak itu akan dicederakan dari segi fizikal atau dicederakan dari segi emosi atau dianiayai dari segi seks oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau seseorang saudaranya;
- (b) kanak-kanak itu telah atau besar kemungkinan kanak-kanak itu akan dicederakan dari segi fizikal atau dicederakan dari segi emosi atau dianiayai dari segi seks dan ibu atau bapa atau penjaganya, yang tahu tentang kecederaan atau penganiayaan atau kemungkinan sedemikian, telah tidak melindungi atau tidak mungkin akan melindungi kanak-kanak itu daripada kecederaan atau penganiayaan sedemikian;
- (c) ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu—
- (i) tidak layak, atau telah mengabaikan, atau tidak berupaya, untuk menjalankan; atau
- (ii) telah bertindak secara cuai dalam menjalankan, pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya ke atas kanak-kanak itu;
- (d) ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu telah abai atau berkeberatan untuk mengadakan pemeliharaan, makanan, pakaian dan tempat berteduh yang mencukupi untuk kanak-kanak itu;
- (e) kanak-kanak itu—
- (i) tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga; atau
- (ii) telah dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya dan selepas siasatan yang munasabah ibu atau bapa atau penjaga itu tidak dapat ditemui;
- (f) kanak-kanak itu perlu diperiksa, disiasat atau dirawat—
- (i) bagi maksud memulihkan atau memelihara kesihatannya; dan
- (ii) ibu atau bapa atau penjaganya abai atau enggan mendapatkan kanak-kanak itu diperiksa, disiasat atau dirawat sedemikian;
- (g) kanak-kanak itu berkelakuan dengan cara yang, atau yang mungkin, memudaratkan dirinya atau mana-mana orang lain dan ibu atau bapa atau penjaganya tidak upaya atau berkeberatan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki keadaan atau langkah-langkah memperbaiki keadaan yang diambil oleh ibu atau bapa atau penjaga itu gagal;
- (h) (Dipotong oleh Akta A1511);
- (i) kanak-kanak itu ialah seorang yang berkenaan dengannya mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama atau mana-mana kesalahan daripada jenis yang diperihalkan dalam seksyen 31, 32 dan 33 telah atau disyaki telah dilakukan dan ibu atau bapa atau penjaganya—
- (i) ialah orang yang melakukan kesalahan sedemikian atau yang disyaki telah melakukan kesalahan sedemikian; atau
- (ii) telah tidak melindunginya atau tidak mungkin akan melindunginya daripada kesalahan sedemikian;
- (j) kanak-kanak itu ialah—
- (i) anggota keluarga isi rumah yang sama dengan kanak-kanak yang disebut dalam perenggan (i); atau
- (ii) anggota keluarga isi rumah yang sama dengan orang yang telah disabitkan atas kesalahan yang disebut dalam perenggan (i),
dan yang nampaknya dalam bahaya akan dilakukan ke atasnya atau berkenaan dengannya kesalahan yang serupa dan ibu atau bapa atau penjaganya—
- (aa) ialah orang yang melakukan atau disyaki telah melakukan kesalahan itu;
- (bb) ialah orang yang telah disabitkan atas kesalahan sedemikian; atau
- (cc) tidak upaya atau berkeberatan melindunginya daripada kesalahan sedemikian;
- (k) kanak-kanak itu dibenarkan berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud—
- (i) mengemis atau menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk jualan;
- (ii) menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram, perjudian atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu; atau
- (iii) menjalankan apa-apa aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.
(2) Bagi maksud Bahagian ini, seseorang kanak-kanak—
- (a) dicederakan dari segi fizikal jika ada kecederaan yang substansial dan boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat pengenaan kekerasan atau agen yang bukan tidak sengaja kepada tubuh kanak-kanak itu yang didalilkan dengan, antara lain, laserasi, kontusi, lelasan, parut, patah atau kecederaan tulang yang lain, dislokasi, seliuh, pendarahan, pecah viskus, luka terbakar, melecur, hilang atau berubah kesedaran atau fungsi fisiologi atau gugur rambut atau kehilangan gigi;
- (b) dicederakan dari segi emosi jika ada gangguan yang substansial dan boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu yang dibuktikan dengan, antara lain, kecelaruan mental atau tingkah laku, termasuk keresahan, kemurungan, penyendirian, kelangsangan atau perkembangan lambat;
- (c) teraniaya dari segi seks jika dia telah mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi maksud—
- (i) apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang berunsur pornografi, lucah atau sumbang; atau
- (ii) eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.
Bab 2
JAGAAN SEMENTARA DAN PEMERIKSAAN DAN RAWATAN PERUBATAN
Pengambilan kanak-kanak ke dalam jagaan sementara
18. (1) Mana-mana Pelindung, Pembantu Pelindung atau pegawai polis yang berpuas hati atas alasan-alasan yang munasabah bahawa seseorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan pelindungan boleh mengambil kanak-kanak itu ke dalam jagaan sementara, melainkan jika Pelindung, Pembantu Pelindung atau pegawai polis itu berpuas hati bahawa—
- (a) pengambilan prosiding berhubung dengan kanak-kanak itu tidak wajar demi kepentingan kanak-kanak itu; atau
- (b) prosiding itu akan diambil oleh orang lain.
(2) Seseorang Pelindung yang mengambil seseorang kanak-kanak ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen ini hendaklah, sebaik selepas pengambilan itu, menyebabkan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu diberitahu tentang pengambilan itu.
(3) Seseorang Pembantu Pelindung atau pegawai polis yang mengambil seseorang kanak-kanak ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen ini hendaklah—
- (a) sebaik selepas pengambilan itu, memberitahu Pelindung tentang pengambilan itu dan menyebabkan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu diberitahu tentang pengambilan itu; dan
- (b) dalam masa dua belas jam selepas pengambilan itu, membawa kanak-kanak itu ke hadapan Pelindung.
(4) Jika kanak-kanak yang dibawa ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen ini lepas lari atau dipindahkan tanpa kebenaran yang sah, Pelindung hendaklah menyiasat hal keadaan kes itu dan memberitahu ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu tentang pelepasan lari atau pemindahan kanak-kanak itu.
(5) Mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen ini yang lepas lari atau dipindahkan tanpa kebenaran yang sah boleh ditangkap tanpa waran oleh Pelindung, Pembantu Pelindung atau pegawai polis.
(6) Jika kanak-kanak itu ditangkap oleh Pelindung, kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak oleh Pelindung mengikut seksyen 19.
(7) Jika kanak-kanak itu ditangkap oleh Pembantu Pelindung atau pegawai polis, kanak-kanak itu hendaklah dengan serta-merta dibawa ke hadapan Pelindung dan Pelindung hendaklah membawa kanak-kanak itu ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengikut seksyen 19.
(8) Mana-mana orang yang—
- (a) memindahkan seseorang kanak-kanak daripada jagaan sementara di bawah subseksyen (1) tanpa kebenaran yang sah;
- (b) dengan sedar membantu atau mendorong, secara langsung atau tidak langsung, seseorang kanak-kanak untuk lepas lari daripada jagaan sementara di bawah subseksyen (1); atau
- (c) dengan sedar menyorokkan atau menyembunyikan seseorang kanak-kanak yang telah lepas lari sedemikian, atau menghalang kanak-kanak itu untuk kembali ke dalam jagaan sementara di bawah subseksyen (1),
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pengemukaan di hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
19. (1) Tertakluk pada seksyen 20, tiap-tiap kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen 18 hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak oleh Pelindung dalam masa dua puluh empat jam tidak termasuk masa perjalanan yang perlu dari tempat kanak-kanak itu diambil ke dalam jagaan sedemikian ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
(2) Jika tidak mungkin seseorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan dalam subseksyen (1), kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan buat sementara—
- (a) di suatu tempat selamat atau pusat; atau
- (b) dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai, sehingga masa kanak-kanak itu dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
(3) Jika seseorang kanak-kanak diletakkan di suatu tempat selamat atau pusat atau dalam pemeliharaan seorang yang layak dan sesuai di bawah subseksyen (2)—
- (a) orang yang menjaga tempat selamat atau pusat itu atau orang yang layak dan sesuai itu hendaklah mempunyai kawalan ke atas, dan bertanggungjawab bagi penyenggaraan, kanak-kanak itu sama seperti ibu atau bapa kanak-kanak itu; dan
- (b) kanak-kanak itu hendaklah terus berada dalam pemeliharaan orang yang disebut dalam perenggan (a) walaupun kanak-kanak itu dituntut oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau mana-mana orang lain.
(4) (Dipotong oleh Akta A1511).
(5) (Dipotong oleh Akta A1511).
Kanak-kanak yang memerlukan pemeriksaan atau rawatan perubatan
20. (1) Jika seseorang Pelindung yang mengambil seseorang kanak-kanak ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen 18 berpendapat bahawa kanak-kanak itu memerlukan pemeriksaan atau rawatan perubatan, Pelindung itu boleh, tidak membawa kanak-kanak itu ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atau Majistret, mengikut mana-mana yang berkenaan, tetapi sebaliknya mengemukakan kanak-kanak itu ke hadapan seorang pegawai perubatan.
(1a) Jika Pembantu Pelindung atau pegawai polis yang mengambil seseorang kanak-kanak ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen 18 berpendapat bahawa kanak-kanak itu memerlukan pemeriksaan atau rawatan perubatan, Pembantu Pelindung atau pegawai polis itu boleh, tidak membawa kanak-kanak itu ke hadapan Pelindung di bawah perenggan 18(3)(b), sebaliknya mengemukakan kanak-kanak itu ke hadapan seorang pegawai perubatan.
(2) Jika pada masa dia diambil ke dalam jagaan seseorang kanak-kanak itu ialah seorang pesakit di suatu hospital, Pelindung, Pembantu Pelindung atau pegawai polis yang mengambil kanak-kanak itu ke dalam jagaan boleh meninggalkan kanak-kanak itu di hospital itu.
(2a) Jika kanak-kanak yang dibawa ke dalam jagaan sementara oleh Pembantu Pelindung atau pegawai polis—
- (a) dikemukakan ke hadapan seorang pegawai perubatan di bawah subseksyen (1a); atau
- (b) ialah seorang pesakit di suatu hospital dan ditinggalkan di hospital itu di bawah subseksyen (2),
untuk menjalani pemeriksaan atau rawatan perubatan, Pembantu Pelindung atau pegawai polis itu hendaklah memberitahu Pelindung mengenai tindakannya itu.
(3) Jika seseorang Pelindung atau pegawai polis tidak mengambil seseorang kanak-kanak ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen 18 tetapi dia berpuas hati atas alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu memerlukan pemeriksaan atau rawatan perubatan, dia boleh mengarahkan secara bertulis orang yang pada hematnya sedang memelihara kanak-kanak itu supaya membawa kanak-kanak itu kepada seorang pegawai perubatan dengan serta-merta.
(3a) Jika Pembantu Pelindung tidak mengambil seseorang kanak-kanak ke dalam jagaan sementara di bawah seksyen 18 tetapi dia berpuas hati atas alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu memerlukan pemeriksaan atau rawatan perubatan, dia boleh, dengan kelulusan Pelindung, mengarahkan secara bertulis orang yang pada hematnya sedang memelihara kanak-kanak itu supaya membawa kanak-kanak itu kepada seorang pegawai perubatan dengan serta-merta.
(4) Jika orang yang disebut dalam subseksyen (3) dan (3a) tidak mematuhi arahan yang diberikan di bawah subseksyen itu dalam masa empat puluh lapan jam, seseorang Pelindung, Pembantu Pelindung atau pegawai polis boleh mengambil kanak-kanak itu ke dalam jagaan sementara bagi maksud mengemukakan kanak-kanak itu ke hadapan seorang pegawai perubatan.
Pemeriksaan dan rawatan perubatan
21. Seseorang pegawai perubatan yang ke hadapannya seseorang kanak-kanak dikemukakan di bawah subseksyen 20(1), (1a) atau (4)—
- (a) hendaklah menjalankan atau menyebabkan dijalankan pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu;
- (b) boleh, pada memeriksa kanak-kanak itu dan jika dibenarkan sedemikian oleh Pelindung atau pegawai polis, melakukan atau menyebabkan dilakukan apa-apa tatacara dan ujian yang perlu untuk mendiagnosis keadaan kanak-kanak itu; dan
- (c) boleh memberikan atau menyebabkan diberikan apa-apa rawatan yang difikirkannya perlu berikutan keputusan diagnosisnya itu.
Kebenaran untuk dimasukkan ke hospital
22. Jika pegawai perubatan yang memeriksa seseorang kanak-kanak di bawah seksyen 21 berpendapat bahawa kanak-kanak itu perlu dimasukkan ke hospital bagi maksud pemeliharaan atau rawatan perubatan, seseorang Pelindung atau pegawai polis boleh membenarkan kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital.
Kawalan ke atas kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital
23. Jika seseorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital di bawah seksyen 22, Ketua Pengarah hendaklah mempunyai kawalan ke atas, dan tanggungjawab bagi penyenggaraan, kanak-kanak itu sama seperti yang dipunyai oleh orang yang menjaga sesuatu tempat selamat jika kanak-kanak itu telah diletakkan di tempat selamat itu.
Kebenaran bagi rawatan perubatan
24. (1) Jika, pada pendapat seseorang pegawai perubatan, kanak-kanak yang disebut dalam seksyen 21 memerlukan rawatan bagi penyakit, kecederaan atau keadaan yang ringan, seseorang Pelindung atau pegawai polis boleh membenarkan rawatan sedemikian.
(2) Jika, pada pendapat seseorang pegawai perubatan, kanak-kanak yang disebut dalam seksyen 21 mengalami penyakit, kecederaan atau keadaan yang serius atau memerlukan pembedahan atau rawatan psikiatri, seorang Pelindung atau pegawai polis—
- (a) hendaklah dengan serta-merta memberitahu atau mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memberitahu dan berunding dengan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu atau mana-mana orang yang mempunyai kuasa untuk mengizinkan rawatan sedemikian; dan
- (b) boleh, dengan keizinan bertulis ibu atau bapa atau penjaga atau orang itu, membenarkan apa-apa rawatan perubatan atau pembedahan atau psikiatri yang difikirkan perlu oleh seorang pegawai perubatan.
(3) Jika seseorang pegawai perubatan memperakui secara bertulis bahawa terdapat risiko hampir kepada kesihatan seseorang kanak-kanak, seseorang Pelindung boleh membenarkan, tanpa memperoleh keizinan yang disebut dalam subseksyen (2), apa-apa rawatan perubatan atau pembedahan atau psikiatri yang difikirkan perlu oleh pegawai perubatan itu tetapi hanya di bawah mana-mana hal keadaan yang berikut:
- (a) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu atau mana-mana orang yang mempunyai kuasa untuk mengizinkan rawatan sedemikian telah dengan tidak munasabah enggan memberikan, atau tidak memberikan, keizinan bagi rawatan sedemikian;
- (b) bahawa ibu atau bapa atau penjaga atau orang yang disebut dalam perenggan (a) tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah; atau
- (c) Pelindung itu mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa ibu atau bapa atau penjaga atau orang yang disebut dalam perenggan (a) telah menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan, atau menganiayai dari segi seks, kanak-kanak itu.
Langkah-langkah yang hendaklah diambil selepas pemeriksaan atau rawatan perubatan
25. (1) Seseorang kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan di bawah seksyen 18 dan yang diperiksa atau dirawat dari segi perubatan di bawah seksyen 21 hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa dua puluh empat jam—
- (a) apabila selesai pemeriksaan atau rawatan sedemikian; atau
- (b) jika kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital, apabila dia dibenarkan keluar dari hospital.
(2) Jika tidak mungkin kanak-kanak itu dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan dalam subseksyen (1), kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan buat sementara—
- (a) di suatu tempat selamat atau pusat; atau
- (b) dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai, sehingga masa kanak-kanak itu dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
(3) Seseorang kanak-kanak yang—
- (a) diambil ke dalam jagaan di bawah subseksyen 20(4); dan
- (b) kemudiannya menjalani pemeriksaan atau rawatan perubatan,
hendaklah dikembalikan kepada orang yang daripada pemeliharaannya kanak-kanak itu diambil—
- (aa) apabila selesai pemeriksaan atau rawatan sedemikian; atau
- (bb) jika kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital, apabila dia dibenarkan keluar dari hospital.
Tiada liabiliti ditanggung kerana memberikan kebenaran
26. (1) Jika seseorang kanak-kanak diperiksa atau dirawat menurut seksyen 21 atau 24—
- (a) Pelindung atau pegawai polis yang membenarkan pemeriksaan atau rawatan itu;
- (b) pegawai perubatan yang memeriksa atau merawat kanak-kanak itu; dan
- (c) semua orang yang bertindak membantu pegawai perubatan itu,
tidaklah menanggung apa-apa liabiliti di sisi undang-undang hanya oleh sebab seseorang kanak-kanak telah diperiksa atau dirawat menurut seksyen itu.
(2) Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam subseksyen (1) mengecualikan seseorang pegawai perubatan daripada liabiliti berkenaan dengan pemeriksaan atau rawatan seseorang kanak-kanak jika liabiliti itu ialah liabiliti yang kepadanya dia akan terdedah sekiranya pemeriksaan atau rawatan itu telah dijalankan atau diberikan dengan keizinan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu atau orang yang mempunyai kuasa untuk mengizinkan pemeriksaan atau rawatan itu.
Kewajipan pegawai perubatan atau pengamal perubatan
27. (1) Jika seseorang pegawai perubatan atau pengamal perubatan berdaftar mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa seseorang kanak-kanak yang sedang diperiksanya atau dirawatnya telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau didedahkan, atau teraniaya dari segi seks, dia hendaklah dengan serta-merta memberitahu seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat.
(2) Mana-mana pegawai perubatan atau pengamal perubatan berdaftar yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(3) Jika pengamal perubatan berdaftar yang disebut dalam subseksyen (1) ialah seorang pegawai perubatan, ia boleh mengambil kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen itu ke dalam jagaan sementara sehingga jagaan sementara kanak-kanak itu diambil alih oleh seorang Pelindung atau pegawai polis.
Kewajipan anggota keluarga
28. (1) Jika mana-mana anggota keluarga seseorang kanak-kanak mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks, dia hendaklah dengan serta-merta memberitahu seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat.
(2) Mana-mana anggota keluarga yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(3) (Dipotong oleh Akta A1511).
Kewajipan pengasuh kanak-kanak
29. (1) Jika seseorang pengasuh kanak-kanak mempercayai atas alasan-alasan yang munasabah bahawa seseorang kanak-kanak telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks, dia hendaklah dengan serta-merta memberitahu seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat.
(2) Mana-mana pengasuh kanak-kanak yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Maklumat mengenai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan
29a. Jika mana-mana orang, selain orang yang disebut dalam seksyen 27, 28 dan 29, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa seseorang kanak-kanak telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks, dia boleh memberikan maklumat itu kepada seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat.
Kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
30. (1) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berpuas hati bahawa mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya di bawah seksyen 19 atau 25 ialah seorang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu, selepas mengambil kira bahawa meletakkan kanak-kanak dalam pemeliharaan berasaskan keluarga adalah sebaik-baiknya, boleh—
- (a) memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
- (b) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan seseorang yang layak dan sesuai selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
- (c) dalam hal seseorang kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau yang telah terbuang sebagaimana yang diperihalkan dalam perenggan 17(1)(e), membuat perintah—
- (i) meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan ibu atau bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah selama tempoh dua tahun dari tarikh kanak-kanak itu diletakkan dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan ibu atau bapa peliharaan itu atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek, dan sementara itu, meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat; atau
- (ii) meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan orang yang layak dan sesuai selama tempoh dua tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek;
- (ca) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di suatu pusat selama tempoh tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek;
- (d) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat selama tempoh tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek.
- (e) (Dipotong oleh Akta A1511).
(1a) Sebagai tambahan kepada perintah yang dibuat di bawah perenggan (1)(a), (b), (c) atau (ca), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan—
- (a) seorang Pelindung; atau
- (b) seorang lain yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak,
selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu.
(2) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat suatu perintah di bawah subperenggan (1)(c)(i), Ketua Pengarah hendaklah, bagi maksud melaksanakan perintah itu, dengan serta-merta berusaha untuk meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seseorang ibu atau bapa peliharaan.
(3) Jika pada bila-bila masa kemudiannya ibu atau bapa peliharaan itu bercadang untuk mengembalikan kanak-kanak yang telah diletakkan dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalannya di bawah subperenggan (1)(c)(i), dia hendaklah membuat laporan sendiri kepada Pelindung dan membawa kanak-kanak itu ke hadapan Pelindung itu, dan Pelindung itu hendaklah meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat.
(4) Jika dalam tempoh yang disebut dalam perenggan (1)(c) ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak yang berkenaan tidak menuntut kanak-kanak itu atau tidak muncul, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh—
- (a) apabila habis tempoh itu; dan
- (b) jika Mahkamah berpuas hati bahawa langkah-langkah yang munasabah telah diambil oleh Pelindung untuk mengesan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu,
membuat suatu perintah menyerahkan kanak-kanak itu untuk diangkat oleh ibu atau bapa peliharaan itu atau mana-mana orang yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak itu dan dalam mana-mana hal sedemikian—
- (aa) keizinan ibu atau bapa atau penjaga bagi pengangkatan kanak-kanak itu hendaklah dikecualikan; dan
- (bb) Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257] (dalam hal seseorang kanak-kanak yang tidak menganuti agama Islam), Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253], Ordinan Pengangkatan Sabah 1960 dan Ordinan Pengangkatan Sarawak [Cap. 91] hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.
(5) Dalam menentukan apakah perintah yang hendak dibuat di bawah subseksyen (1), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah memberikan pertimbangan utama kepada kepentingan kanak-kanak itu.
(6) Sebelum membuat sesuatu perintah di bawah subseksyen (1) atau (4), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah menimbangkan dan mengambil kira apa-apa laporan yang disediakan oleh Pelindung yang—
- (a) hendaklah mengandungi apa-apa maklumat tentang latar belakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seseorang kanak-kanak yang dapat membolehkan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu menguruskan kes itu demi kepentingan kanak-kanak itu; dan
- (b) boleh memasukkan apa-apa laporan bertulis seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat, pengamal perubatan berdaftar atau mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak layak untuk menyediakan suatu laporan mengenai kanak-kanak itu.
(7) Bagi membolehkan Pelindung menyediakan dan mengemukakan laporan yang disebut dalam subseksyen (6), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh—
- (a) dari semasa ke semasa, menangguhkan kes selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua bulan pada satu-satu masa; dan
- (b) membuat berkenaan dengan kanak-kanak itu, sebagai suatu perintah interim yang berkuat kuasa hanya semasa tempoh penangguhan itu, apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah subseksyen (1).
(8) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, dalam membuat apa-apa perintah di bawah subseksyen (1), mengenakan apa-apa syarat atau memberikan apa-apa arahan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah bagi maksud memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu yang berkenaan dengannya perintah sedemikian dibuat, dan syarat atau arahan itu boleh termasuk yang berikut:
- (a) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu yang ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat-pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian;
- (b) jika kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat selamat, bahawa ibu atau bapa atau penjaganya hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak; atau
- (c) jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan, bahawa ibu atau bapa atau penjaganya hendaklah berunding dengan guru dan guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.
(9) Mana-mana ibu atau bapa atau penjaga yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan atau arahan yang diberikan di bawah subseksyen (8) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.
(10) Sesuatu perintah di bawah subseksyen (1) tidak boleh dibuat tanpa memberi ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu peluang untuk hadir dan didengar.
(11) Walau apa pun subseksyen (10), suatu perintah di bawah subseksyen (1) boleh dibuat jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan oleh seseorang Pelindung bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu, setelah dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian, atau tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah.
(12) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak tidak berpuas hati bahawa seseorang kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya di bawah seksyen 19 atau 25 memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah memerintahkan supaya kanak-kanak itu dikembalikan kepada pemeliharaan dan jagaan ibu atau bapa atau penjaganya.
(13) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, atas permohonan—
- (a) seorang Pelindung;
- (b) orang yang menjaga sesuatu tempat selamat atau pusat; atau
- (c) ibu atau bapa atau penjaga seseorang kanak-kanak,
meminda, mengubah atau membatalkan apa-apa perintah yang dibuat di bawah seksyen ini—
- (aa) jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan kanak-kanak itu untuk berbuat demikian; atau
- (bb) apabila dibuktikan bahawa hal keadaan yang dalamnya perintah itu dibuat telah berubah selepas pembuatan perintah itu.
Bab 3
KESALAHAN BERHUBUNG DENGAN KESIHATAN DAN KEBAJIKAN KANAK-KANAK
Penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak
31. (1) Mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak—
- (a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; atau
- (b) yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian,
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.
(2) Mahkamah hendaklah, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu—
- (a) menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Mahkamah; dan
- (b) melaksanakan khidmat masyarakat.
(3) Jika seseorang yang diperintahkan supaya menyempurnakan suatu bon untuk berkelakuan baik di bawah subseksyen (2) tidak mematuhi mana-mana syarat bon itu, dia boleh didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selanjutnya selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
(3a) Khidmat masyarakat yang disebut dalam perenggan (2)(b)—
- (a) tidak boleh kurang daripada tiga puluh enam jam dan tidak lebih daripada dua ratus empat puluh jam secara agregat;
- (b) hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah itu; dan
- (c) hendaklah tertakluk pada apa-apa syarat yang dinyatakan oleh Mahkamah.
(3b) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah Mahkamah supaya melaksanakan khidmat masyarakat di bawah perenggan (2)(b) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit. (4) Seseorang ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain yang bertanggungan di sisi undang-undang untuk menyara seseorang kanak-kanak hendaklah disifatkan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi jika, sungguhpun dia berupaya mengadakan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi bagi kanak-kanak itu daripada sumber-sumbernya sendiri, dia tidak berbuat demikian.
(5) Seseorang boleh disabitkan atas suatu kesalahan terhadap seksyen ini walaupun—
- (a) penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan atau kemungkinan penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan telah dielakkan melalui tindakan orang lain; atau
- (b) kanak-kanak yang berkenaan telah mati.
Kanak-Kanak tidak boleh digunakan untuk mengemis, dsb.
32. (1) Mana-mana orang yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana kanak-kanak atau, sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, membenarkan kanak-kanak itu berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud—
- (a) mengemis, menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk jualan;
- (b) menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram, perjudian atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu; atau
- (c) menjalankan apa-apa aktiviti lain yang menyalahi undang-undang,
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
(2) Mahkamah hendaklah, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu melaksanakan khidmat masyarakat.
(3) Khidmat masyarakat yang disebut dalam subseksyen (2)—
- (a) tidak boleh kurang daripada tiga puluh enam jam dan tidak lebih daripada dua ratus empat puluh jam secara agregat;
- (b) hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah itu; dan
- (c) hendaklah tertakluk pada apa-apa syarat yang dinyatakan oleh Mahkamah.
(4) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah Mahkamah supaya melaksanakan khidmat masyarakat di bawah subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.
Kesalahan kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan
33. (1) Mana-mana orang, yang merupakan ibu atau bapa atau penjaga atau orang yang pada masa itu mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, yang meninggalkan kanak-kanak itu—
- (a) tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu;
- (b) selama suatu tempoh yang tidak berpatutan memandangkan semua hal keadaan; atau
- (c) dalam keadaan yang tidak berpatutan memandangkan semua hal keadaan,
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. (2) Mahkamah hendaklah, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu melaksanakan khidmat masyarakat.
(3) Khidmat masyarakat yang disebut dalam subseksyen (2)—
- (a) tidak boleh kurang daripada tiga puluh enam jam dan tidak lebih daripada dua ratus empat puluh jam secara agregat;
- (b) hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah itu; dan
- (c) hendaklah tertakluk pada apa-apa syarat yang dinyatakan oleh Mahkamah.
(4) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah Mahkamah supaya melaksanakan khidmat masyarakat di bawah subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.
Bab 4
PEMBERITAHUAN APABILA MENGAMBIL KANAK-KANAK KE DALAM PEMELIHARAAN, JAGAAN ATAU KAWALAN
Pemakaian dan tafsiran
34. (1) Bab ini tidak terpakai bagi pengambilan seseorang kanak-kanak—
- (a) ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalan mana-mana orang—
- (i) menurut suatu perintah Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa; atau
- (ii) oleh mana-mana Pelindung, Pembantu Pelindung atau pegawai polis yang bertindak di bawah Akta ini;
- (b) sebagai penghuni suatu tempat selamat atau rumah anak yatim, hospital, institusi atau pusat—
- (i) yang disenggarakan oleh Kerajaan Persekutuan atau oleh mana-mana Kerajaan Negeri; atau
- (ii) yang diluluskan oleh Menteri;
- (c) untuk tinggal di sesuatu institusi pendidikan yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pendidikan; dan
- (d) yang lazim menghadiri sesuatu institusi pendidikan yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pendidikan ke dalam jagaan kawan atau saudara ibu atau bapa atau penjaganya dengan keizinan ibu atau bapa atau penjaganya.
(2) Dalam Bab ini, “penjaga” seseorang kanak-kanak ertinya seseorang—
- (a) yang dilantik dengan sah melalui surat ikatan atau wasiat atau dengan perintah Mahkamah yang berwibawa untuk penjaga kanak-kanak itu; atau
- (b) yang telah mengangkat kanak-kanak itu dengan sah.
Pemberitahuan tentang pengambilan kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalan
35. (1) Jika seseorang mengambil seorang kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya—
- (a) orang itu; dan
- (b) orang yang dalam pemeliharaannya kanak-kanak itu berada pada masa pengambilan itu,
hendaklah, tidak lewat daripada satu minggu selepas itu, memberitahu Pelindung tentang pengambilan itu.
(2) Apabila diterima apa-apa pemberitahuan di bawah subseksyen (1), Pelindung hendaklah membuat apa-apa siasatan yang difikirkannya patut tentang—
- (a) hal keadaan dan sebab bagi pengambilan itu; dan
- (b) kesesuaian, bagi maksud itu, orang yang telah mengambil kanak-kanak itu ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya.
(3) Jika, selepas siasatan yang disebut dalam subseksyen (2), difikirkan oleh Pelindung suai manfaat untuk berbuat demikian demi kepentingan kanak-kanak itu, dia boleh sama ada—
- (a) memerintahkan supaya kanak-kanak itu dikembalikan kepada pemeliharaan, jagaan atau kawalan ibu atau bapa atau penjaganya atau orang yang dalam pemeliharaannya kanak-kanak itu berada semasa dia diambil; atau
- (b) membenarkan pengambilan kanak-kanak itu atas apa-apa terma dan syarat yang dikehendaki oleh Pelindung.
(4) Jika pengambilan seseorang kanak-kanak oleh mana-mana orang telah dibenarkan di bawah perenggan (3)(b) tertakluk pada apa-apa terma atau syarat dan keingkaran dibuat pada mematuhi terma atau syarat itu, Pelindung, selepas mengambil kira bahawa meletakkan kanak-kanak dalam pemeliharaan berasaskan keluarga adalah sebaik-baiknya, boleh dengan waran di bawah tandatangannya memerintahkan supaya kanak-kanak itu—
- (a) diambil keluar daripada pemeliharaan, jagaan atau kawalan orang itu; dan
- (b) diletakkan—
- (i) dalam pemeliharaan saudaranya atau seorang yang layak dan sesuai atas apa-apa terma dan syarat yang dikehendaki oleh Pelindung;
- (ii) di suatu pusat; atau
- (iii) di suatu tempat selamat, sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun atau selama apa-apa tempoh yang lebih pendek.
(5) Bagi maksud seksyen ini, “orang” termasuklah sesuatu institusi atau pusat yang—
- (a) tidak disenggarakan oleh Kerajaan Persekutuan atau oleh mana-mana Kerajaan Negeri; atau
- (b) tidak diluluskan oleh Menteri.
(6) Seseorang Pelindung hendaklah, apabila menerima apa-apa pemberitahuan di bawah seksyen ini, merekodkan butir-butir pemberitahuan itu dalam suatu daftar mengikut apa-apa bentuk yang ditetapkan.
(7) Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Obligasi kemudiannya
36. (1) Jika pengambilan seseorang kanak-kanak telah diberitahukan kepada dan dibenarkan oleh Pelindung di bawah seksyen 35, orang yang telah mengambil kanak-kanak itu hendaklah, jika pada bila-bila masa kemudiannya—
- (a) dia bercadang mengembalikan kanak-kanak itu kepada pemeliharaan, jagaan atau kawalan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu atau mana-mana orang lain yang daripadanya kanak-kanak itu telah diambil; atau
- (b) tanpa pengetahuan atau keizinannya, kanak-kanak itu telah meninggalkan pemeliharaan, jagaan atau kawalannya, membuat laporan sendiri kepada Pelindung dan
hendaklah, pada bila-bila masa jika dapat dilaksanakan, membawa atau menyebabkan dibawa ke hadapan Pelindung kanak-kanak itu dan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu atau mana-mana orang lain yang daripadanya kanak-kanak itu telah diambil.
(2) Apabila diterima suatu laporan di bawah subseksyen (1), Pelindung hendaklah membuat suatu catatan mengenai laporan itu dan hendaklah jika—
- (a) kanak-kanak itu dan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu atau mana-mana orang lain yang daripadanya kanak-kanak itu telah diambil hadir pada masa laporan itu diterima, mengembalikan kanak-kanak itu kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau orang itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau
- (b) ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu atau mana-mana orang lain yang daripadanya kanak-kanak itu telah diambil tidak hadir pada masa laporan itu diterima—
- (i) mengambil kanak-kanak itu ke dalam jagaan sementara sehingga dia dapat dikembalikan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau orang itu; dan
- (ii) dengan serta-merta menghantar maklumat bertulis ke tempat kediaman ibu atau bapa atau penjaganya atau orang itu yang akhir diketahui.
(3) Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Kuasa Pelindung untuk menghendaki supaya kanak-kanak dikemukakan di hadapannya
37. (1) Jika seseorang Pelindung ada sebab untuk mempercayai bahawa terdapat, di kawasan atau Negeri yang di dalamnya dia menjalankan bidang kuasa, seseorang kanak-kanak yang berkenaan dengan pengambilannya tiada pemberitahuan telah dibuat menurut seksyen 35, dia boleh, melalui saman di bawah tandatangannya yang dialamatkan kepada orang yang mempunyai atau dipercayai mempunyai pemeliharaan, jagaan atau kawalan kanak-kanak itu, menghendaki orang itu hadir dan mengemukakan kanak-kanak itu di hadapannya pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam saman itu bagi maksud suatu siasatan di bawah subseksyen (4).
(2) Jika seseorang yang kepadanya saman telah disampaikan di bawah subseksyen (1) tidak mengemukakan kanak-kanak itu pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam saman itu, Pelindung boleh memohon kepada seorang Majistret supaya suatu waran geledah di bawah seksyen 111 dikeluarkan untuk mencari kanak-kanak itu dan mengemukakannya di hadapan Pelindung itu.
(3) Mana-mana kanak-kanak yang dinamakan atau diperihalkan dalam waran sedemikian boleh buat sementara waktu—
- (a) diletakkan di suatu tempat selamat; atau
- (b) diletakkan dalam jagaan saudaranya atau orang lain yang layak dan sesuai atas apa-apa terma dan syarat yang dikehendaki oleh Pelindung,
sehingga Pelindung itu telah menyelesaikan siasatannya di bawah Bab ini.
(4) Pelindung hendaklah membuat apa-apa siasatan yang difikirkannya patut tentang—
- (a) hal keadaan dan sebab bagi pengambilan kanak-kanak yang disebut dalam subseksyen (1); dan
- (b) kesesuaian orang yang telah mengambil kanak-kanak itu ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya.
(5) Jika, selepas siasatan yang disebut dalam subseksyen (4), difikirkan oleh Pelindung suai manfaat demi kepentingan kanak-kanak itu, dia boleh—
- (a) memerintahkan supaya kanak-kanak itu dikembalikan kepada pemeliharaan, jagaan atau kawalan ibu atau bapa atau penjaganya atau orang yang dalam pemeliharaannya kanak-kanak itu berada pada masa pengambilan itu; atau
- (b) membenarkan pengambilan kanak-kanak itu atas apa-apa terma dan syarat yang dikehendaki oleh Pelindung.
(6) Jika pengambilan seseorang kanak-kanak oleh mana-mana orang telah dibenarkan di bawah perenggan (5)(b) tertakluk pada apa-apa terma atau syarat dan keingkaran dibuat pada mematuhi terma atau syarat itu, Pelindung, selepas mengambil kira bahawa meletakkan kanak-kanak dalam pemeliharaan berasaskan keluarga adalah sebaik-baiknya, boleh melalui waran di bawah tandatangannya memerintahkan supaya kanak-kanak itu—
- (a) diambil keluar daripada pemeliharaan, jagaan atau kawalan orang itu; dan
- (b) diletakkan—
- (i) dalam pemeliharaan saudaranya atau seorang yang layak dan sesuai atas apa-apa terma dan syarat yang dikehendaki oleh Pelindung;
- (ii) di suatu pusat; atau
- (iii) di suatu tempat selamat,
- sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun atau selama apa-apa tempoh yang lebih pendek.
Bahagian VI
KANAK-KANAK YANG MEMERLUKAN PELINDUNGAN DAN PEMULIHAN
Bab 1
AM
Pengertian kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemulihan
38. Seseorang kanak-kanak memerlukan pelindungan dan pemulihan jika kanak-kanak itu—
- (a) sedang didorong untuk melakukan apa-apa perbuatan seksual, atau berada dalam apa-apa suasana fizikal atau sosial yang boleh membawa kepada pelakuan perbuatan itu;
- (b) tinggal di atau kerap kali mengunjungi mana-mana rumah pelacuran atau tempat berkira;
- (c) pada lazimnya ada bersama-sama dengan atau berada di bawah kawalan penyelenggara-penyelenggara rumah pelacuran atau muncikari-muncikari atau orang yang bekerja atau yang mempunyai kepentingan secara langsung dalam urusan yang dijalankan di rumah-rumah pelacuran atau berkaitan dengan pelacuran;
- (d) telah dibawa masuk ke atau akan dihantar keluar dari Malaysia dan penjagaan kanak-kanak itu telah diperoleh sama ada—
- (i) selepas dibeli; atau
- (ii) dengan fraud, pernyataan palsu atau dakwaan palsu,
- sama ada atau tidak bagi maksud pelacuran atau bagi melakukan persetubuhan dengan seseorang lain atau bagi maksud lucah;
- (e) telah diperoleh sama ada di dalam atau luar Malaysia bagi maksud digunakan, dilatih atau diberikan sebagai seorang pelacur; atau
- (f) sedang ditahan bertentangan dengan kemahuannya—
- (i) bagi maksud pelacuran atau bagi melakukan persetubuhan dengan seseorang lain atau bagi maksud lucah; atau
- (ii) bagi maksud dihantar keluar dari Malaysia bagi pelacuran atau bagi melakukan persetubuhan dengan seseorang lain atau bagi maksud lucah.
Memindahkan kanak-kanak ke tempat perlindungan
39. (1) Mana-mana Pelindung atau pegawai polis yang berpuas hati atas alasan-alasan yang munasabah bahawa seseorang kanak-kanak memerlukan pelindungan dan pemulihan boleh memerintahkan supaya kanak-kanak itu dipindahkan dengan serta-merta ke suatu tempat perlindungan dan kanak-kanak itu hendaklah diletakkan buat sementara di tempat perlindungan itu.
(1a) Jika orang yang diperintahkan di bawah subseksyen (1) tidak mematuhi dalam masa dua puluh empat jam perintah yang dibuat di bawah subseksyen itu, Pelindung atau pegawai polis itu boleh memindahkan kanak-kanak itu dan meletakkan kanak-kanak itu buat sementara di suatu tempat perlindungan.
(2) Tiap-tiap kanak-kanak yang diletakkan buat sementara di bawah subseksyen (1) dan (1a) hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa dua puluh empat jam tidak termasuk masa yang perlu untuk perjalanan dari tempat kanak-kanak itu dipindahkan sedemikian ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
(3) Jika tidak mungkin seseorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan dalam subseksyen (2), maka kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat perlindungan sehingga masa kanak-kanak itu dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
(4) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu berpuas hati bahawa kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya memerlukan pelindungan dan pemulihan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu boleh memerintahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat perlindungan sehingga suatu perintah dibuat oleh Mahkamah di bawah seksyen 40.
(5) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu tidak berpuas hati bahawa seseorang kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya memerlukan pelindungan dan pemulihan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah memerintahkan supaya kanak-kanak itu dikembalikan kepada pemeliharaan dan jagaan ibu atau bapa atau penjaganya.
Siasatan oleh Pelindung
39a. (1) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat suatu perintah supaya seseorang kanak-kanak diletakkan di suatu tempat perlindungan di bawah subseksyen 39(4), suatu siasatan mengenai hal keadaan kes kanak-kanak itu hendaklah dibuat oleh Pelindung.
(2) Pelindung hendaklah menyelesaikan siasatan itu dan mengemukakan laporan siasatan itu kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam tempoh tidak melebihi satu bulan dari tarikh perintah itu dibuat di bawah subseksyen 39(4).
Kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berhubung dengan kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemulihan
40. (1) Jika selepas menimbangkan laporan yang dikemukakan di bawah seksyen 39a, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berpuas hati bahawa mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya ialah kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemulihan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, selepas mengambil kira bahawa meletakkan kanak-kanak dalam pemeliharaan berasaskan keluarga adalah sebaik-baiknya, boleh—
- (a) membuat suatu perintah menghendaki ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon, dengan atau tanpa penjamin, sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu tertakluk pada apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Mahkamah bagi pemeliharaan dan penjagaan sepatutnya kanak-kanak itu;
- (b) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu dalam pemeliharaan seseorang sama ada saudara atau tidak yang sanggup dan yang difikirkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak sebagai seorang yang layak dan sesuai untuk memelihara kanak-kanak itu;
- (c) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, tertakluk pada apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Mahkamah dan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu;
- (d) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di suatu pusat selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu; atau
- (e) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat perlindungan selama tempoh tiga tahun dari tarikh kanak-kanak itu masuk ke sesuatu tempat perlindungan di bawah subseksyen 39(1) atau (1a), mengikut mana-mana yang berkenaan, dan perintah itu hendaklah menjadi kuasa untuk meletakkannya di suatu tempat perlindungan.
(2) Dalam menentukan apakah perintah yang akan dibuat di bawah subseksyen (1), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah memberikan pertimbangan utama kepada kepentingan kanak-kanak itu.
(3) Suatu perintah di bawah subseksyen (1) tidak boleh dibuat tanpa memberi ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu peluang untuk hadir dan didengar.
(4) Walau apa pun subseksyen (3), suatu perintah di bawah subseksyen (1) boleh dibuat jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Pelindung bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu, setelah dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian, atau tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah.
(5) Perintah yang dibuat di bawah perenggan (1)(c) atau (e) boleh mempunyai kesan melanjutkan tempoh pengawasan atau peletakan kanak-kanak itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, melampaui tarikh kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun.
(6) Walau apa pun perenggan (1)(e), Lembaga Pelawat tempat perlindungan di mana kanak-kanak itu diletakkan boleh mengurangkan tempoh peletakan kanak-kanak itu tetapi tiada pengurangan boleh dibuat sehingga membolehkan kanak-kanak itu dilepaskan dari tempat perlindungan itu dalam masa dua belas bulan dari tarikh dia masuk ke tempat perlindungan itu sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan itu, kecuali dengan kebenaran Menteri.
(7) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah, apabila membuat suatu perintah di bawah perenggan (1)(c) atau (e), memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon selama tempoh perintah itu dengan apa-apa syarat yang boleh termasuk—
- (a) dalam hal perenggan (1)(c), memastikan bahawa kanak-kanak itu tinggal di dalam rumah pada masa yang ditetapkan; dan
- (b) dalam hal perenggan (1)(e), lawatan tetap ke tempat perlindungan di mana kanak-kanak itu diletakkan.
(8) Mana-mana kanak-kanak yang dihantar ke suatu tempat perlindungan di bawah perenggan (1)(e) hendaklah, apabila habis tempoh peletakannya sama ada—
- (a) kerana luput masa; atau
- (b) kerana apa-apa pengurangan yang dibuat menurut subseksyen (6),
diletakkan di bawah pengawasan Pegawai Kebajikan Masyarakat atau orang lain yang dilantik oleh Pelindung bagi maksud itu.
(9) Tempoh pengawasan bagi maksud subseksyen (8) hendaklah ditentukan oleh Lembaga Pelawat tempat perlindungan itu atas syor Pelindung tetapi tidak boleh dalam apa-apa hal melebihi satu tahun dari tarikh habis tempoh peletakan kanak-kanak itu.
(10) Menteri boleh, atas permohonan kanak-kanak itu atau ibu atau bapa atau penjaganya, mengecualikan kanak-kanak itu daripada pemakaian subseksyen (8) jika dia berpuas hati bahawa hal itu memerlukan pengecualian itu.
(11) Tanpa menjejaskan kuasa Lembaga Pelawat menurut subseksyen (6), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, atas permohonan secara bertulis yang dibuat oleh—
- (a) seorang Pelindung;
- (b) ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak yang dimaksudkan dalam perintah yang dibuat di bawah seksyen ini; atau
- (c) kanak-kanak itu,
meminda, mengubah atau membatalkan mana-mana perintah yang dibuat di bawah seksyen ini—
- (aa) jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan kanak-kanak itu untuk berbuat demikian; dan
- (bb) apabila dibuktikan bahawa hal keadaan yang dalamnya perintah itu dibuat telah berubah selepas pembuatan perintah itu.
(12) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, dalam membuat apa-apa perintah di bawah subseksyen (1), mengenakan apa-apa syarat atau memberikan apa-apa arahan yang difikirkan patut oleh Mahkamah bagi maksud memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang berkenaan dengannya perintah itu dibuat, dan syarat atau arahan itu boleh termasuk yang berikut:
- (a) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat-pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian; atau
- (b) jika kanak-kanak itu berada di suatu institusi pendidikan, bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah berunding dengan guru dan guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.
(13) Mana-mana ibu atau bapa atau penjaga yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan atau arahan yang diberikan di bawah subseksyen (12) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.
(14) Mana-mana orang yang tidak mematuhi syarat bon di bawah perenggan (1)(a) atau subseksyen (7) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.
Kanak-Kanak yang memerlukan pelindungan dengan segera
41. (1) Mana-mana kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dengan segera boleh atas permohonan kanak-kanak itu atau ibu atau bapa atau penjaganya diterima oleh Pelindung masuk ke suatu tempat perlindungan jika Pelindung itu berpuas hati bahawa kanak-kanak itu memerlukan pelindungan dengan segera.
(2) Seseorang kanak-kanak memerlukan pelindungan dengan segera jika ada sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa—
- (a) kanak-kanak itu sedang diancam atau ditakut-takutkan bagi maksud pelacuran atau bagi maksud melakukan persetubuhan dengan seseorang lain atau bagi apa-apa maksud lucah;
- (b) kanak-kanak itu akan dikurung atau ditahan oleh seseorang lain dengan melanggar Bahagian ini;
- (c) suatu kesalahan terhadap Bahagian ini sedang atau mungkin akan dilakukan berkenaan dengan kanak-kanak itu; atau
- (d) jika kanak-kanak itu seorang perempuan, bahawa dia sedang hamil anak luar nikah.
(3) Tertakluk pada subseksyen (4) dan (5), dan jika hal keadaan memerlukannya, orang yang menjaga mana-mana tempat perlindungan boleh, atas permohonan yang dibuat kepadanya oleh kanak-kanak itu atau oleh ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu, menerima masuk ke tempat perlindungan itu mana-mana kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dengan segera.
(4) Jika orang yang menjaga sesuatu tempat perlindungan menerima mana-mana kanak-kanak di bawah subseksyen (3), kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Pelindung dalam masa dua puluh empat jam selepas dia masuk ke tempat perlindungan itu dengan laporan lengkap mengenai hal keadaannya.
(5) Seseorang kanak-kanak yang diterima masuk di bawah seksyen ini dibenarkan tinggal di tempat perlindungan itu hanya selagi Pelindung berpuas hati bahawa kanak-kanak itu memerlukan pelindungan dengan segera di bawah seksyen ini.
(6) Pelindung—
- (a) yang menerima seseorang kanak-kanak di bawah subseksyen (1); atau
- (b) yang ke hadapannya seseorang kanak-kanak dibawa di bawah subseksyen (4),
hendaklah dengan serta-merta memberitahu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak tentang kemasukan sedemikian dengan suatu laporan lengkap mengenai hal keadaan itu dan hendaklah mengikut cara yang sama memberitahu Mahkamah itu apabila kanak-kanak itu meninggalkan tempat itu.
(7) Pelindung boleh mengenakan apa-apa syarat atau memberikan apa-apa arahan yang difikirkannya patut bagi maksud memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang diterima masuk atau dibawa di bawah seksyen ini, dan syarat atau arahan itu boleh termasuk yang berikut:
- (a) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian;
- (b) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Pelindung; atau
- (c) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri sesi kaunseling yang dijalankan oleh seorang kaunselor.
42. (Dipotong oleh Akta A1511).
Bab 2
KESALAHAN-KESALAHAN
Kesalahan-kesalahan
43. (1) Mana-mana orang yang—
- (a) menjual, menyewakan atau selainnya melupuskan, atau membeli atau menyewa atau selainnya memperoleh milikan, seseorang kanak-kanak dengan niat supaya kanak-kanak itu diambil bekerja atau digunakan bagi maksud pelacuran, sama ada di dalam atau luar Malaysia, atau dengan mengetahui atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kanak-kanak itu akan diambil bekerja atau digunakan sedemikian;
- (b) memperoleh seseorang kanak-kanak bagi maksud pelacuran atau bagi maksud melakukan persetubuhan dengan mana-mana orang lain, sama ada di dalam atau luar Malaysia;
- (c) dengan atau di bawah apa-apa dakwaan palsu, pernyataan palsu, atau cara fraud atau perdayaan yang dibuat atau digunakan, sama ada di dalam atau luar Malaysia, membawa masuk atau membantu membawa masuk ke, atau membawa keluar atau membantu membawa keluar dari, Malaysia, seseorang kanak-kanak dengan niat supaya kanak-kanak itu diambil bekerja atau digunakan bagi maksud pelacuran, sama ada di dalam atau luar Malaysia, atau dengan mengetahui atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kanak-kanak itu akan diambil bekerja atau digunakan sedemikian;
- (d) membawa masuk ke Malaysia, menerima atau menyorokkan seseorang kanak-kanak dengan mengetahui atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kanak-kanak itu telah diperoleh bagi maksud pelacuran atau bagi maksud melakukan persetubuhan dengan mana-mana orang lain atau bagi maksud lucah, sama ada di dalam atau luar Malaysia, dan dengan niat hendak membantu maksud itu;
- (e) dengan mengetahui atau ada sebab untuk mempercayai bahawa seseorang kanak-kanak telah dibawa masuk ke Malaysia dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam perenggan (c) atau telah dijual, disewakan, atau disewa atau dibeli dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam perenggan (a), atau dengan melanggar mana-mana undang-undang bertulis lain menerima atau menyorokkan kanak-kanak itu dengan niat bahawa kanak-kanak itu akan diambil bekerja atau digunakan bagi maksud pelacuran sama ada di dalam atau luar Malaysia;
- (f) menahan seseorang kanak-kanak di dalam sesuatu rumah pelacuran bertentangan dengan kemahuan kanak-kanak itu;
- (g) menahan seseorang kanak-kanak di mana-mana tempat bertentangan dengan kemahuan kanak-kanak itu dengan niat supaya kanak-kanak itu akan diambil bekerja atau digunakan bagi maksud pelacuran atau bagi apa-apa maksud yang menyalahi undang-undang atau yang lucah;
- (h) dengan cara apa-apa iklan atau notis lain yang disiarkan mengikut apa-apa cara atau dipamerkan di mana-mana tempat menawarkan seseorang kanak-kanak bagi maksud pelacuran atau mendapatkan maklumat bagi maksud itu atau menerima iklan atau notis itu untuk disiarkan atau dipamerkan;
- (i) bertindak sebagai perantara bagi pihak seseorang kanak-kanak atau menjalankan kawalan atau pengaruh ke atas pergerakan seseorang kanak-kanak dengan cara yang menunjukkan bahawa orang itu membantu atau menyubahati atau mengawal pelacuran kanak-kanak itu;
- (j) melanggan atau menyewa, bagi apa-apa balasan berharga, seseorang kanak-kanak untuk memberi perkhidmatan bagi nafsu seks orang itu;
- (k) cuba melakukan apa-apa perbuatan dengan melanggar seksyen ini,
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan—
- (aa) dalam hal kesalahan-kesalahan di bawah perenggan (a) hingga (h) atau perenggan (k), boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun atau kedua-duanya; dan
- (bb) dalam hal suatu kesalahan di bawah perenggan (i) atau (j), boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit dan dipenjarakan selama tempoh yang tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak lebih daripada lima belas tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak lebih daripada enam sebatan.
(2) Mana-mana orang yang disabitkan atas kesalahan kali kedua atau kali kemudian—
- (a) di bawah perenggan (1)(a) hingga (g) atau perenggan (1)(k), boleh dihukum sebat tidak lebih daripada sepuluh sebatan; dan
- (b) di bawah perenggan (1)(i) atau (j), hendaklah dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada enam sebatan dan tidak lebih daripada sepuluh sebatan,
sebagai tambahan kepada apa-apa tempoh pemenjaraan yang dikenakan berhubung dengan kesalahan itu.
(3) Seksyen 173a dan 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak terpakai berkenaan dengan kesalahan-kesalahan di bawah perenggan (1)(i) dan (j).
Anggapan yang berhubungan dengan seksyen 43
44. Bagi maksud seksyen 43, maka hendaklah dianggap sehingga dibuktikan sebaliknya bahawa seseorang—
- (a) yang membawa atau menyebabkan dibawa masuk seseorang kanak-kanak ke sesuatu rumah pelacuran telah memberikan kanak-kanak itu dengan niat atau pengetahuan yang disebut dalam perenggan 43(1)(a);
- (b) yang menerima seseorang kanak-kanak masuk ke atau menyorokkan seseorang kanak-kanak di sesuatu rumah pelacuran telah memiliki kanak-kanak itu dengan niat atau pengetahuan yang disebut dalam perenggan 43(1)(a);
- (c) telah menahan seseorang kanak-kanak di mana-mana rumah pelacuran atau di mana-mana tempat bertentangan dengan kemahuan kanak-kanak itu jika, dengan niat hendak memaksa atau mendorong kanak-kanak itu supaya tinggal di rumah pelacuran atau tempat itu, orang itu—
- (i) tidak memberi kanak-kanak itu apa-apa barang pakaian atau apa-apa harta lain kepunyaan kanak-kanak itu atau apa-apa barang pakaian yang biasanya atau yang akhir sekali digunakan oleh kanak-kanak itu;
- (ii) mengugut kanak-kanak itu bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika kanak-kanak itu membawa pergi apa-apa barang pakaian atau apa-apa harta lain yang telah dipinjamkan atau disewakan atau dibekalkan kepada kanak-kanak itu;
- (iii) mengugut kanak-kanak itu bahawa tindakan undang-undang akan diambil untuk menuntut apa-apa hutang atau hutang yang dikatakan atau menggunakan apa-apa ugutan lain; atau
- (iv) tanpa apa-apa kuasa yang sah di sisi undang-undang menahan kad pengenalan kanak-kanak itu yang dikeluarkan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan pendaftaran negara atau pasport kanak-kanak itu.
Peletakan sementara menanti prosiding
45. (1) Mana-mana Mahkamah yang menyiasat atau membicarakan mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua (dalam Akta ini disebut “kesalahan terjadual”) boleh memerintahkan supaya seseorang kanak-kanak—
- (a) yang mengenainya suatu kesalahan terjadual dikatakan telah dilakukan; dan
- (b) yang difikirkan oleh Mahkamah itu memerlukan pelindungan, diletakkan buat sementara di suatu tempat perlindungan sehingga prosiding terhadap orang yang dipertuduh itu diputuskan tetapi peletakan itu tidak boleh melampaui tarikh kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun.
(2) Walaupun prosiding itu sudah diputuskan, Mahkamah boleh, apabila suatu permohonan dibuat oleh Pelindung dan jika Mahkamah itu berpuas hati bahawa seseorang kanak-kanak memerlukan pelindungan, memerintahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat perlindungan tetapi peletakan itu tidak boleh melampaui tarikh kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun.
Bahagian VII
TIDAK TERKAWAL
Kanak-kanak yang tidak terkawal
46. (1) Suatu permohonan secara bertulis boleh dibuat kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk menahan seseorang kanak-kanak di suatu asrama akhlak atau pusat—
- (a) oleh ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu, atas alasan bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu tidak berupaya untuk menjalankan pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya ke atas kanak-kanak itu dan kanak-kanak itu mula terlibat dalam pergaulan yang tidak sihat; atau
- (b) oleh Pelindung dalam hal kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau telah dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya dan selepas siasatan yang munasabah ibu atau bapa atau penjaga itu tidak dapat ditemui, atas alasan bahawa kanak-kanak itu tidak berada di bawah pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya dan kanak-kanak itu mula terlibat dalam pergaulan yang tidak sihat.
(2) Setelah menerima permohonan di bawah perenggan (1)(a), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah menentukan bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu—
- (a) memahami sifat dan akibat permohonannya; dan
- (b) bersetuju untuk meneruskan permohonannya itu.
(3) Selepas menerima permohonan di bawah subseksyen (1) dan dalam hal permohonan yang dibuat di bawah perenggan (1)(a) penentuan di bawah subseksyen (2) telah dibuat, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak—
- (a) hendaklah dengan serta-merta menyiasat hal keadaan kes kanak-kanak itu;
- (b) hendaklah mengarahkan seorang pegawai akhlak untuk menyediakan dan mengemukakan suatu laporan akhlak kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk Mahkamah itu menentukan sama ada suatu perintah di bawah subseksyen (5) boleh dibuat berkenaan dengan kanak-kanak itu; dan
- (c) boleh memerintahkan supaya kanak-kanak itu ditahan buat sementara di suatu asrama akhlak atau pusat jika difikirkannya perlu untuk berbuat demikian.
(4) Bagi membolehkan pegawai akhlak menyediakan dan mengemukakan laporan akhlak yang disebut dalam perenggan (3)(b), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, dari semasa ke semasa, menangguhkan kes itu selama suatu tempoh tidak melebihi satu bulan pada satu-satu masa.
(5) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, selepas menimbangkan laporan akhlak yang disebut dalam perenggan (3)(b) dan mengambil kira bahawa meletakkan kanak-kanak dalam pemeliharaan berasaskan keluarga adalah sebaik-baiknya—
- (a) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai;
- (b) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di suatu pusat;
- (c) membuat suatu perintah menahan kanak-kanak itu di suatu asrama akhlak; atau
- (d) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan—
- (i) seorang pegawai akhlak; atau
- (ii) mana-mana orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah,
selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah.
(6) Sebagai tambahan kepada perintah yang dibuat di bawah perenggan (5)(a), (b) atau (c), Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan—
- (a) seorang pegawai akhlak; atau
- (b) mana-mana orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah,
selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu.
(7) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh, dalam membuat apa-apa perintah di bawah subseksyen (5), mengenakan apa-apa syarat atau memberikan apa-apa arahan yang difikirkan patut oleh Mahkamah bagi maksud memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang berkenaan dengannya perintah itu dibuat, dan syarat atau arahan itu boleh termasuk yang berikut:
- (a) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak;
- (b) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian;
- (c) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri sesi kaunseling yang dijalankan oleh seorang kaunselor; atau
- (d) jika kanak-kanak itu berada di suatu institusi pendidikan, bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah berunding dengan guru dan guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.
(8) Mana-mana ibu atau bapa atau penjaga yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan atau arahan yang diberikan di bawah subseksyen (7) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.
Pengawasan oleh pegawai akhlak
47. (1) Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat suatu perintah di bawah perenggan 46(5)(d) atau subseksyen 46(6) yang meletakkan seseorang kanak-kanak di bawah pengawasan seorang pegawai akhlak atau seseorang lain, pegawai atau orang lain itu—
- (a) hendaklah, selagi perintah itu masih berkuat kuasa, melawat, menasihati dan bertindak sebagai kawan kepada kanak-kanak itu; dan;
- (b) boleh, jika pada hematnya perlu berbuat demikian, pada bila-bila masa selagi perintah itu masih berkuat kuasa, membawa kanak-kanak itu ke hadapan Mahkamah Pengawas.
(2) Mahkamah Pengawas yang ke hadapannya seseorang kanak-kanak dibawa di bawah perenggan (1)(b) boleh meminda perintah yang dibuat di bawah seksyen 46—
- (a) jika Mahkamah Pengawas itu berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan kanak-kanak itu untuk berbuat demikian; dan
- (b) apabila dibuktikan bahawa hal keadaan yang dalamnya perintah itu dibuat telah berubah selepas pembuatan perintah itu,
dan suatu salinan perintah pindaan itu hendaklah diberikan kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang di dalamnya perintah itu dibuat di bawah seksyen 46.
Bahagian VIII
PEMERDAGANGAN DAN PEMELARIAN KANAK-KANAK
Pemindahan milikan, jagaan atau kawalan kanak-kanak dengan menyalahi undang-undang
48. (1) Mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam apa-apa transaksi yang tujuannya atau salah satu daripada tujuannya ialah untuk memindahkan atau memberikan, keseluruhannya atau Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/83 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/84 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/85 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/86 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/87 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/88 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/89 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/90 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/91 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/92 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/93 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/94 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/95 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/96 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/97 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/98 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/99 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/100 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/101 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/102 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/103 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/104 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/105 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/106 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/107 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/108 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/109 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/110 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/111 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/112 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/113 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/114 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/115 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/116 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/117 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/118 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/119 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/120 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/121 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/122 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/123 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/124 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/125 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/126 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/127 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/128 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/129 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/130 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/131 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/132 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/133 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/134 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/135 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/136 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/137 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/138 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/139 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/140 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/141 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/142 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/143 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/144 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/145 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/146 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/147 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/148 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/149 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/150 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/151 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/152 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/153 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/154 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/155 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/156 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/157 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/158
- (s) untuk menetapkan bentuk bagi notis, perintah, waran, saman dan bon di bawah Akta ini dan cara penyampaian notis, perintah, waran, saman dan bon itu;
- (t) untuk menetapkan fungsi, kuasa dan kewajipan pegawai-pegawai dan orang yang diberi kuasa di bawah Akta ini dan cara dan syarat-syarat yang mengikutnya dan di bawahnya kuasa yang diberikan oleh Akta ini hendaklah dijalankan oleh pegawai-pegawai atau orang itu;
- (u) untuk menetapkan apa-apa perkara lain yang dikehendaki atau dibenarkan untuk ditetapkan di bawah Akta ini; dan
- (v) untuk mengadakan peruntukan bagi apa-apa perkara lain yang difikirkan suai manfaat atau perlu oleh Menteri bagi maksud Akta ini.
(3) Peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen (1) boleh memperuntukkan bahawa pelanggaran mana-mana peruntukan dalam peraturan-peraturan itu ialah suatu kesalahan dan bahawa orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum apabila disabitkan dengan hukuman denda atau pemenjaraan atau kedua-duanya tetapi tidak boleh membuat peruntukan supaya denda itu melebihi sepuluh ribu ringgit atau tempoh pemenjaraan melebihi tiga tahun.
Bahagian XV
PERUNTUKAN KECUALIAN DAN PERALIHAN
Tafsiran
129. Dalam Bahagian ini—
“Akta-Akta yang dimansuhkan” ertinya Akta Mahkamah Juvana 1947 [Akta 90], Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 [Akta 106] dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 [Akta 468] yang dimansuhkan di bawah Akta ini;
“Mahkamah Juvana” ertinya Mahkamah Juvana yang ditubuhkan di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947;
“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh Akta ini mula berkuat kuasa.
Pemansuhan
130. Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dimansuhkan.
Sebutan mengenai Mahkamah Juvana, dsb.
131. (1) Semua sebutan mengenai Mahkamah Juvana dalam mana-mana undang-undang bertulis, atau dalam apa-apa penghakiman, hukuman, perintah, arahan atau keputusan yang dibuat di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan dan yang wujud sebaik sebelum tarikh yang ditetapkan hendaklah, pada tarikh yang ditetapkan, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang ditubuhkan di bawah Akta ini.
(2) Penghakiman, hukuman, perintah, arahan atau keputusan Mahkamah Juvana, Mahkamah Pengawas, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan hendaklah pada tarikh yang ditetapkan disifatkan telah dibuat di bawah Akta ini dan terus berkuat kuasa dan mempunyai kesan.
(3) Apa-apa siasatan, perbicaraan atau prosiding yang dilakukan, diambil atau dimulakan dalam atau di hadapan Mahkamah-Mahkamah yang disebut dalam subseksyen (2) sebelum tarikh yang ditetapkan setakat yang siasatan, perbicaraan atau prosiding itu berhubung dengan seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah disifatkan telah dilakukan, diambil atau dimulakan dalam atau di hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, Mahkamah Pengawas, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret di bawah Akta ini dan boleh disambung dan ditamatkan dengan sewajarnya pada dan selepas tarikh yang ditetapkan.
(4) Apa-apa siasatan, perbicaraan atau prosiding yang dilakukan, diambil atau dimulakan di bawah Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 sebelum tarikh yang ditetapkan dan masih belum selesai hendaklah, setakat yang siasatan, perbicaraan atau prosiding itu berhubung dengan seseorang perempuan yang berumur lapan belas tahun ke atas dan apa-apa kesalahan di bawah Akta yang sama, disambung dan ditamatkan di bawah Akta yang sama dan bagi maksud ini maka hendaklah dikira seolah-olah Akta itu tidak dimansuhkan.
Penerusan Majlis, dsb.
132. (1) Majlis Penyelaras bagi Pelindungan Kanak-Kanak, Pasukan-Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak, Jawatankuasa-Jawatankuasa Kebajikan Juvana, Lembaga-Lembaga Pelawat dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan, dan pegawai-pegawai dan orang yang dilantik, di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan hendaklah, pada tarikh yang ditetapkan, disifatkan telah ditubuhkan atau dilantik di bawah Akta ini dan hendaklah mempunyai kuasa, hak, keistimewaan, liabiliti, kewajipan dan obligasi yang diberikan kepada Majlis Pasukan-Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak, Jawatankuasa-Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak, Lembaga-Lembaga Pelawat dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta ini.
(2) Anggota-anggota Majlis, Pasukan, Jawatankuasa, Lembaga dan jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan dan mana-mana pegawai dan orang yang dilantik di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan yang memegang jawatan pada hari sebelum tarikh yang ditetapkan hendaklah terus memegang jawatan di bawah Akta ini sehingga habis tempoh pelantikan mereka atau mereka meletakkan jawatan atau pelantikan mereka dibatalkan mengikut Akta ini dan hendaklah mempunyai kuasa, hak, keistimewaan, liabiliti, kewajipan dan obligasi yang sama seolah-olah mereka telah dilantik di bawah Akta ini.
(3) Tiap-tiap perbuatan atau benda yang dilakukan, diambil atau dimulakan oleh anggota-anggota Majlis, Pasukan, Jawatankuasa, Lembaga, jawatankuasa pegawai-pegawai dan orang yang disebut dalam subseksyen (1) dan (2), dan oleh Lembaga Hakim Pelawat, di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan sebelum tarikh yang ditetapkan hendaklah, pada dan selepas tarikh yang ditetapkan, disifatkan telah dilakukan, diambil atau dimulakan di bawah Akta ini.
Penerusan kaedah-kaedah, dsb.
133. Semua kaedah, peraturan, perintah, notis, borang, arahan dan surat pemberikuasaan yang dibuat, dikeluarkan atau diberikan di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan hendaklah, setakat yang kaedah, peraturan, perintah, notis, borang, arahan dan surat itu selaras dengan Akta ini, terus berkuat kuasa sehingga dibatalkan atau digantikan oleh Akta ini.
Institusi yang ditubuhkan atau ditetapkan
134. Semua sekolah yang diluluskan, Sekolah Henry Gurney, tempat tahanan, asrama akhlak, tempat selamat, tempat perlindungan dan institusi atau pusat lain yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah Akta-Akta yang dimansuhkan hendaklah pada tarikh yang ditetapkan disifatkan telah ditubuhkan atau ditetapkan di bawah Akta ini.
Pencegahan anomali
135. (1) Menteri boleh, apabila pada hematnya perlu atau suai manfaat berbuat sedemikian, sama ada bagi maksud menghapuskan kesulitan atau mencegah anomali berbangkit daripada pembuatan Akta ini, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta membuat apa-apa ubah suaian kepada mana-mana peruntukan dalam Akta ini sebagaimana yang difikirkannya patut tetapi Menteri tidak boleh menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen ini selepas habis tempoh dua tahun dari tarikh yang ditetapkan.
(2) Dalam seksyen ini, “ubah suaian” termasuklah pindaan, tambahan, pemotongan, penggantian, adaptasi, variasi, pengubahan dan ketidakpakaian mana-mana peruntukan Akta ini.
Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/163 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/164 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/165 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/166 Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/167
- ↑ CATATAN—Akta ini telah dimansuhkan oleh Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] yang mula berkuat kuasa pada 31 Julai 2012—lihat subseksyen 32(1) Akta 747 dan P.U. (B) 256/2012.