Pergi ke kandungan

Pemasyhuran Kemerdekaan

Daripada Wikisumber
Pemasyhuran Kemerdekaan (1957)
885Pemasyhuran Kemerdekaan1957

ڤمشهوران کمرديکاءن

دڠن نام الله يڠمها موره لاݢي مڠسيهاني⹁ سݢالا ڤوجي باݢي الله يڠ مها برکواس دان صلواة دان سلام کاءتس سکالين رسولڽ.

بهواساڽ اوليه کران تله تيباله ماسڽ باݢي اومة ڤرسکتوان تانه ملايو اين منچاڤي طرف سواة بڠسا يڠمرديکا لاݢي بردولة سام ستيمبل کدودقکنڽ دڠن سݢل بڠسا دسلوره دنيا.

دان بهواسڽ اوله کران دڠن ڤرجنجين يڠدسبوة نماڽ ڤرجنجين ڤرسکتوان تانه ملايو تاهون 1957 يڠدڤربواة دانتارا دولي يڠمها مليا بݢندا کوءين دڠن دولي٢ يڠ مها مليا راج٢ نݢري ملايو مک تله دڤرستوجوءي بهاوا نݢري٢ ملايو ياءيت جوهر⹁ ڤهڠ⹁ نݢري سمبيلن⹁ سلاڠور⹁ قدح⹁ ڤرليس⹁ کلنتن⹁ ترڠݢانو⹁ دان ڤيرق سرة نݢري يڠدهولوڽ دنماکن نݢري سلت ياءيت ملاک دان ڤولو ڤينڠ مولاءي درڤد 31 هاريبولن اوݢس‌ة تاهون 1957⹁ هندقله منجادي سبواه ڤرسکتوان بهارو باݢي نݢري٢ يڠ برنام ڤرسکتوان تانه ملايو.

دان بهواسڽ اوله کران تله برستوجو ڤول دانتارا کدوا٢ ڤيهق دالم ڤرجنجين يڠترسبوة ياءيت ملاک دان ڤولو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ يڠترسبوة ايت تمت درڤد منجادي سبهاݢين درڤد ججاهن تعلوق بݢندا کوءين دان دولي يڠمها مليا بݢندا کوءين تيدق لاݢي برحق منجالنکن اڤ٢ جوا کدولاتن بݢندا داءتس کدوا٢ بواه نݢري يڠترسبوة ايت.

دان بهواسڽ اوله کران تله برستوجو ڤول دانتارا کدوا٢ ڤيهق يڠترسبوة ياءيت ڤرجنجين ڤرسکتوان تانه ملايو تاهون 1948⹁ دان سݢل ڤرجنجين٢ لاءين يڠاد سکارڠ دانتارا دولي يڠمها مليا بهندا کوءين دڠن دولي٢ يڠمها مليا راج٢ اتو ڤون ساله سئورڠ درڤد بݢندا٢ ايت سبلوم تاريخ يڠترسبوة هندقله دبطلکن مولاءي درڤد تاريخ ايت⹁ دان سموا قواتکواس٢ دان حق٢ دولي يڠمها مليا بݢندا کوءين اتو ڤون ڤرليمن‌ة نݢري يونيتيد کيڠدم دالم نݢري٢ سلت يڠترسبوة ايت اتو ڤون يڠبرهوبڠ دڠنڽ اتو نݢري٢ ملايو اتو ڤون ڤرسکتوان تانه ملايو سلورهڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.

دان بهواسڽ اوله کران دولي يڠمها مليا بݢندا کوءين⹁ دولي٢ يڠمها مليا راج٢ ملايو⹁ ڤرليمن‌ة نݢري يونيتيد کيڠدم دان مجلس٢ اوندڠن ڤرسکتوان دان نݢري٢ ملايو تله ملولوسکن ڤرجنجين ڤرسکتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن قواتکواسڽ.

دان بهواسڽ اوله کران سبواه ڤرلمبݢاءن باݢي کراجاءن ڤرسکتوان تانه ملايو تله دتنتوکن منجادي سواة قانون يڠ معتمد باݢيڽ.

دان بهواسڽ اوله کران ڤرلمبݢاءن ڤرسکتوان يڠ ترسبوة ايت مک اد دسدياکن شرط انتوق منجاݢ کسلامتن حق٢ دان کاءوتماءن دولي٢ يڠمها مليا راج٢ سرة حق٢ اساسي دان کبيباسن سکلين رعية دان انتوق مماجوکن ڤرسکتوان تانه ملايو دڠن امان دان دامي سرة تراتور سباݢي سبواه کراجاءن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠبرڤرلمبݢاءن يڠبرداسرکن ديموقراسي چارا برڤرليمن‌ة.

دان بهواسڽ اوله کران ڤرلمبݢاءن ڤرسکتوان يڠ ترسبوة ايت تله دلولوسکن اوله سواة اوندڠ٢ يڠداداکن اوله مجلس اوندڠن ڤرسکتوان سرة دڠن اوندڠ٢ يڠداداکن اوله نݢري٢ ملايو دان دڠن کتتاڤن٢ ددالم مجلس اوندڠن نݢري ملاک دان ڤولو ڤينڠ⹁ دڠن دمکين ڤرلمباݢاءن ايت تله برجالن قواتکواسڽ ڤد 31 هاريبولن اوݢس‌ة تاهون 1957.

مک دڠن نام الله يڠمها موره لاݢي مها مڠسيهاني⹁ ساي تڠکو عبدالرحمن ڤترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شاه⹁ ڤردان منتري باݢي ڤرسکتوان تانه ملايو⹁ دڠن ڤرستوجوان دان ڤرکنن دولي٢ يڠمها مليا راج٢ نݢري٢ ملايو دڠن اين ممشهور دان ⹁ماءشتهارکن باݢي ڤيهق اومة ڤرسکتوان تانه ملايو بهوا مولاءي درڤد تيݢ ڤوله ساتو هاريبولن اوݢس‌ة تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليم ڤوله توجه مک ڤرسکتوان تانه ملايو يڠ مڠندوڠي ددالمڽ نݢري٢ جوهر⹁ ڤهڠ⹁ نݢري سمبيلن⹁ سلاڠور⹁ قدح⹁ ڤرليس⹁ کلنتن⹁ ترڠݢانو⹁ ڤيرق⹁ ملاک دان ڤولو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وتعالى اکن ککل منجادي سبواه نݢارا ديموقراسي يڠ مرديکا دان بردولة سرة برداسرکن کڤد کبيباسن دان کعديلن دان سنتياس منجاݢ دان مڠاوتماکن کسجهتراءن دان کسنتوساءن رعيتڽ دان مڠکلکن کاءمانن دانتارا سݢل بڠسا.

كوالا لمڤور
31 هاري بولن اوݢس‌ة تاهون 1957


ڤردان منتري

Pemasyhuran Kemerdekaan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.

Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.