Dengan syarat keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut di atas itu tidak akan berhak, jika ia difikir dan ditetapkan, selepas disiasat dengan sepenuh dan secukupnya oleh Majlis Perajaan Negeri, ada mempunyai kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat Waris, iaitu, apa-apa pengidapan yang berkekalan, seperti hilang akal, buta, bisu atau pun mempunyai sifat-sifat yang keji yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak menjadi Waris.
Keturunan zuriat Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Al-Marhum Sultan Ibrahim, Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV, Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu), Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah), Al-Marhum Sultan Mohamed II (Sultan Mulut Merah)
31. (1) Jika pada bila-bila masa keturunan zuriat lelaki daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra tidak ada langsung, atau jika ada tinggal seorang sahaja tetapi ia tidak layak dijadikan Waris kerana sebab-sebab yang ditakrifkan di dalam Perkara 30 apabila dikehendaki memilih dan melantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Waris mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA IBNI AL-MARHUM TENGKU IBRAHIM.
(2) Jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim atau jikalau tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim yang difikir layak kerana sebab-sebab yang ditakrifkan di dalam Perkara 30, apabila dikehendaki memilih dan melantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Waris mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki ALMARHUM TENGKU IBRAHIM IBNI AL-MARHUM SULTAN MOHAMED IV.
(3) Jika tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Mohamed IV atau jikalau tiada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Tengku Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Mohamed IV yang difikir layak, kerana sebab-sebab yang diertikan di dalam Perkara 30, apabila dikehendaki memilih dan melantik Waris itu, maka mustahaklah dipilih dan dilantik menjadi Waris mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki AL-MARHUM TENGKU LONG SENIK SULTAN MOHAMED IV.