Pergi ke kandungan

Laman:Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.pdf/73

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
74
Undang-Undang Negeri Kelantan


Dengan syarat bahawa perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan hendaklah disiasat dan disahkan terlebih dahulu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(4) Apabila Surat Cara turun daripada Takhta Kerajaan disiarkan di dalam Warta Kerajaan, maka Raja hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi Raja dan telah menarik diri daripada Negeri ini dan daripada hak-hak dan tuntutan-tuntutannya di atas Negeri ini:

Dengan syarat bahawa hendaklah Baginda terhak kepada elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Negeri; dan elaun itu yang hendaklah tidak lebih daripada separuh daripada jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya pada masa Baginda menjadi Raja yang memerintah, dan berhaklah di dalam masa hidupnya mendapat sebuah tempat kediaman yang layak yang disediakan berserta perkakas alatan dan perhiasan yang munasabah kerana memelihara tarafnya.

Pilihan Raja baharu

25. Apabila Raja berhenti daripada menjadi Raja mengikut syarat-syarat Perkara 23, 23A atau 24, maka mustahaklah dipilih dan dilantik seorang Raja baru mengikut syarat-syarat Perkara-Perkara 15 hingga 18 di dalam ini.

RAJA PEREMPUAN

Kuasa melantik Raja Perempuan Kelantan

26. (1) Raja dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri bolehlah melantik Isterinya menjadi Raja Perempuan Kelantan:

Dengan syarat ia seorang Melayu beragama Islam dan menjadi seorang isteri Raja yang berkahwin dengan mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berjalan kuasa pada masa perkahwinan itu.

(2) Sekiranya berlaku kemangkatan Raja atau penggantian Raja maka gelaran Isterinya itu hendaklah bertukar dengan sendirinya daripada "Raja Perempuan (Kelantan)" kepada "Yang Maha Mulia Raja Perempuan (nama tubuh)", dan jikalau berlaku perceraian hidup maka gelaran itu hendaklah terlucut dengan sendirinya.

(3) Raja Perempuan hendaklah terhak menerima elaun yang akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Negeri; dan elaun itu hendaklah tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah wang yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidup Raja yang memerintah:

Dengan syarat bahawa, kiranya lucut gelaran disebabkan oleh perceraian hidup maka elaunnya itu bolehlah ditimbangkan semula oleh Dewan Negeri.