(3) Tidaklah apa-apa di dalam Perkara ini terpakai kepada Sultan semasa Baginda memegang jawatan atau menjalankan tanggungan-tanggungan Yang di-Pertuan Agong.
Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat
23A. (1) Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.
(2) Jika sekiranya Raja telah digantikan dengan seorang Pengganti mengikut Fasal (1) Perkara ini maka Baginda hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi Raja dan telah menarik diri daripada Negeri ini dan daripada hak-hak dan tintutan-tuntutannya di atas Negeri ini.
Dengan syarat bahawa hendaklah Baginda terhak kepada elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan, yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Negeri; dan elaun itu yang hendaklah tidak kurang daripada separuh daripada jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya pada masa Baginda menjadi Raja yang memerintah, dan berhaklah di dalam masa hidupnya mendapat sebuah tempat kediaman yang layak yang disediakan berserta perkakas alatan dan perhiasan dengan kakitangan kediaman serta kenderaan yang munasabah dan sesuai kerana memelihara tarafnya. Maka gelaran Baginda hendaklah tertukar dengan sendirinya daripada “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan” kepada “Duli Yang Maha Mulia Sultan (nama tubuh).
Raja turun Takhta Kerajaan
24. (1) Maka Raja bolehlah turun daripada Takhta Kerajaan dengan kesukaannya sendiri dan melepaskan hak-hak dan kuasakuasa dirajanya.
(2) Jika pada masa turun daripada Takhta itu Kerajaan, Raja ada dalam Negeri ini, maka perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan itu hendaklah diperbuat dengan Surat Cara yang ditandatangani olehnya dan dimeterai dengan Mohor Kerajaan dan Surat Cara itu hendaklah disaksi oleh Yang di-Pertua dan sekurang-kurangnya empat orang ahli lain daripada Majlis Perajaan Negeri yang hendaklah hadir bersama-sama ketika Raja menurunkan tandatangan di atas Surat Cara yang tersebut itu:
Dengan syarat bahawa, perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan itu hendaklah disiasat dan disahkan terlebih dahulu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.
(3) Jika pada masa turun daripada Takhta Kerajaan, Raja tidak ada dalam Negeri ini, maka perbuatan turun daripada Takhta Kerajaan itu hendaklah diperbuat bagi pihak Raja dengan Surat Cara yang dimeterai dengan Mohor Kerajaan dan ditandatangani oleh Yang di-Pertua dan sekurang-kurangnya empat orang ahli lain daripada Majlis Perajaan Negeri yang hendaklah hadir bersama-sama ketika Surat Cara itu ditandatangani: