(6) Jika tidak ada keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah) atau jika tidak ada mana-mana seorang keturunan zuriat lelaki daripada Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah) yang difikirkan berhak kerana sebabsebab yang diertikan di dalam Perkara 16 Bahagian ini, maka mustahaklah dipilih dan dilantikkan menjadi Raja mana-mana orang di antara keturunan zuriat lelaki daripada AL-MARHUM SULTAN MOHAMED II (SULTAN MULUT MERAH).
(7) Tidaklah boleh sesiapa pun dipilih dan dilantikkan menjadi Raja mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam Perkara ini melainkan ia seorang lelaki yang diakui daripada darah yang sejati lagi halal.
Ketiadaan keturunan zuriat Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Al-Marhum Sultan lbrahim, Al-Marhum Tengku Long Senik Sultan Mohamed IV, Al-Marhum Sultan Mohamed III (Sultan Bongsu), Al-Marhum Sultan Ahmad (Sultan Tengah), Al-Marhum Sultan Mohamed II (Sultan Mulut Merah)
18. (1) Jika tidak ada orang yang berhak di bawah syarat-syarat Perkara 17 Bahagian ini, maka pilihan dan pelantikan Raja itu hendaklah terserah kepada timbangan, pandangan dan keputusan Majlis Perajaan Negeri dan mereka hendaklah menetapkan pilihan dan pelantikan mereka sama ada dengan sebulat suara atau dengan suara ramai seperti yang disyaratkan dahulu di dalam Perkara 11:
Dengan syarat bahawa orang yang hendak dipilih dan dilantik itu hendaklah seorang lelaki yang cukup umur, sempurna akal, daripada bangsa Melayu dan peranakan di dalam Negeri Kelantan daripada bapanya yang juga telah diperanakkan di dalam Negeri Kelantan, rakyat Raja yang dahulu, beragama Islam bermazhab Ahlu 's Sunnah wal Jamaah, daripada darah baik dan diakui sah dan halal peranakannya serta ada pula pengetahuannya boleh membaca dan menulis bahasa Melayu, dan ada mempunyai nama baik, fahaman waras, tabiat perangai, budi pekerti dan tingkah laku yang baik dan terpuji.
(2) Jika orang yang dipilih dan dilantik menjadi Raja itu bukan daripada darah raja, maka syarat-syarat Perkara 15 Bahagian ini hendaklah tidak terpakai tetapi perkara itu hendaklah disifatkan satu pengecualian yang sah.