“siasatan” termasuklah tiap-tiap siasatan yang dijalankan di bawah Kanun ini di hadapan Majistret;
“Inspektor Polis” ertinya Inspektor Polis daripada apa-apa kelas tetapi tidak termasuk Sub-Inspektor;
“prosiding kehakiman” ertinya apa-apa prosiding yang dalam perjalanannya keterangan diambil atau boleh diambil di sisi undang-undang;
“had tempatan bidang kuasa” bagi Mahkamah Majistret ertinya had daerah pentadbiran biasa yang terletaknya bangunan Mahkamah itu;
“Pengarah Perubatan” bagi sesuatu hospital psikiatri termasuklah Timbalan Pengarah Perubatan;
“kesalahan tidak boleh tangkap” ertinya kesalahan yang baginya, dan
“kes tidak boleh tangkap” ertinya kes yang berkenaan dengannya seseorang pegawai polis tidak boleh pada lazimnya menangkap tanpa waran mengikut ruang ketiga Jadual Pertama;
“kesalahan” ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa;
“Pegawai penjaga Daerah Polis” ertinya mana-mana pegawai polis yang dilantik sebagai yang demikian dan, jika mana-mana pegawai yang dilantik sedemikian tidak dapat menjalankan tugasnya kerana tidak ada, sakit atau selainnya, ertinya pegawai polis yang ditetapkan, di bawah kuasa Ketua Polis Negara untuk bertindak baginya;
“tempat” termasuklah rumah, bangunan, khemah dan vesel;
“Daerah Polis” ertinya mana-mana kawasan yang ditetapkan sebagai yang demikian di bawah Akta Polis 1967 [Akta 344], dan, melainkan jika dan sehingga sesuatu kawasan ditetapkan sedemikian, ertinya mana-mana kawasan yang dijadikan atau diiktiraf sebagai Daerah Polis pada permulaan kuat kuasa Kanun ini;