"pesawat udara jemaah haji” ertinya pesawat udara yang dicarter, atau yang berkenaan dengannya perkiraan dibuat, bagi maksud membawa jemaah haji dari atau ke mana-mana lapangan terbang di Malaysia ke atau dari mana-mana lapangan terbang yang menjadi tempat masuk ke atau tempat keluar dari Tanah Suci, dan termasuklah mana-mana pesawat udara yang lebih daripada suku penumpang yang dibawanya ialah jemaah haji yang dibawa
sedemikian;
"saraan" termasuklah gaji atau upah, elaun, faedah perubatan, perumahan percuma atau bersubsidi dan keistimewaan lain yang dapat dinilai dengan wang;
"tahun kewangan" ertinya tempoh dua belas bulan kalendar yang berakhir pada 31 Disember;
"tiket jemaah haji" ertinya tiket yang memberikan hak, atau berupa sebagai memberikan hak, kepada mana-mana orang untuk dibawa sebagai penumpang dalam pesawat udara jemaah haji;
"wang tidak dituntut" ertinya-
- (a) wang yang kena dibayar kepada seseorang pendeposit tetapi masih belum berbayar tidak kurang daripada dua belas bulan selepas wang itu menjadi kena dibayar; dan
- (b) wang yang ada dalam akaun seseorang pendeposit yang sudah tidak dikendalikan oleh pendeposit itu sama ada dengan cara pendepositan atau pengeluaran selama tempoh yang tidak kurang daripada tujuh tahun.
(2) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, apa-apa sebutan mengenai perihal tidak melakukan apa-apa perbuatan atau benda hendaklah termasuk sebutan mengenai keengganan untuk melakukan perbuatan atau benda itu.
Bahagian II
LEMBAGA TABUNG HAJI
Penubuhan Lembaga Tabung Haji
3. (1) Maka inilah ditubuhkan suatu pertubuhan perbadanan dengan nama "Lembaga Tabung Haji".