Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/43

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Tabung Haji
43

guaman terhadapnya atas namanya itu dan boleh membuat kontrak dan boleh memegang dan memperlakukan apa-apa harta alih atau tak alih dan boleh melakukan segala perkara atau benda lain yang bersampingan atau berkaitan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan yang selaras dengan Akta ini dan tertakluk kepada apa-apa sekatan atau batasan yang ditetapkan oleh Lembaga dalam setiap hal.

Meterai perbadanan

6. (1) Tiap-tiap perbadanan sedemikian hendaklah mempunyai meterai perbadanan yang hendaklah mengandungi apa-apa tanda sebagaimana yang ditentukan oleh perbadanan itu dengan kelulusan Lembaga, dan meterai itu boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baharu oleh perbadanan itu sebagaimana yang difikirkannya patut, dengan kelulusan Lembaga.

(2) Sehingga suatu meterai diadakan oleh perbadanan di bawah perenggan ini, suatu cop yang mengandungi nama perbadanan dan mengelilingi huruf "TABUNG HAJI" boleh digunakan sebagai meterai perbadanan.

(3) Meterai perbadanan atau cop yang disebut dalam subperenggan (2) hendaklah berada dalam jagaan mana-mana orang yang diarahkan oleh perbadanan itu dan hendaklah disahkan oleh orang itu.

(4) Segala surat ikatan, dokumen dan surat cara lain yang berupa sebagai dimeteraikan dengan meterai itu, disahkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperenggan (3), hendaklah sehingga dibuktikan sebaliknya, disifatkan telah disempurnakan dengan sah.

(5) Apa-apa dokumen atau surat cara yang jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan pertubuhan perbadanan tidak akan dikehendaki supaya dimeteraikan boleh dengan cara yang sama disempurnakan oleh perbadanan itu; dan apa-apa dokumen atau surat cara sedemikian boleh disempurnakan bagi pihak perbadanan oleh mana-mana pegawai atau pekhidmat perbadanan yang diberi kuasa secara am atau khas oleh perbadanan itu bagi maksud itu.

(6) Meterai tiap-tiap perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.