- (b) apa-apa pembiayaan atau bantuan kewangan yang diberikan oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji kepada sesuatu syarikat yang disebut dalam perenggan (a) hendaklah disifatkan telah diberikan dengan sah.
Keberterusan Pengarah Besar, pegawai dan pekhidmat
57. (1) Orang yang menjadi Pengarah Besar Lembaga Urusan dan Tabung Haji sebaik sebelum hari yang ditetapkan hendaklah pada hari itu—
- (a) menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga seolah-olah dia telah dilantik di bawah seksyen 12 sehingga habis tempoh pelantikannya di bawah Akta yang dimansuhkan, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatan atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan oleh Menteri di bawah seksyen itu; dan
- (b) menjadi anggota Lembaga selagi dia terus menjadi Ketua Pegawai Eksekutif.
(2) Tiap-tiap orang yang sebaik sebelum hari yang ditetapkan diambil kerja sebagai pegawai atau pekhidmat Lembaga Urusan dan Tabung Haji hendaklah pada hari itu disifatkan diambil kerja sebagai pegawai atau pekhidmat sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, bagi Lembaga atas terma dan syarat perkhidmatan yang sama seperti yang terpakai sebaik sebelum hari yang ditetapkan.
Prosiding tatatertib yang belum selesai
58. Segala prosiding tatatertib yang, sebaik sebelum hari yang ditetapkan, masih belum selesai terhadap mana-mana pegawai atau pekhidmat Lembaga Urusan dan Tabung Haji boleh, pada atau selepas tarikh itu, diteruskan terhadap pegawai atau pekhidmat itu di bawah Akta ini.
Penggunaan meterai
59. Sehingga suatu meterai diperuntukkan oleh Lembaga di bawah seksyen 5, meterai perbadanan Lembaga Urusan dan Tabung Haji hendaklah menjadi meterai perbadanan Lembaga.