Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/38

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
38
Undang-Undang Malaysia
Akta 535


Keberterusan anggota

48. Tiap-tiap orang yang sebaik sebelum hari yang ditetapkan memegang jawatan sebagai anggota dilantik dalam Lembaga Urusan dan Tabung Haji hendaklah pada hari itu menjadi anggota Lembaga dan hendaklah tertakluk kepada segala peruntukan Akta ini yang berhubungan dengan anggota sedemikian dan hendaklah disifatkan telah dilantik di bawah Akta ini.

Keberterusan undang-undang, dsb.

49. (1) Tertakluk kepada Akta ini, segala undang-undang bertulis yang menyentuh atau bagi perlindungan Lembaga Urusan dan Tabung Haji dan berkuat kuasa sebaik sebelum hari yang ditetapkan hendaklah, sehingga dipinda atau dibatalkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, terus berkuat kuasa pada dan selepas hari yang ditetapkan dan ditafsirkan seolah-olah Akta ini tidak pernah diperbuat.

(2) Segala perundangan subsidiari yang dibuat atau disifatkan telah dibuat di bawah Akta yang dimansuhkan dan berkuat kuasa sebaik sebelum hari yang ditetapkan hendaklah, setakat yang selaras dengan peruntukan Akta ini, disifatkan telah dibuat di bawah Akta ini dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga dibatalkan, digantikan atau habis tempohnya.

(3) Apa-apa sebutan dalam mana-mana undang-undang bertulis mengenai Akta yang dimansuhkan atau Lembaga Urusan dan Tabung Haji hendaklah, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Akta ini atau Lembaga, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan ungkapan yang mengandungi sebutan sedemikian hendaklah ditafsirkan sewajarnya.

Perpindahan kuasa, hak, liabiliti dan kewajipan

50. Tertakluk kepada Akta ini, segala kuasa, hak, keistimewaan, kewajipan, liabiliti atau obligasi yang sebaik sebelum hari yang ditetapkan merupakan kuasa, hak, keistimewaan, kewajipan, liabiliti atau obligasi Lembaga Urusan dan Tabung Haji hendaklah mulai dari hari itu turun kepada Lembaga.