Obligasi untuk menyimpan rahsia
42. (1) Tiada pegawai atau pekhidmat Lembaga atau orang lain yang mempunyai akses kepada apa-apa penyata, akaun, rekod, surat-menyurat, dokumen, maklumat atau apa-apa bahan lain yang diperoleh oleh sebab dia diambil kerja atau diambil khidmat oleh Lembaga boleh mendedahkan penyata, akaun, rekod, surat-menyurat, dokumen, maklumat atau bahan lain sedemikian kepada mana-mana orang lain melainkan jika pendedahan itu dibenarkan oleh Lembaga.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Perlindungan bagi anggota, pegawai, pekhidmat dan ejen
43. (1) Tiada seorang pun anggota Lembaga atau mana-mana jawatankuasa, atau pegawai, pekhidmat atau ejen Lembaga bertanggungan sendiri disebabkan apa-apa kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh apa-apa perbuatan atau peninggalan semasa menjalankan kuasa atau kewajipannya di bawah Akta ini melainkan jika kerugian atau kerosakan itu disebabkan oleh perbuatan atau peninggalan salahnya yang disengajakan.
(2) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198] hendaklah terpakai bagi apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap Lembaga atau terhadap mana-mana anggota Lembaga atau mana-mana jawatankuasa, atau mana-mana pegawai, pekhidmat atau ejen Lembaga, berkenaan dengan apa-apa keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya atas sifat sedemikian.
Pekhidmat awam
44. Semua anggota Lembaga dan anggota tiap-tiap jawatankuasa dan semua pegawai dan pekhidmat Lembaga hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan.