Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/33

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Tabung Haji
33


Liabiliti pengurus, dsb.

40. (1) Jika apa-apa kesalahan di bawah Akta ini telah dilakukan oleh seseorang, yang dalam seksyen ini disebut "prinsipal", mana-mana orang yang pada masa kesalahan itu dilakukan adalah dengan apa-apa cara atau sehingga apa-apa takat bertanggungjawab bagi pengurusan perniagaan atau hal-ehwal prinsipal itu atau membantu dalam pengurusan itu adalah melakukan kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa persetujuannya atau pembiarannya dan bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah yang patut diambil olehnya, dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu, untuk mencegah pelakuan kesalahan itu.

(2) Jika mana-mana prinsipal boleh dikenakan apa-apa hukuman atau penalti di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, termasuk pembatalan lesennya, kerana apa-apa perbuatan, ketinggalan, kecuaian atau keingkaran, dia boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama bagi tiap-tiap perbuatan, ketinggalan, kecuaian atau keingkaran mana-mana pekhidmat atau ejennya jika perbuatan, ketinggalan, kecuaian atau keingkaran itu dilakukan oleh pekhidmat itu dalam penjalanan pekerjaannya atau oleh ejen itu semasa bertindak bagi pihak prinsipal itu.

Kuasa untuk mengkompaun kesalahan

41. (1) Lembaga boleh mengkompaun apa-apa kesalahan terhadap Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai kesalahan boleh kompaun dengan menerima daripada orang yang semunasabahnya disyaki telah melakukan kesalahan itu sejumlah wang yang tidak melebihi lima puluh peratus daripada denda maksimum yang dengannya kesalahan itu boleh dihukum.

(2) Apabila bayaran diterima di bawah subseksyen (1), tiada prosiding selanjutnya boleh diambil terhadap orang itu berkenaan dengan kesalahan itu.

(3) Apa-apa wang yang dibayar kepada Lembaga menurut peruntukan seksyen ini hendaklah dibayar kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang.