Lembaga hendaklah mengeluarkan Pasport Haji
35. (1) Lembaga hendaklah mengeluarkan Pasport Haji kepada setiap jemaah haji dan Pasport Haji itu hendaklah disifatkan sebagai pasport dan permit masuk semula yang sah seolah-olah diberikan di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pasport dan imigresen.
(2) Sesuatu Pasport Haji tidak sah kecuali bagi maksud perjalanan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji dan pulang dari Tanah Suci.
Harga hendaklah ditandakan pada tiket
36. (1) Tiada seorang pun boleh menjual kepada jemaah haji apa-apa tiket jemaah haji melainkan jika harga yang dengannya tiket itu dijual ditandakan dengan jelas pada tiket itu dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
(2) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.
Bahagian VII
PELBAGAI
Keterangan di bawah Akta ini
37. Dalam mana-mana prosiding bagi penghukuman apa-apa penalti di bawah Akta ini—
- (a) apa-apa dokumen yang berupa sebagai dibuat dan ditandatangani oleh mana-mana pegawai mana-mana Kedutaan atau Pejabat Konsul Malaysia atau asing; dan
- (b) apa-apa salinan prosiding mana-mana mahkamah yang disahkan dengan sewajarnya,
hendaklah diterima sebagai keterangan, jika didapati telah dihantar secara rasmi kepada mana-mana pegawai di atau berdekatan dengan tempat prosiding di bawah Akta ini dijalankan.