Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/30

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
30
Undang-Undang Malaysia
Akta 535


Bahagian VI
JEMAAH HAJI

Syarat bagi perjalanan ke Tanah Suci

34. (1) Tiada jemaah haji boleh melakukan perjalanan atau cuba melakukan perjalanan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji melainkan jika Lembaga telah mengeluarkan kepadanya suatu perakuan bertulis yang mengesahkan bahawa jemaah haji itu sudah—

(a) dikeluarkan kepadanya dengan sewajarnya suatu Pasport Haji;
(b) dikeluarkan kepadanya oleh pihak berkuasa yang relevan dan melalui Lembaga visa yang sah untuk menunaikan haji di Tanah Suci bagi musim haji semasa;
(c) membayar atau menyebabkan dibayar sepenuhnya tiket pergi baliknya untuk perjalanan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji dan pulang dari Tanah Suci atau, dalam hal jemaah haji yang telah diberi kebenaran bertulis di bawah seksyen 33, sudah membayar atau menyebabkan dibayar sepenuhnya tiket perjalanan sehalanya;
(d) membayar atau menyebabkan dibayar sepenuhnya apa-apa jumlah wang tambahan yang ditentukan oleh Lembaga sebagai mencukupi bagi belanja hidup jemaah haji itu sepanjang keseluruhan tempoh dia tinggal di Tanah Suci dan bayaran itu sudah disahkan sewajarnya diterima oleh Lembaga atau oleh pengelola jemaah haji yang relevan; dan
(e) menjalani apa-apa pemeriksaan perubatan yang diluluskan oleh Lembaga.

(2) Lembaga boleh mengikut budi bicara mutlaknya mengecualikan mana-mana orang daripada pemakaian mana-mana bahagian seksyen ini atau meminda atau mengubah mana-mana kehendak di bawah seksyen ini berkenaan dengan mana-mana orang.