Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/27

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Tabung Haji
27


(4) Jika mana-mana pengelola jemaah haji tidak mematuhi mana-mana terma dan syarat atau tidak melaksanakan mana-mana obligasi yang disebut dalam subseksyen (3), dia hendaklah melucuthakkan kepada Lembaga apa-apa bahagian deposit cagaran itu sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.

(5) Lembaga boleh secara sah di sisi undang-undang dari semasa ke semasa memotong daripada deposit cagaran apa-apa amaun yang mungkin diperlukan—

(a) untuk menunaikan amaun apa-apa pelucuthakan di bawah subseksyen (4);
(b) untuk membayar apa-apa jumlah wang yang dituntut di bawah seksyen 31;
(c) untuk membayar balik apa-apa jumlah wang yang mungkin telah dibayar oleh Lembaga dengan suci hati kepada mana-mana orang yang menuntut bahawa dia berhak atau mempunyai kepentingan terhadap jumlah wang itu.

Penalti kerana melanggar terma dan syarat lesen

30. (1) Mana-mana pengelola jemaah haji yang melanggar mana-mana terma atau syarat lesennya melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan—

(a) berkenaan dengan kesalahan pertama, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya; dan
(b) berkenaan dengan kesalahan kedua atau mana-mana kesalahan yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

(2) Lembaga hendaklah membatalkan lesen mana-mana pengelola jemaah haji yang didapati bersalah di bawah subseksyen (1).

(3) Lembaga boleh, apabila mana-mana pengelola jemaah haji dipertuduh atas sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1), menggantung lesen pengelola jemaah hajinya sementara menanti pelupusan kes itu.