(3) Lembaga boleh, selepas menimbangkan sesuatu permohonan yang dibuat di bawah subseksyen (1) dan apa-apa maklumat atau dokumen tambahan yang diberikan menurut sesuatu kehendak di bawah subseksyen (2), mengeluarkan kepada pemohon suatu lesen pengelola jemaah haji apabila dibayar fi yang ditetapkan dan tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat, jika ada, sebagaimana yang difikirkannya patut atau boleh, jika disifatkannya patut, enggan mengeluarkan lesen sedemikian tanpa memberikan apa-apa sebab baginya.
(4) Tiap-tiap lesen pengelola jemaah haji hendaklah, melainkan jika dibatalkan atau digantung terlebih dahulu, terus berkuat kuasa selama tempoh yang dinyatakan dalam lesen itu.
Deposit cagaran
29. (1) Tiap-tiap pemohon yang diberi lesen pengelola jemaah haji hendaklah mendepositkan dengan Lembaga dengan seberapa segera yang boleh selepas pengeluaran lesen itu, dan dalam apa-apa hal tidak lewat daripada apa-apa tempoh yang ditentukan oleh Lembaga, dan hendaklah kemudiannya menyenggara dengan Lembaga suatu deposit cagaran dalam bentuk—
- (a) jaminan bank dalam apa-apa bentuk dan bagi apa-apa amaun yang diluluskan oleh Lembaga; dan
- (b) deposit wang tunai bagi apa-apa amaun yang ditentukan oleh Lembaga.
(2) Lembaga boleh menghendaki mana-mana pengelola jemaah haji supaya memberikan jaminan bank baru atau mendepositkan wang tunai tambahan bagi apa-apa amaun dan mengikut apa-apa cara yang ditentukan oleh Lembaga sebagai cagaran yang mencukupi buat masa itu bagi keberterusan lesen pengelola jemaah haji itu.
(3) Deposit cagaran yang dikehendaki di bawah subseksyen (1) hendaklah dipegang sebagai cagaran bagi pematuhan wajar terma dan syarat yang dikenakan oleh Lembaga di bawah subseksyen 28(3) dan bagi pelaksanaan wajar obligasi yang dikenakan di bawah seksyen 31.