Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/23

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Tabung Haji
23


(3) Tiada untung boleh agih boleh diisytiharkan melainkan jika Lembaga telah terlebih dahulu menubuhkan Kumpulan Wang Rizab, dan tiada untung boleh agih boleh diisytiharkan dalam mana-mana tahun melainkan jika pada akhir tahun itu—

(a) aset Kumpulan Wang tidak kurang daripada jumlah liabiliti Kumpulan Wang, amaun yang kena dibayar kepada pendeposit dikira seolah-olah kena dibayar dengan serta-merta; dan
(b) aset Kumpulan Wang Rizab tidak kurang daripada apa-apa peratusan amaun yang sebenarnya terkredit untuk pendeposit setakat akhir tahun itu termasuk untung boleh agih, sebagaimana yang diluluskan oleh Perbendaharaan.

(4) Apa-apa pembayaran yang dikehendaki dibuat daripada Kumpulan Wang bagi maksud seksyen ini hendaklah, setakat yang wang dalam Kumpulan Wang itu tidak mencukupi bagi maksud itu, dibuat daripada Kumpulan Wang Rizab.

(5) Apa-apa keputusan Lembaga berkenaan dengan amaun untung boleh agih yang akan diumpukkan kepada seseorang pendeposit adalah muktamad dan mengikat pendeposit itu dan sesuatu perakuan oleh Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah menjadi keterangan muktamad tentang untung boleh agih yang diumpukkan kepada pendeposit itu.

Wang tidak dituntut

23. (1) Jika Lembaga telah diisytiharkan di bawah seksyen 8 Akta Wang Tak Dituntut 1965 [Akta 370] sebagai bukan suatu syarikat yang baginya Bahagian II Akta itu terpakai, segala wang tidak dituntut yang dipegang oleh Lembaga hendaklah dicatatkan dalam daftar yang disimpan oleh Ketua Pegawai Eksekutif.

(2) Walau apa pun mana-mana undang-undang yang berlawanan, segala wang tidak dituntut hendaklah dipegang dalam Kumpulan Wang sehingga wang itu dibayar kepada pendeposit yang berkenaan pada bila-bila masa kemudian daripada itu.

(3) Bagi maksud seksyen ini, "pendeposit", berkenaan dengan mana-mana individu, termasuklah waris, wasi, wakil persendirian, pentadbir, penyerah hak, wakil yang sah dan ejen individu itu.