Pelaburan Kumpulan Wang
20. (1) Aset Kumpulan Wang hendaklah, setakat yang tidak dikehendaki dibelanjakan oleh Lembaga di bawah Akta ini, dilaburkan keseluruhannya atau sebahagiannya di dalam Malaysia atau di luar Malaysia dan mengikut cara yang difikirkan patut oleh Lembaga.
(2) Lembaga tidak boleh menjalankan kuasa pelaburan di bawah subseksyen (1) tanpa kelulusan Menteri.
Kumpulan Wang Rizab
21. (1) Lembaga hendaklah menubuhkan dan menguruskan suatu Kumpulan Wang Rizab dalam Kumpulan Wang.
(2) Lembaga boleh dari semasa ke semasa memindahkan aset daripada Kumpulan Wang Rizab kepada Kumpulan Wang atau daripada Kumpulan Wang kepada Kumpulan Wang Rizab.
(3) Pemindahan kepada Kumpulan Wang Rizab hendaklah ditentukan oleh Lembaga dan pemindahan daripada Kumpulan Wang Rizab hendaklah ditentukan oleh Menteri.
(4) Seksyen 20 hendaklah terpakai bagi aset Kumpulan Wang Rizab sebagaimana ia terpakai bagi aset Kumpulan Wang.
Pengisytiharan untung boleh agih
22. (1) Tertakluk kepada seksyen ini, Lembaga boleh mengikut budi bicara mutlaknya menentukan pada bila-bila masa sama ada wajar untuk mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh agih berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang dan jika ia menentukan untuk mengisytiharkan sedemikian, Lembaga hendaklah, dengan kelulusan Menteri, mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh diagihkan berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang itu.
(2) Jika suatu perisytiharan dibuat di bawah subseksyen (1), Lembaga hendaklah juga menentukan cara, amaun dan masa bagi mengkreditkan untung boleh agih itu kepada setiap pendeposit.