Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/21

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Tabung Haji
21


Pembiayaan atau bantuan kewangan

17. (1) Lembaga boleh, dengan kelulusan Menteri, memberikan pembiayaan atau bantuan kewangan kepada mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah perenggan 4(3)(d) dan kepada mana-mana syarikat yang berkaitan dengannya, dan pembiayaan atau bantuan kewangan itu boleh diberikan tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkan oleh Lembaga patut dikenakan dalam kes tertentu.

(2) Tiada jaminan atau surat tanggung rugi boleh dikeluarkan oleh Lembaga atau mana-mana perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta ini tanpa kebenaran bertulis daripada Menteri Kewangan.

Kuasa untuk meminjam

18. Lembaga boleh, dengan kelulusan Menteri dan Menteri Kewangan dan atas apa-apa terma dan syarat dan selama apa-apa tempoh yang diluluskan oleh mereka, meminjam apa-apa jumlah wang yang dikehendaki oleh Lembaga bagi maksud Akta ini.

Peraturan-peraturan berhubungan dengan deposit dan pengeluaran

19. Lembaga boleh, dengan kelulusan Menteri berhubungan dengan deposit dan pengeluaran, membuat peraturan tentang—

(a) cara deposit ke dalam Kumpulan Wang hendaklah dibuat;
(b) peruntukan supaya akaun berasingan disimpan bagi setiap pendeposit;
(c) cara pengeluaran apa-apa amaun yang ada dalam akaun pendeposit hendaklah dibuat; dan
(d) keterangan yang hendaklah dikemukakan apabila dibuat apa-apa permohonan bagi pengeluaran.