Laman ini telah dibaca pruf
Tabung Haji
19
Bahagian IV
KEWANGAN
Kumpulan Wang
15. (1) Hendaklah ditubuhkan, bagi maksud Akta ini, suatu kumpulan wang yang hendaklah ditadbirkan dan dikawal oleh Lembaga.
(2) Kumpulan Wang hendaklah terdiri daripada—
- (a) deposit yang diterima di bawah seksyen 16;
- (b) segala pemberian, derma, hadiah, sumbangan, dan bekues yang diberikan kepada atau bagi faedah Lembaga;
- (c) apa-apa jumlah wang yang mungkin dibayar dari semasa ke semasa kepada Lembaga daripada apa-apa pembiayaan atau bantuan kewangan yang diberikan oleh Lembaga dan segala jumlah wang yang dari semasa ke semasa kena dibayar kepada Lembaga berkenaan dengan pembayaran balik apa-apa pembiayaan atau bantuan kewangan yang diberikan daripada Kumpulan Wang;
- (d) wang yang diperoleh melalui pengendalian apa-apa projek, agensi, skim atau perusahaan yang dibiayai daripada Kumpulan Wang;
- (e) apa-apa fi dan wang lain yang ditetapkan;
- (f) apa-apa harta, pelaburan, gadai janji, pajakan, sewaan, gadaian atau debentur yang diperoleh oleh atau terletak hak pada Lembaga dan wang yang diperoleh atau berbangkit daripadanya;
- (g) segala pendapatan daripada pelaburan Kumpulan Wang Rizab;
- (h) segala wang yang dipinjam oleh Lembaga; dan
- (i) segala wang atau harta lain yang mungkin mengikut apa-apa cara menjadi kena dibayar kepada atau terletak hak pada Lembaga berkenaan dengan apa-apa perkara yang bersampingan dengan fungsi, kuasa atau kewajipannya.