(9) Dalam pemakaiannya bagi sesuatu jawatankuasa—
- (a) seksyen 7 hendaklah dibaca seolah-olah perkataan "Menteri" digantikan dengan perkataan "Lembaga"; dan
- (b) seksyen 9 hendaklah terpakai bagi seseorang anggota sesuatu jawatankuasa berkenaan dengan apa-apa kontrak atau apa-apa perolehan, pembelian, pajakan atau urus niaga mengenai tanah atau apa-apa projek, pelaburan atau skim yang menjadi urusan jawatankuasa itu.
Bahagian III
PEGAWAI, PEKHIDMAT DAN EJEN LEMBAGA
Ketua Pegawai Eksekutif
12. (1) Menteri boleh melantik mana-mana anggota Lembaga untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Lembaga dengan persetujuan Menteri.
(2) Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah mempunyai apa-apa kuasa dan kewajipan yang diberikan atau dikenakan padanya oleh Akta ini atau dari semasa ke semasa oleh Lembaga di samping apa-apa kuasa dan kewajipan yang dinyatakan dalam surat pelantikannya.
(3) Walau apa pun seksyen 7, Ketua Pegawai Eksekutif boleh dibayar apa-apa gaji atau elaun yang ditentukan oleh Lembaga dengan persetujuan Menteri.
Pelantikan pegawai, pekhidmat, ejen, penasihat, dsb.
13. (1) Tertakluk kepada apa-apa peraturan yang dibuat di bawah seksyen 14 dan 15, Lembaga boleh dari semasa ke semasa—
- (a) melantik dan mengambil kerja atas apa-apa terma dan syarat yang difikirkan patut oleh Lembaga mana-mana orang untuk menjadi pengarah urusan, pengarah eksekutif, pengurus besar dan mana-mana pegawai dan pekhidmat lain yang perlu untuk menjalankan maksud Akta ini; dan