(2) Lembaga hendaklah memberi Menteri apa-apa penyata, akaun dan maklumat lain berkenaan dengan harta dan aktiviti Lembaga sebagaimana yang dikehendakinya dari semasa ke semasa.
Jawatankuasa
11. (1) Bagi maksud melaksanakan fungsinya, Lembaga boleh menubuhkan, sekiranya difikirkannya perlu, jawatankuasa, yang setiap satunya terdiri daripada apa-apa bilangan anggota dan dengan bidang tugas yang ditentukannya.
(2) Orang yang tidak layak untuk dilantik menjadi anggota atau untuk menjadi anggota Lembaga di bawah subseksyen 6(3) adalah juga tidak layak untuk dilantik menjadi anggota atau untuk menjadi anggota sesuatu jawatankuasa.
(3) Seseorang anggota sesuatu jawatankuasa hendaklah memegang jawatan selama tempoh yang dinyatakan dalam surat pelantikannya dan adalah layak untuk dilantik semula.
(4) Lembaga boleh membatalkan pelantikan mana-mana anggota sesuatu jawatankuasa tanpa memberikan apa-apa sebab baginya.
(5) Seseorang anggota sesuatu jawatankuasa boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatan dengan memberikan notis secara bertulis kepada Ketua Pegawai Eksekutif.
(6) Setiap jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya tiap-tiap dua bulan sekali.
(7) Jika seseorang anggota sesuatu jawatankuasa—
- (a) tidak menghadiri tiga mesyuarat jawatankuasa berturut-turut tanpa kebenaran bertulis Ketua Pegawai Eksekutif; atau
- (b) menjadi tidak layak di bawah subseksyen (2),
jawatannya sebagai anggota jawatankuasa hendaklah menjadi kosong.
(8) Tertakluk kepada subseksyen (6) dan (9), seksyen 7, 8 dan 9 hendaklah terpakai bagi sesuatu jawatankuasa dan anggotanya sebagaimana seksyen itu terpakai bagi Lembaga dan anggotanya.