Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/15

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Tabung Haji
15


(3) Bagi maksud seksyen ini, notis am yang diberikan kepada anggota lain oleh seseorang anggota yang bermaksud bahawa dia ialah pemegang syer atau pengarah mana-mana syarikat atau firma yang tertentu dan hendaklah dikira mempunyai kepentingan dalam apa-apa kontrak yang mungkin, selepas tarikh notis itu, dibuat dengan atau oleh syarikat atau firma itu, hendaklah disifatkan sebagai perisytiharan yang mencukupi tentang kepentingan berhubungan dengan apa-apa kontrak yang dibuat sedemikian.

(4) Notis yang diberikan di bawah subseksyen (3) tidak mempunyai kuat kuasa melainkan jika diberikan pada mesyuarat Lembaga atau anggota yang berkenaan mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa notis itu dikemukakan dan dibaca pada mesyuarat Lembaga yang berikutnya selepas notis itu diberikan.

(5) Tiap-tiap perisytiharan yang dibuat menurut seksyen ini hendaklah direkodkan dalam minit mesyuarat yang padanya perisytiharan itu dibuat atau dibaca.

(6) Tiada seorang pun anggota Lembaga boleh mengundi atas apa-apa ketetapan atau soal yang berhubungan dengan apa-apa kontrak, perolehan, pembelian, pajakan, urus niaga, projek atau skim yang mengenainya dia mempunyai apa-apa syer atau kepentingan, sama ada atau tidak dia sudah mengisytiharkan syer atau kepentingannya, atau mengambil bahagian dalam apa-apa pertimbangan (kecuali atas undangan Lembaga) atau keputusan yang berhubungan dengannya atau apa-apa perkara yang bersampingan dengannya dan jika dia berbuat demikian—

(a) undinya tidak boleh dikira; dan
(b) dia tidak boleh dikira dalam kuorum yang hadir pada mesyuarat bagi maksud ketetapan atau soal itu.

Kuasa Menteri untuk memberikan arahan dan menghendaki maklumat

10. (1) Menteri boleh memberi Lembaga apa-apa arahan yang bersifat am yang selaras dengan Akta ini yang berhubungan dengan pelaksanaan fungsi Lembaga dan Lembaga hendaklah menguatkuasakan semua arahan sedemikian.