Pergi ke kandungan

Laman:Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).pdf/14

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
14
Undang-Undang Malaysia
Akta 535


Pendedahan kepentingan dalam transaksi dengan Lembaga

9. (1) Mana-mana anggota Lembaga yang mempunyai atau memperoleh, secara langsung atau tidak langsung, sendiri atau melalui pekongsinya atau ejennya—

(a) apa-apa syer atau kepentingan—
(i) dalam apa-apa kontrak yang dibuat dengan Lembaga;
(ii) dalam apa-apa kerja yang dilakukan untuk Lembaga; atau
(iii) dalam mana-mana syarikat atau firma yang dengannya Lembaga bercadang hendak membuat kontrak berkenaan dengan apa-apa pengusahaan; atau
(b) apa-apa kepentingan benefisial mengenai tanah yang dicadangkan hendak diperoleh, dibeli, dipajakkan atau diuruskan selainnya oleh Lembaga, yang diketahuinya akan tersentuh atau mungkin akan tersentuh oleh mana-mana projek, skim atau perusahaan yang diluluskan atau dicadangkan hendak diluluskan oleh Lembaga,

hendaklah mengisytiharkan jenis dan takat syer atau kepentingannya kepada Lembaga.

(2) Perisytiharan yang dikehendaki dibuat oleh seseorang anggota di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat—

(a) pada mesyuarat Lembaga yang apa-apa soal berhubungan dengan kontrak, pemerolehan, pembelian, pemajakan, urus niaga, projek atau skim yang disebut dalam subseksyen itu mula-mula dipertimbangkan;
(b) jika anggota itu tidak mempunyai apa-apa syer atau kepentingan sebagaimana yang disebut dalam perenggan (a) pada tarikh mesyuarat yang tersebut dalam perenggan itu, pada mesyuarat sedemikian yang berikutnya yang diadakan selepas dia memperoleh syer atau kepentingan itu; atau
(c) jika seseorang anggota memperoleh apa-apa syer atau kepentingan dalam apa-apa kontrak dengan Lembaga selepas kontrak itu dibuat, pada mesyuarat yang pertama yang diadakan selepas anggota itu memperoleh syer atau kepentingan itu.