Label sebagai keterangan bahawa bahan ialah racun makhluk perosak
45A. Bagi maksud suatu pendakwaan bagi suatu kesalahan terhadap Akta ini atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan berkenaan dengan suatu bahan yang terdapat dalam suatu bungkusan, label pada bungkusan itu yang memperihalkan bahan itu sebagai suatu racun makhluk perosak hendaklah menjadi keterangan prima facie bahawa bahan itu ialah racun makhluk perosak, melainkan jika dibuktikan akasnya.
Anggapan bagi penjualan atau penyimpanan untuk jualan
45B. Bagi maksud suatu pendakwaan bagi suatu kesalahan terhadap Akta ini atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan berkenaan dengan suatu racun makhluk perosak yang tidak didaftarkan di bawah Akta ini yang terdapat dalam mana-mana premis yang telah dilesenkan untuk penjualan atau penyimpanan untuk jualan racun makhluk perosak, racun makhluk perosak sedemikian hendaklah, melainkan jika dibuktikan akasnya, disifatkan dimaksudkan untuk penjualan atau disimpan untuk jualan.
Tanggungan ejen, pekhidmat, prinsipal dan majikan
46. (1) Jika seseorang melakukan suatu perbuatan yang menjadi suatu kesalahan terhadap Akta ini atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan, dia bertanggungan bagi perbuatan itu sama ada dia membuatnya bagi dirinya sendiri atau sebagai seorang ejen atau pekhidmat seorang lain.
(2) Jika perbuatan itu dilakukan oleh seorang ejen atau pekhidmat, prinsipalnya atau majikannya adalah bertanggungan bagi perbuatan itu seolah-olah prinsipal atau majikan itu telah melakukannya sendiri, melainkan jika dia membuktikan bahawa perbuatan itu telah dilakukan tanpa dipersetujui dan tanpa dibiarkan olehnya dan perbuatan itu tidak disebabkan oleh apa-apa keabaian pada pihaknya.