Pergi ke kandungan

Laman:Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Akta 149).pdf/46

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
46
Undang-Undang Malaysia
Akta 149


Mahkamah boleh memerintahkan cerakinan

36. Jika sesuatu contoh telah diuruskan mengikut seksyen 35, mahkamah yang di hadapannya seseorang didakwa kerana suatu kesalahan terhadap Akta ini atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan hendaklah, atas permintaan sama ada pendakwa atau tertuduh, dan boleh, jika difikirkannya patut tanpa permintaan itu, memerintahkan supaya bahagian contoh yang disimpan oleh pegawai yang diberi kuasa itu dikemukakan kepada seorang Ahli Cerakinan lain supaya dicerakinkan.

Hak untuk mencerakinkan racun makhluk perosak

37. (1) Seseorang yang telah membeli sesuatu racun makhluk perosak adalah, apabila dibayar bayaran yang ditetapkan, berhak untuk memperoleh sesuatu contoh racun makhluk perosak yang dicerakinkan oleh seorang Ahli Cerakinan dan untuk menerima daripadanya suatu perakuan cerakinan.

(2) Seseorang, selain penjual racun makhluk perosak itu, boleh, apabila dibayar bayaran yang ditetapkan dan kos contoh itu, menghendaki seseorang pegawai yang diberi kuasa untuk membeli suatu contoh mana-mana racun makhluk perosak dan mengemukakannya supaya dicerakinkan oleh seorang Ahli Cerakinan.

Perakuan Ahli Cerakinan

38. (1) Perakuan cerakinan seorang Ahli Cerakinan hendaklah mengikut bentuk yang ditetapkan.

(2) Jika sesuatu kaedah-kaedah cerakinan telah ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini bagi mencerakinkan mana-mana makanan atau racun makhluk perosak, seseorang Ahli Cerakinan, sama ada pada pihak pendakwa atau pada pihak tertuduh, hendaklah mengikuti, dan hendaklah dalam perakuannya mengaku bahawa dia telah mengikuti, cara yang ditetapkan dalam cerakinannya.