Pergi ke kandungan

Laman:Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Akta 149).pdf/37

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Racun Makhluk Perosak
37


Bahagian VI
KEMATIAN DAN KECEDERAAN YANG DISEBABKAN OLEH RACUN MAKHLUK PEROSAK

Melaporkan kemalangan, kematian dan bencana diri

28. (1) Apabila sesuatu kemalangan yang menyebabkan kehilangan jiwa manusia atau kecederaan diri berlaku sebagai akibat pengasapan, menyembur atau apa-apa cara lain merawati tumbuh-tumbuhan, premis atau barang, termasuklah kapal dan kenderaan, dengan suatu racun makhluk perosak, orang yang olehnya, atau oleh penjawat atau ejennya, pewasapan, penyemburan atau rawatan itu dijalankan hendaklah dengan serta-merta menghantar atau menyebabkan supaya dihantar kepada Menteri notis kemalangan itu dan kehilangan jiwa manusia atau kecederaan diri itu.

(2) Apabila sesuatu kemalangan yang menyebabkan kehilangan jiwa manusia atau kecederaan diri dialami oleh seorang pekerja sebagai akibat pengendalian, penggunaan, atau kehadiran atau penyentuhan dengan atau pendedahan kepada sesuatu racun makhluk perosak dalam perjalanan pekerjaannya, majikannya hendaklah dengan serta-merta menghantar atau menyebabkan supaya dihantar kepada Menteri notis kemalangan itu dan kehilangan jiwa manusia atau kecederaan diri itu.

(3) Apabila seseorang pengamal perubatan yang berdaftar mendapati atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa seseorang itu telah mati atau menanggung kecederaan diri sebagai akibat daripada pengendalian, penggunaan, atau kehadiran atau penyentuhan dengan atau pendedahan kepada sesuatu racun makhluk perosak, pengamal perubatan yang berdaftar itu hendaklah dengan serta-merta menghantar atau menyebabkan supaya dihantar kepada Menteri notis kematian atau kecederaan diri itu.

(4) Seksyen ini tidak terpakai bagi kemalangan yang menyebabkan kehilangan jiwa manusia atau kecederaan diri yang mengenainya notis dikehendaki oleh Akta Hidrogen Sianid (Pengasapan) 1953 [Akta 260] diberi kepada Menteri yang berkenaan di bawah Akta itu.