Pergi ke kandungan

Laman:Akta Racun Makhluk Perosak 1974 (Akta 149).pdf/27

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Racun Makhluk Perosak
27


(8) Lembaga boleh mewakilkan fungsinya di bawah seksyen ini kepada mana-mana ahli Lembaga itu.

Penyelidikan atau percubaan atas racun makhluk perosak yang tidak didaftarkan yang disintesis di Malaysia

14A. (1) Seseorang yang berhasrat untuk menjalankan apa apa penyelidikan atau percubaan di luar makmal atas suatu racun makhluk perosak yang tidak didaftarkan yang disintesis di Malaysia hendaklah memohon kepada Lembaga mengikut cara yang ditetapkan, dan disertakan dengan bayaran pendaftaran yang ditetapkan, bagi mendapatkan suatu permit untuk menjalankan penyelidikan atau percubaan itu.

(2) Apabila menerima suatu permohonan di bawah subseksyen (1), Lembaga boleh, jika ia berpuas hati bahawa racun makhluk perosak yang dihasratkan untuk diselidik atau dibuat percubaan itu dicadangkan semata-mata bagi maksud penyelidikan atau percubaan, mengeluarkan kepada pemohon itu suatu permit mengikut bentuk yang ditetapkan tertakluk pada apa-apa syarat sebagaimana yang difikirkan oleh Lembaga patut dikenakan, termasuk syarat mengenai pelupusan mana-mana lebihan racun makhluk perosak yang tidak digunakan.

(3) Jika seseorang pemohon bagi suatu permit di bawah seksyen ini tidak berpuas hati dengan penolakan Lembaga untuk mengeluarkan kepadanya permit itu, dia boleh merayu kepada Menteri dan keputusan Menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

(4) Orang yang kepadanya suatu permit dikeluarkan di bawah seksyen ini boleh, tertakluk pada syarat permit itu, menyelidik atau membuat percubaan atas racun makhluk perosak yang dinamakan dalam permit itu, walaupun racun makhluk perosak itu tidak pada masa ini didaftarkan di bawah Akta ini dan walaupun ada larangan dalam seksyen 53A terhadap pemilikan atau penggunaan racun makhluk perosak yang tidak didaftarkan.