Tempoh pendaftaran
9. (1) Tempoh pendaftaran sesuatu racun makhluk perosak itu ialah lima tahun tetapi racun makhluk perosak itu boleh, apabila dibuat permohonan oleh orang yang atas permohonannya racun makhluk perosak itu telah didaftarkan dan apabila dibayar bayaran pendaftaran yang ditetapkan, didaftarkan semula pada akhir tiap-tiap tempoh lima tahun.
(2) Sesuatu permohonan bagi pendaftaran semula suatu racun makhluk perosak hendaklah dibuat dan diuruskan mengikut cara yang sama dengan suatu permohonan pendaftaran di bawah seksyen 7.
Kuasa untuk membatalkan pendaftaran
10. (1) Tertakluk pada subseksyen (2) dan tanpa menyentuh mana-mana pendakwaan yang boleh dibawa di bawah Akta ini atau kaedahkaedah atau peraturan-peraturan, Lembaga boleh memerintahkan supaya dibatalkan pendaftaran suatu racun makhluk perosak—
- (a) apabila diterima suatu pemberitahuan secara bertulis daripada orang yang atas permohonannya racun makhluk perosak itu didaftarkan, dan setelah berpuas hati, bahawa racun makhluk perosak itu telah ditarik balik daripada jualan atau penggunaan;
- (b) jika Lembaga menganggapnya tidak wajar bahawa racun makhluk perosak itu terus didaftarkan kerana keracunannya, ketidakmujarabannya atau kemudaratannya terhadap manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan atau harta;
- (c) jika racun makhluk perosak itu tidak menepati apa-apa yang dikatakan ia mempunyainya pada labelnya;
- (d) jika labelnya tidak mematuhi kehendak Akta ini atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan;