Kuasa untuk mengambil khidmat
43. Perbadanan boleh mengambil khidmat dan membayar ejen dan penasihat teknikal, termasuklah peguam bela dan peguam cara, jurubank, perunding dan orang lain, untuk menguruskan apa-apa urusan atau untuk melakukan apa-apa perbuatan yang dikehendaki untuk diuruskan atau dilakukan pada melaksanakan fungsinya atau bagi melaksanakan maksud Akta ini dengan lebih baik.
Kuasa untuk menubuhkan syarikat
44. Perbadanan boleh, dari semasa ke semasa, dengan kelulusan Menteri dan persetujuan Menteri Kewangan, menubuhkan syarikat dengan nama yang ditentukan oleh Perbadanan untuk menjalankan dan mempunyai tanggungjawab, penjalanan dan pengurusan bagi pihak Perbadanan terhadap apa-apa projek, skim atau perusahaan sebagaimana yang ditentukan oleh Perbadanan dalam menunaikan fungsinya.
Perkara yang dilakukan pada menjangkakan Akta ini diperbuat
45. Segala perkara yang dilakukan oleh mana-mana orang atau pihak berkuasa bagi pihak Perbadanan sebagai persediaan dan ke arah pelaksanaan yang sepatutnya Akta ini, dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengannya, pada menjangkakan pembuatan Akta ini hendaklah disifatkan telah dibenarkan oleh Akta ini, dan segala hak yang diperoleh atau obligasi yang ditanggung bagi pihak Perbadanan daripada apa-apa yang dilakukan sedemikian hendaklah apabila Akta ini mula berkuat kuasa disifatkan sebagai hak dan obligasi Perbadanan.