Laman ini telah dibaca pruf
5
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 783
AKTA PENCEN 1980
Suatu Akta bagi membuat peruntukan mengenai pentadbiran pencen, ganjaran dan lain-lain faedah bagi pegawai dalam perkhidmatan awam dan juga tanggungan mereka.
[1 Januari 1976]
MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:
Tajuk ringkas, mula berkuat kuasa dan pemakaian
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pencen 1980 dan hendaklah disifatkan sebagai telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 1976.
(2) Akta ini hendaklah terpakai di seluruh Malaysia bagi—
- (a) pegawai dalam perkhidmatan awam yang telah memilih atau disifatkan telah memilih mana-mana Skim Baru;
- (b) pegawai dalam perkhidmatan awam yang telah atau adalah dilantik di bawah mana-mana Skim Baru;
- (c) pegawai dalam perkhidmatan awam yang oleh kerana pilihan mereka adalah terikat dengan mana-mana Skim Baru; atau
- (d) pegawai sementara dalam perkhidmatan awam yang dilantik sebelum 1 Januari 1976 dan yang tidak diberi pilihan untuk memilih Skim Baru yang mula berkuat kuasa dari tarikh itu.