Pergi ke kandungan

Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/69

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Kanak-Kanak
69


(2) Pelindung hendaklah menyelesaikan siasatan itu dan mengemukakan laporan siasatan itu kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam tempoh tidak melebihi satu bulan dari tarikh perintah itu dibuat di bawah subseksyen 39(4).

Kuasa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berhubung dengan kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemulihan

40. (1) Jika selepas menimbangkan laporan yang dikemukakan di bawah seksyen 39a, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berpuas hati bahawa mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya ialah kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemulihan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, selepas mengambil kira bahawa meletakkan kanak-kanak dalam pemeliharaan berasaskan keluarga adalah sebaik-baiknya, boleh—

(a) membuat suatu perintah menghendaki ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon, dengan atau tanpa penjamin, sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu tertakluk pada apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Mahkamah bagi pemeliharaan dan penjagaan sepatutnya kanak-kanak itu;
(b) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu dalam pemeliharaan seseorang sama ada saudara atau tidak yang sanggup dan yang difikirkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak sebagai seorang yang layak dan sesuai untuk memelihara kanak-kanak itu;
(c) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, tertakluk pada apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Mahkamah dan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu;
(d) membuat suatu perintah meletakkan kanak-kanak itu di suatu pusat selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh perintah itu; atau