Pergi ke kandungan

Laman:Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).pdf/59

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
Kanak-Kanak
59


(2) Mahkamah hendaklah, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu melaksanakan khidmat masyarakat.

(3) Khidmat masyarakat yang disebut dalam subseksyen (2)—

(a) tidak boleh kurang daripada tiga puluh enam jam dan tidak lebih daripada dua ratus empat puluh jam secara agregat;
(b) hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah itu; dan
(c) hendaklah tertakluk pada apa-apa syarat yang dinyatakan oleh Mahkamah.

(4) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah Mahkamah supaya melaksanakan khidmat masyarakat di bawah subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit.

Kesalahan kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan

33. (1) Mana-mana orang, yang merupakan ibu atau bapa atau penjaga atau orang yang pada masa itu mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, yang meninggalkan kanak-kanak itu—

(a) tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu;
(b) selama suatu tempoh yang tidak berpatutan memandangkan semua hal keadaan; atau
(c) dalam keadaan yang tidak berpatutan memandangkan semua hal keadaan,

melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.