(4) Seseorang ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain yang bertanggungan di sisi undang-undang untuk menyara seseorang kanak-kanak hendaklah disifatkan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi jika, sungguhpun dia berupaya mengadakan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi bagi kanak-kanak itu daripada sumber-sumbernya sendiri, dia tidak berbuat demikian.
(5) Seseorang boleh disabitkan atas suatu kesalahan terhadap seksyen ini walaupun—
- (a) penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan atau kemungkinan penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan telah dielakkan melalui tindakan orang lain; atau
- (b) kanak-kanak yang berkenaan telah mati.
Kanak-Kanak tidak boleh digunakan untuk mengemis, dsb.
32. (1) Mana-mana orang yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana kanak-kanak atau, sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, membenarkan kanak-kanak itu berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud—
- (a) mengemis, menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk jualan;
- (b) menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram, perjudian atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu; atau
- (c) menjalankan apa-apa aktiviti lain yang menyalahi undang-undang,
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.