UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 237
AKTA AHLI PARLIMEN (SARAAN) 1980
Suatu Akta untuk membuat peruntukan mengenai saraan bagi Ahli Parlimen dan mengenai perkara lain yang bersampingan atau berkaitan dengannya.
[1 Julai 1980]
MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Yang diPertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut:
Tajuk ringkas
1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
Tafsiran
2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain ─
“Ahli atau Anggota” ertinya Anggota Pentadbiran, Ahli Parlimen, Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat;
“Ahli Parlimen” ertinya ahli Dewan Negara atau Dewan Rakyat;
“Anggota Pentadbiran” mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan tetapi tidaklah termasuk Setiausaha Politik.