- (b) menunaikan perintah Mahkamah supaya dibayar jumlah wang berkala untuk nafkah bagi isteri atau bekas isteri atau anak orang yang berhenti menjadi Ahli atau Anggota dan yang kepadanya telah diberi pencen atau ganjaran itu.
Pencen atau ganjaran tidak boleh dibayar dalam hal keadaan tertentu
14. (1) Tiada apa-apa pencen atau ganjaran boleh diberi di bawah Jadual ini kepada mana-mana orang yang hilang kelayakan daripada menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen dalam hal keadaan yang diperihalkan dalam perenggan (e) atau (f) Fasal (1) Perkara 48 Perlembagaan.
(2) Jika seseorang yang telah diberi pencen di bawah Jadual ini telah hilang kelayakan daripada menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen dalam hal keadaan yang diperihalkan dalam subperenggan (1), pencen itu hendaklah terhenti dengan serta merta:
Dengan syarat bahawa pencen itu hendaklah dipulihkan semula dengan kuat kuasa kebelakang bagi seseorang yang hilang kelayakannya di bawah perenggan (e) Fasal (1) Perkara 48 Perlembagaan telah dihapuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pembayaran tanpa pemberian probet atau surat mentadbir pesaka
15. (1) Walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, jika seseorang yang kepadanya apa-apa pembayaran boleh dibuat di bawah Jadual ini mati sebelum pembayaran itu dibuat dan amaun itu masih belum dibayar, maka amaun yang belum dibayar itu boleh dibayar kepada orang tanggungannya tanpa ada pemberian probet atau surat mentadbir pesaka berkenaan dengan harta pesakanya.
(2) Bagi maksud perenggan ini, “belum dibayar” ertinya belum dibayar oleh Kerajaan atau belum dikeluarkan oleh orang itu.
Perkhidmatan yang boleh dimasuk kira bagi orang tertentu
16. (1) Jika seseorang telah menjadi Ahli atau Anggota sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini, mana-mana tempoh, terus-menerus atau tidak, sebelum tarikh itu tetapi tidak lebih awal daripada 31 Ogos 1957 bolehlah diambil kira bagi maksud menghitung lamanya perkhidmatan yang boleh dimasuk kira baginya.
(1A) Bagi maksud subperenggan (1), tempoh perkhidmatan seseorang Ahli atau Anggota dalam Majlis Perundangan Persekutuan hendaklah diambil kira.