Pergi ke kandungan

Laman:Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237).pdf/10

Daripada Wikisumber
Laman ini telah dibaca pruf
10
Undang-Undang Malaysia
AKTA 237


Peruntukan bagi mengelakkan pergandaan gaji

11. Melainkan jika diperuntukkan selainnya, seseorang Ahli atau Anggota yang kepadanya apa-apa gaji kena dibayar di bawah Akta ini adalah berhak menerima hanya gaji dan elaun itu sahaja tetapi jika ia pemegang dua jawatan atau lebih yang baginya gaji dan elaun kena dibayar di bawah Akta ini dan ada perbezaan tentang gaji dan elaun yang kena dibayar bagi jawatan-jawatan itu, maka jawatan yang baginya elaun dan gaji itu kena dibayar ialah jawatan yang baginya gaji tertinggi sekali kena dibayar.

Wang yang hendak diperuntukkan atau dipertanggungkan

12. (1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3) gaji, elaun dan faedah yang kena dibayar di bawah Akta ini hendaklah dibayar daripada wang yang diperuntukkan oleh Parlimen.

(2) Saraan bagi Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan.

(3) Pencen dan ganjaran yang kena dibayar di bawah peruntukan Jadual Pertama hendaklah dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan.

Pemansuhan dan kecualian

13. Akta (Pencen dan Ganjaran) Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen 1971 [Akta 23] adalah dimansuhkan:

Dengan syarat bahawa jika seseorang atau orang tanggungannya telah menerima pencen atau pencen terbitan, mengikut mana yang berkenaan, di bawah peruntukan Akta ini, maka pencen atau pencen terbitan itu hendaklah dihitung semula di bawah perenggan 20 Jadual Pertama dan hendaklah terus kena dibayar di bawah peruntukan Jadual itu.