Dengan syarat bahawa akaun bagi wang itu hendaklah disimpan berasingan dan berlainan daripada akaun Kumpulan Wang.
Penyata, laporan, akaun dan maklumat
11. (1) Lembaga hendaklah memberi Menteri dan orang, kumpulan orang lain atau pihak berkuasa awam yang lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri, penyata, laporan, akaun dan maklumat yang dikehendakinya dari semasa ke semasa berkenaan dengan harta dan kegiatan Lembaga.
(2) Tanpa menyentuh keluasan peruntukan subseksyen (1), Lembaga hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh, selepas berakhirnya setiap tahun kewangan, menyebabkan dibuat dan dihantar kepada Menteri dan, jika diarahkan sedemikian oleh Menteri, kepada Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa awam lain, suatu laporan berkenaan dengan kegiatan Lembaga dalam masa tahun kewangan yang sebelumnya dan mengikut apaapa bentuk dan mengandungi apa-apa maklumat yang berhubungan dengan perjalanan dan dasar Lembaga sebagaimana yang dinyatakan dari semasa ke semasa oleh Menteri.
(3) Menteri hendaklah menyebabkan dibentangkan setiap laporan itu dalam Dewan Rakyat.
Bahagian III
PENGERUSI, TIMBALAN PENGERUSI, PEGAWAI DAN PEKHIDMAT LEMBAGA
Pengerusi hendaklah menjadi ketua pegawai pengurus
12. (1) Pengerusi hendaklah menjadi ketua pegawai pengurus Lembaga dan hendaklah bertanggungjawab bagi menyediakan program, skim atau projek untuk pertimbangan Lembaga, bagi mengeluarkan panduan dasar atau penerangan mengenai keputusan Lembaga kepada Timbalan Pengerusi dan pegawai dan pekhidmat lain dan bagi menyelia dan mengawal pelaksanaan keputusan itu.
(2) Semua pegawai dan pekhidmat Lembaga hendaklah terletak di bawah kawalan am Pengerusi.