Kaedah-Kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025
AKTA PERHUTANAN NEGARA 1984
KAEDAH-KAEDAH PERHUTANAN NEGARA (WILAYAH PERSEKUTUAN) (PINDAAN) 2025
PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 111 Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] sebagaimana yang diubahsuaikan oleh Jadual Kelima Akta, Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 [P.U. (A) 450/2017] dan Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 [P.U. (A) 451/2017], Menteri membuat kaedah-kaedah yang berikut:
Nama dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025.
(2) Kaedah-Kaedah ini mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2025.
Pindaan kaedah 2
2. Kaedah-Kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) 2019 [P.U. (A) 180/2019], yang disebut “Kaedah-Kaedah ibu” dalam Kaedah-Kaedah ini, dipinda dalam kaedah 2—
- (a) dengan memasukkan sebelum takrif “Pengarah Tanah dan Galian” takrif yang berikut:
- ‘ “Jawatankuasa” ertinya suatu jawatankuasa yang menjalankan siasatan awam di bawah kaedah 10;’; dan
- (b) dengan memasukkan selepas takrif “perakuan pembersihan hutan” takrif yang berikut:
- ‘ “Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan” ertinya Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dilantik oleh Menteri menurut seksyen 3 Akta;
- “pernyataan mengenai pengeluaran kawasan tanah yang dicadangkan” ertinya suatu pernyataan bertulis yang mengandungi butir-butir berkenaan dengan kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada suatu hutan simpanan kekal;’.
Penggantian kaedah 10
3. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan menggantikan kaedah 10 dengan kaedah yang berikut:
- “Siasatan awam bagi pengeluaran tanah daripada hutan simpanan kekal
- 10. (1) Menurut seksyen 11 Akta, mana-mana kawasan tanah daripada suatu hutan simpanan kekal boleh dikeluarkan daripada hutan simpanan kekal itu tertakluk kepada suatu siasatan awam yang dijalankan sebelum pengeluaran itu.
- (2) Siasatan awam di bawah subkaedah (1) hendaklah dijalankan oleh suatu jawatankuasa yang terdiri daripada anggota yang dilantik oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Persekutuan yang hendaklah termasuk sekurang-kurangnya seorang wakil daripada Wilayah Persekutuan di mana kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada hutan simpanan kekal itu terletak.”.
Kaedah baharu 10A, 10B, 10C, 10D, 10E, 10F, 10G, 10H, 10I, 10J, 10K, 10L dan 10M
4. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan memasukkan selepas kaedah 10 kaedah yang berikut:
- “Siasatan awam adalah terbuka dan umum
- 10A. Suatu siasatan awam hendaklah terbuka kepada orang awam yang terjejas dengan cadangan untuk mengeluarkan kawasan tanah daripada suatu hutan simpanan kekal.
- Cadangan untuk mengeluarkan tanah daripada hutan simpanan kekal
- 10B. (1) Mana-mana orang yang mencadangkan suatu kawasan tanah untuk dikeluarkan daripada suatu hutan simpanan kekal, cadangan itu hendaklah dibuat secara bertulis dan dikemukakan kepada Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan.
- (2) Selepas menerima cadangan di bawah subkaedah (1), Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan hendaklah merujuk cadangan itu kepada kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan atau mana-mana pihak lain yang berkaitan untuk ulasan.
- (3) Kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan atau pihak lain yang berkaitan yang kepadanya cadangan di bawah subkaedah (2) dirujuk hendaklah menghantar ulasan kepada Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan dalam masa sebagaimana yang ditentukan oleh Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan.
- Penyediaan pelan kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada hutan simpanan kekal
- 10C. (1) Selepas menerima cadangan untuk mengeluarkan suatu kawasan tanah daripada suatu hutan simpanan kekal di bawah kaedah 10B, Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan hendaklah menyediakan suatu salinan pelan kawasan yang menunjukkan kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada hutan simpanan kekal itu dan suatu pernyataan mengenai pengeluaran kawasan tanah yang dicadangkan.
- (2) Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan hendaklah menyebabkan salinan pelan kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada hutan simpanan kekal dan pernyataan mengenai pengeluaran kawasan tanah yang dicadangkan itu dipamerkan di pejabat Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan atau tempat lain sebagaimana yang difikirkannya sesuai bagi maksud pemeriksaan awam yang akan dibuat selepas suatu notis siasatan awam disiarkan di bawah kaedah 10E.
- Publisiti siasatan awam
- 10D. (1) Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan hendaklah membuat publisiti mengenai niat untuk mengeluarkan kawasan tanah daripada suatu hutan simpanan kekal dengan apa-apa cara sebagaimana yang difikirkannya sesuai tidak kurang daripada tujuh hari bekerja sebelum suatu notis siasatan awam disiarkan mengikut kaedah 10E.
- (2) Publisiti di bawah subkaedah (1) hendaklah mengandungi maklumat seperti yang berikut:
- (a) tujuan mengeluarkan kawasan tanah itu daripada hutan simpanan kekal; dan
- (b) tarikh notis siasatan awam itu akan disiarkan.
- Penyiaran notis siasatan awam
- 10E. (1) Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan hendaklah menyiarkan suatu notis siasatan awam untuk memaklumkan orang awam berkenaan dengan kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada suatu hutan simpanan kekal—
- (a) dalam sekurang-kurangnya dua surat khabar tempatan, satu daripadanya hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan; atau
- (b) dalam apa-apa medium lain sebagaimana yang ditentukan oleh Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan dalam bahasa kebangsaan.
- (2) Notis siasatan awam hendaklah dibuat dalam Borang F sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
- Bantahan terhadap cadangan untuk mengeluarkan tanah daripada hutan simpanan kekal
- 10F. (1) Mana-mana orang yang terjejas dengan cadangan untuk mengeluarkan kawasan tanah daripada suatu hutan simpanan kekal boleh mengemukakan bantahan secara bertulis kepada Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan dalam masa tiga puluh hari bekerja dari tarikh penyiaran notis siasatan awam di bawah kaedah 10E.
- (2) Bantahan bertulis di bawah subkaedah (1) hendaklah dibuat dalam Borang G sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
- Penyampaian bantahan bertulis
- 10G. Bantahan bertulis yang dibuat dalam Borang G hendaklah disampaikan kepada Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan sama ada melalui penyampaian kediri, melalui pos berdaftar, atau melalui komunikasi elektronik.
- Laporan awal mengenai bantahan bertulis
- 10H. Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan hendaklah menyediakan suatu laporan awal yang menyatakan apa-apa bantahan bertulis yang telah dikemukakan di bawah kaedah 10F dalam masa tiga puluh hari bekerja selepas tamat tempoh pengemukaan bantahan bertulis di bawah subkaedah 10F(1) dan hendaklah mengemukakan laporan awal itu kepada Jawatankuasa.
- Penjalanan pendengaran siasatan awam
- 10I. Jawatankuasa hendaklah menjalankan pendengaran siasatan awam dalam masa tiga puluh hari bekerja selepas tamat tempoh pengemukaan laporan awal mengenai bantahan bertulis di bawah kaedah 10H.
- Notis pendengaran siasatan awam
- 10J. (1) Sebelum pendengaran siasatan awam, Jawatankuasa hendaklah menyebabkan supaya suatu notis pendengaran siasatan awam disampaikan kepada orang yang telah mengemukakan bantahan bertulis di bawah kaedah 10F.
- (2) Notis pendengaran siasatan awam di bawah subkaedah (1) hendaklah mengandungi maklumat seperti yang berikut:
- (a) fakta bahawa pendengaran siasatan awam akan dijalankan bagi kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada hutan simpanan kekal;
- (b) masa dan tempat pendengaran siasatan awam akan dijalankan; dan
- (c) kehendak yang menghendaki orang yang membantah pengeluaran kawasan tanah yang dicadangkan daripada hutan simpanan kekal supaya hadir pendengaran siasatan awam.
- Pendengaran siasatan awam
- 10K. (1) Jawatankuasa hendaklah memberikan mana-mana orang yang telah mengemukakan bantahan bertulis di bawah kaedah 10F peluang untuk didengar semasa pendengaran siasatan awam, sama ada secara sendiri atau melalui wakilnya, dan mengemukakan apa-apa keterangan, sama ada lisan atau melalui dokumen.
- (2) Jawatankuasa boleh, jika difikirkannya perlu atau suai manfaat untuk berbuat demikian, menangguhkan pendengaran siasatan awam.
- Laporan siasatan awam
- 10L. (1) Jika tiada bantahan bertulis diterima di bawah kaedah 10F, Jawatankuasa hendaklah, dalam masa tiga puluh hari bekerja selepas tamat tempoh pengemukaan laporan awal di bawah kaedah 10H atau selepas laporan awal diterima oleh Jawatankuasa, yang mana lebih awal, mengemukakan laporan siasatan awam yang mengandungi kawasan tanah yang dicadangkan untuk dikeluarkan daripada suatu hutan simpanan kekal berserta dengan syor oleh Jawatankuasa kepada Menteri untuk suatu keputusan sama ada untuk mengeluarkan kawasan tanah yang dicadangkan itu daripada hutan simpanan kekal atau tidak.
- (2) Selepas pendengaran siasatan awam di bawah kaedah 10K selesai, Jawatankuasa hendaklah dalam masa tiga puluh hari bekerja menyediakan suatu laporan siasatan awam berserta dengan syor oleh Jawatankuasa dan hendaklah mengemukakan laporan itu kepada Menteri untuk suatu keputusan sama ada untuk mengeluarkan kawasan tanah yang dicadangkan itu daripada hutan simpanan kekal atau tidak.
- (3) Laporan di bawah subkaedah (1) dan (2) hendaklah termasuk ulasan yang diterima daripada kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan dan pihak lain yang berkaitan di bawah subkaedah 10B(3).
- Keputusan Menteri
- 10M. (1) Setelah menerima laporan dan syor daripada Jawatankuasa, Menteri boleh—
- (a) meluluskan cadangan untuk mengeluarkan kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal dalam apa-apa bentuk sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Menteri; atau
- (b) menolak cadangan itu dan menyatakan alasan penolakan.
- (2) Selepas keputusan dibuat di bawah perenggan (1)(a), Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan hendaklah—
- (a) menghantar suatu salinan kelulusan berserta dengan pelan kawasan yang menunjukkan sempadan luar kawasan tanah yang akan dikeluarkan daripada hutan simpanan kekal kepada Pengarah Ukur dan Pemetaan bagi maksud menyediakan pemberitahuan dalam Warta menurut seksyen 13 Akta; dan
- (b) menyediakan suatu pemberitahuan untuk mengeluarkan kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal bagi maksud penyiaran dalam Warta.
- (3) Bagi maksud perenggan (1)(a), Menteri boleh memberikan kebenaran kepada Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan untuk mengambil hasil hutan mengikut perenggan 16(a) Akta sebelum pengeluaran kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal.
- (4) Jika Menteri menolak pengeluaran kawasan tanah yang dicadangkan daripada hutan simpanan kekal, kawasan tanah itu hendaklah kekal sebagai hutan simpanan kekal.”.
Pindaan Jadual Pertama
5. Jadual Pertama kepada Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan memasukkan selepas Borang E borang yang berikut:
“BORANG F
[Subkaedah 10E(2)]
NOTIS CADANGAN UNTUK MENGELUARKAN KAWASAN TANAH DARIPADA HUTAN SIMPANAN KEKAL
Dengan ini diberitahu bahawa terdapat cadangan untuk mengeluarkan kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal yang mempunyai butir-butir dan maksud seperti yang berikut:
| Daerah | : | |
| Mukim | : | |
| No. Pelan | : | |
| Kawasan | : | |
| Tujuan | : | |
Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya
dan Wilayah Persekutuan Labuan
BORANG G
[Subkaedah 10F(2)]
BORANG BANTAHAN
| Nama (Individu/ Organisasi) |
: | |
| Alamat | : | |
| | ||
| | ||
| Nombor telefon/ Nombor telefon bimbit |
: | |
| Alamat e-mel | : | |
| Perkara | : | |
| Alasan | : | |
| Tarikh | : | |
Nota: Sila gunakan lampiran berasingan jika ruangan tidak mencukupi
(tandatangan)
Bantahan secara bertulis hendaklah dibuat kepada:
Pengarah Perhutanan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan
Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan
Lot 231, Jalan Ampang, Bukit Nanas
50450 Kuala Lumpur, Malaysia.
”.
Dibuat 31 Januari 2025
[NRES.BPBP.(S)600-2/4/1; PN(PU2)411/JLD.6]
NIK NAZMI BIN NIK AHMAD
Menteri Sumber Asli
dan Kelestarian Alam