Pergi ke kandungan

Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971

Daripada Wikisumber
Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (2023)
dikarang oleh Parlimen Malaysia

Akta 37

8918Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 19712023Parlimen Malaysia
​

Jata Malaysia


UNDANG-UNDANG
MALAYSIA




VERSI DALAM TALIAN TEKS
CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI




Akta 37


AKTA SENJATA API
(PENALTI LEBIH BERAT) 1971

Sebagaimana pada 4 Julai 2023


Teks ini HANYALAH TEKS KEMAS KINI bagi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 oleh Jabatan Peguam Negara. Melainkan jika dan sehingga dicetak semula menurut kuasa Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang di bawah subseksyen 14(1) Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 [Akta 1], teks ini BUKAN TEKS YANG SAH ​

AKTA SENJATA API (PENALTI LEBIH BERAT) 1971

Tarikh Perkenan Diraja
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
30 Ogos 1971
Tarikh penyiaran dalam Warta
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
2 September 1971
Kali terakhir dipinda melalui Akta 846 yang mula berkuat kuasa pada
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
4 Julai 2023


Cetakan Semula Yang Terdahulu

Cetakan Semula Yang Pertama
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
1980
Cetakan Semula Yang Kedua
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
1993
Cetakan Semula Yang Ketiga
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
1999
Cetakan Semula Yang Keempat
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
2006

​

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 37

AKTA SENJATA API
(PENALTI LEBIH BERAT) 1971


SUSUNAN SEKSYEN


Seksyen
1. Tajuk ringkas, pemakaian, permulaan kuat kuasa dan tempoh lamanya
2. Tafsiran
3. Penalti kerana melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual
3a. Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata api
4. Penalti kerana menunjukkan senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual
5. Penalti kerana ada senjata api dalam melakukan suatu kesalahan berjadual
6. Penalti kerana menunjukkan senjata api tiruan dalam melakukan suatu kesalahan berjadual
7. Penalti kerana berdagang senjata api
8. Penalti kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang
9. Penalti kerana berkawan dengan orang yang membawa senjata api
10. Bidang kuasa Mahkamah Sesyen
11. Peruntukan khas berkenaan dengan pemindahan sesuatu kes ke, dan perbicaraan oleh, Mahkamah Tinggi
12. Jaminan tidak dibenarkan mengenai kesalahan di bawah Akta ini
Jadual
​

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 37

AKTA SENJATA API
(PENALTI LEBIH BERAT) 1971

Suatu Akta bagi mengadakan penalti lebih berat kerana menggunakan senjata api pada melakukan kesalahan tertentu dan bagi kesalahan tertentu berkenaan dengan senjata api, dan bagi membuat peruntukan khas berkenaan dengan bidang kuasa mahkamah mengenai kesalahan di bawahnya dan perbicaraannya.

[Seluruh Malaysia⎯1 Oktober 1971,
P.U. (B) 339/1971
]

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:

Tajuk ringkas, pemakaian, permulaan kuat kuasa dan tempoh lamanya

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

(2) Akta ini hendaklah terpakai di seluruh Malaysia.

(3) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri yang bertanggungjawab atas ketenteraman awam melalui pemberitahuan dalam Warta yang tidak lebih awal dari tarikh pemberitahuan itu disiarkan.

(4) Akta ini hendaklah terus berkuat kuasa sehingga ia dibatalkan dengan ketetapan yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen: ​

Dengan syarat bahawa pembatalan itu tidak menyentuh apa-apa jua yang telah dilakukan dahulunya menurut Akta ini.

Tafsiran

2. (1) Dalam Akta ini―

"berdagang senjata api" ertinya―

(a) menjual atau memindahmilikkan, atau menyimpan atau mendedahkan untuk dijual atau dipindah milik, sesuatu senjata api bersalahan dengan subseksyen 9(1) Akta Senjata 1960 [Akta 206];
(b) membaiki atau menerima untuk dibaiki sesuatu senjata api bersalahan dengan subseksyen 9(2) Akta itu;
(c) memindahmilikkan, menjual atau menawarkan untuk dijual sesuatu senjata api kepada seseorang yang lain daripada seseorang yang dinyatakan dalam subseksyen 11(1) Akta itu; atau
(d) mengimport sesuatu senjata api bersalahan dengan subseksyen 15(1) Akta itu;
(e) (Dipotong oleh Akta A266).

"kesalahan berjadual" ertinya apa-apa kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual;

"mahkamah rendah" mempunyai pengertian yang diberikan kepadanya dalam seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91];

"melepaskan tembakan" ertinya menyebabkan dilepaskan sesuatu letusan, peluru atau bedilan lain daripada sesuatu senjata api dengan alat cas letupan, dan termasuklah menyebabkan sesuatu bom atau grenad diletupkan; ​

"memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang" ertinya memiliki, menjaga atau mengawal sesuatu senjata api, atau membawanya, bersalahan dengan Akta Senjata 1960;

"senjata api" ertinya apa-apa jenis senjata maut berlaras yang daripadanya sesuatu letusan, peluru atau bedilan lain boleh dilepaskan dengan alat cas letupan dan termasuklah sesuatu bom atau grenad yang mengandungi cas letupan.

(2) Perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang terdapat dalam Kanun Keseksaan [Akta 574] masing-masingnya mempunyai pengertian yang diberikan kepadanya dalam Kanun itu.

Penalti kerana melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual

3. Seseorang yang pada masa melakukan atau cuba melakukan atau bersubahat melakukan sesuatu kesalahan berjadual melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan juga disebat tidak kurang daripada dua belas kali walaupun tiada apa-apa kecederaan berlaku oleh sebabnya.

Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata api

3a. Jika, dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang, seseorang melepaskan tembakan senjata api pada masa melakukan atau cuba melakukan atau bersubahat melakukan suatu kesalahan berjadual, setiap seorang daripada rakan sejenayahnya mengenai kesalahan itu yang berada di tempat kesalahan itu dilakukan atau cuba dilakukan atau disubahati dilakukan, yang mungkin dengan munasabah dianggap telah mengetahui bahawa orang itu telah membawa atau ada dalam miliknya atau di bawah jagaan atau kawalannya senjata api itu hendaklah, walaupun tiada apa-apa kecederaan yang disebabkan oleh ​lepasan tembakan itu, dihukum dengan pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan juga disebat tidak kurang daripada dua belas kali melainkan jika dia membuktikan bahawa dia telah mengambil segala langkah yang munasabah untuk mencegah lepasan tembakan itu.

Penalti kerana menunjukkan senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual

4. Seseorang yang pada masa melakukan atau cuba melakukan atau bersubahat melakukan sesuatu kesalahan berjadual atau sesuatu rompakan menunjukkan suatu senjata api dengan cara yang mungkin mendatangkan ketakutan mati atau cedera kepada seseorang hendaklah dipenjarakan bagi tempoh tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali.

Penalti kerana ada senjata api dalam melakukan suatu kesalahan berjadual

5. Seseorang yang pada masa melakukan atau cuba melakukan atau bersubahat melakukan suatu kesalahan berjadual ada pada dirinya suatu senjata api hendaklah dipenjarakan bagi tempoh tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali.

Penalti kerana menunjukkan senjata api tiruan dalam melakukan suatu kesalahan berjadual

6. Seseorang yang pada masa melakukan atau cuba melakukan atau bersubahat melakukan suatu kesalahan berjadual menunjukkan suatu senjata api tiruan dengan cara yang mungkin mendatangkan ketakutan mati atau cedera kepada seseorang hendaklah dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun dan juga disebat tidak kurang daripada tiga kali. ​

Penalti kerana berdagang senjata api

7. (1) Seseorang yang berdagang senjata api hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.

(2) Seseorang yang dibuktikan memiliki lebih daripada dua senjata api dengan menyalahi undang-undang hendaklah dianggap berdagang senjata api.

Penalti kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang

8. Seseorang yang memiliki sesuatu senjata api dengan menyalahi undang-undang hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama suatu tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali.

Penalti kerana berkawan dengan orang yang membawa senjata api

9. Seseorang yang berkawan, atau didapati ada bersama dengan seorang lain yang memiliki suatu senjata api dengan menyalahi undang-undang dalam hal keadaan yang menimbulkan anggapan yang munasabah bahawa dia telah mengetahui bahawa orang lain itu telah memiliki senjata api itu dengan menyalahi undang-undang hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama suatu tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali, melainkan jika dia membuktikan bahawa dia ada alasan yang munasabah bagi mempercayai bahawa orang lain itu telah tidak memiliki senjata api itu dengan menyalahi undang-undang.

Bidang kuasa Mahkamah Sesyen

10. (1) Walau apa pun undang-undang bertulis lain yang berlawanan, Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kesalahan di bawah Akta ini, kecuali kesalahan di bawah ​seksyen 3 atau 3a, dan untuk mengenakan bagi apa-apa kesalahan yang dibicarakan itu hukuman atau penalti penuh yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut oleh Akta ini, kecuali hukuman mati.

(2) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan sesuatu kes mengenai sesuatu kesalahan di bawah Akta ini, jika Pendakwa Raya menghendaki mana-mana kes seperti itu dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Peruntukan khas berkenaan dengan pemindahan sesuatu kes ke, dan perbicaraan oleh, Mahkamah Tinggi

11. (1) Jika sesuatu kes mengenai suatu kesalahan di bawah Akta ini dikehendaki oleh Pendakwa Raya supaya dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi, orang yang dituduh itu hendaklah dikemukakan di hadapan mahkamah rendah yang sewajarnya yang hendaklah, setelah pertuduhan itu diterangkan kepada orang yang dituduh itu, memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi tanpa mengadakan siasatan permulaan di bawah [1]Bab XVII Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], dan menyebabkan orang yang dituduh itu hadir atau dibawa ke hadapan Mahkamah itu dengan seberapa segera yang praktik.

[2](2) Apabila orang yang dituduh itu hadir atau dibawa ke hadapan Mahkamah Tinggi mengikut subseksyen (1), Mahkamah Tinggi hendaklah menetapkan tarikh bagi perbicaraannya yang hendaklah diadakan mengikut tatacara di bawah Bab XX Kanun Tatacara Jenayah.

(3) Perbicaraan sesuatu kes yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di bawah subseksyen (1) hendaklah oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang bersidang seorang sahaja, dan "Bab XXI dan XXII Kanun Tatacara Jenayah tidaklah terpakai bagi perbicaraan itu.

(4) Subseksyen (1), (2) dan (3) hendaklah berkuat kuasa walau apa pun undang-undang bertulis lain yang berlawanan. ​

Jaminan tidak dibenarkan mengenai kesalahan di bawah Akta ini

12. (1) Jaminan tidak boleh dibenarkan bagi seseorang yang dituduh yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah Akta ini.

(2) Subseksyen (1) hendaklah terpakai walau apa pun apa-apa undang-undang bertulis lain atau apa-apa hukum undang-undang yang berlawanan.


*CATATAN—Lihat seksyen 46 Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 [Akta 846] m.b.p. 4 Julai 2023 yang memperuntukkan seperti berikut:

"Peralihan

46. Apabila Akta ini mula berkuat kuasa, jika seseorang disabitkan oleh mana-mana mahkamah kerana melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 3, 3a atau 7 Akta ibu, orang itu, sama ada dalam suatu perbicaraan atau rayuan, hendaklah dihukum mengikut peruntukan Akta ibu sebagaimana yang dipinda oleh Akta ini walaupun kesalahan itu dilakukan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini."

​

Jadual
[Seksyen 2]

  1. Pemerasan.
  2. Rompakan.
  3. Penghalangan atau penentangan, oleh seseorang, terhadap penangkapan dirinya atau seorang lain oleh seorang pegawai polis atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa dengan sah untuk menangkapnya.
  4. Lari daripada jagaan yang sah.
  5. Melarikan orang atau menculik di bawah seksyen 363 hingga 367 Kanun Keseksaan dan seksyen 3 Akta Penculikan 1961 [Akta 365].
  6. Pecah rumah atau menceroboh rumah di bawah seksyen 454 hingga 460 Kanun Keseksaan.

​

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 37

AKTA SENJATA API (PENALTI
LEBIH BERAT) 1971

SENARAI PINDAAN

Undang-undang yang meminda Tajuk ringkas Berkuat kuasa dari
Akta A256 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 1974 08-07-1974
Akta A266 Akta Senjata (Pindaan) 1974 16-08-1974
Akta A317 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 1975 05-09-1975
Akta A427 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 1978 10-03-1978
Akta 206 Akta Senjata 1960 10-03-1978
Akta 846 Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 04-07-2023

​

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 37

AKTA SENJATA API (PENALTI LEBIH BERAT) 1971

SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA

Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari
Tajuk panjang Akta A256
Akta A427
08-07-1974
10-03-1978
2 Akta A256
Akta A427
Akta A266
Akta 846
08-07-1974
10-03-1978
16-08-1974
04-07-2023
3 Akta 846 04-07-2023
3a Akta A256
Akta 846
08-07-1974
04-07-2023
4 Akta A256
Akta 846
08-07-1974
04-07-2023
5 Akta A256
Akta 846
08-07-1974
04-07-2023
6 Akta A256 08-07-1974
7 Akta A256
Akta 846
08-07-1974
04-07-2023
8 Akta A256 08-07-1974
9 Akta A256 08-07-1974
10 Akta A317
Akta A427
05-09-1975
10-03-1978
11 Akta A427 10-03-1978
12 Akta A427 10-03-1978
Jadual Akta A256 08-07-1974

  1. ↑ CATATAN―Bab XVII, XXI and XXII Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] telah dimansuhkan―lihat seksyen 5 dan 11 Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 1995 [Akta A908].
  2. ↑ CATATAN―Lihat seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 1978 [Akta A427] bagi peruntukan-peruntukan peralihan.