Pergi ke kandungan

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

Daripada Wikisumber
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (1984)
dikarang oleh Parlimen Malaysia

Akta 301

5135Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 19841984Parlimen Malaysia

Jata Malaysia


UNDANG-UNDANG
MALAYSIA




VERSI ATAS TALIAN TEKS
CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI




Akta 301


AKTA MESIN CETAK DAN
PENERBITAN 1984

Sebagaimana pada 1 November 2012

AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984

Tarikh Perkenan Diraja
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
27 Jun 1984
Tarikh penyiaran dalam Warta
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
28 Jun 1984
Kali terakhir dipinda melalui Akta A1436 yang mula berkuat kuasa pada
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
15 Julai 2012

SEMAKAN TERDAHULU

Cetakan Semula Yang Pertama
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
2008

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Akta 301

AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984


SUSUNAN SEKSYEN


Bahagian I
PERMULAAN

Seksyen
1. Tajuk ringkas
2. Tafsiran

Bahagian II
PELESENAN MESIN CETAK

3. Lesen untuk mengguna mesin cetak
4. Mesin cetak yang digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang

Bahagian III
PERMIT UNTUK MENERBITKAN AKHBAR

5. Kesalahan untuk mencetak, mengimport, menerbit, dsb. akhbar tanpa permit
6. Pemberian permit

Bahagian IV
KAWALAN HASIL PENERBITAN TIDAK DIINGINI

7. Hasil penerbitan tidak diingini
8. Kesalahan
8A. Kesalahan kerana menyiarkan berita yang tidak benar
8B. Pengharaman hasil penerbitan

8C. Penggantungan hasil penerbitan
9. Hasil penerbitan tidak diingini boleh ditolak daripada diimport
9A. Menahan penghantarserahan sementara menanti keputusan Menteri

Bahagian V
PELBAGAI

10. Deposit
11. Dokumen bercetak hendaklah mengandungi nama pencetak dan penerbit
12. Kesahan lesen dan permit
13. Pembatalan, penggantungan dan pemindahan lesen atau permit
13A. Keputusan Menteri adalah muktamad
13B. Hak untuk didengar
14. Anggapan
15. Anggapan pencetak dan penerbit
16. Waran geledah
17. Kuasa untuk membuka bungkusan
18. Kuasa menyita dan menahan
19. Semua benda yang disita kena dilucut hak
20. Tangkapan tanpa waran
21. Perbadanan dan firma
22. Liabiliti pengarah, dsb.
23. Penyampaian notis, dsb.
24. Halangan kepada prosiding undang-undang
25. Pengecualian
26. Kaedah-kaedah
27. Pemansuhan
Jadual I
Jadual II

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

AKTA 301

AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984

Suatu Akta untuk mengawal selia penggunaan mesin cetak dan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan dan pengedaran hasil penerbitan dan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

[1 September 1984; P.U. (B) 364/1984]

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:

Bahagian I
PERMULAAN

Tajuk ringkas

1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Tafsiran

2. Dalam Akta ini melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain —

“akhbar” ertinya apa-apa hasil penerbitan yang mengandungi berita, penerangan, laporan kejadian atau apa-apa pendapat, pemerhatian atau ulasan, berhubungan dengan apa-apa berita, penerangan atau kejadian, atau dengan apa-apa perkara lain, yang menarik minat orang ramai, atau apa-apa majalah, komik atau bentuk majalah berkala lain yang dicetak dalam apa-apa bahasa untuk dijual atau diedarkan dengan percuma pada lat tempoh yang kerap atau tidak kerap, tetapi tidak termasuk apa-apa hasil penerbitan yang diterbitkan oleh atau untuk Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Singapura;

“dokumen” ertinya apa-apa kertas, kad atau bahan lain atau benda yang padanya ada dicetak, ditaip, ditulis atau ditandakan, huruf, angka, tanda, majalah bergambar atau apa-apa gambaran lain yang boleh dilihat dan termasuklah akhbar, buku dan risalah;

“lesen” ertinya lesen yang diberi di bawah subseksyen 3(3);

“orang” termasuklah pertubuhan perbadanan atau pertubuhan tidak diperbadankan;

“pegawai berkuasa” ertinya mana-mana pegawai polis, seseorang pegawai Kastam, pegawai Jabatan Perkhidmatan Pos dan mana-mana pegawai awam lain yang ditetapkan oleh Menteri sebagai pegawai berkuasa bagi maksud Akta ini;

“pegawai kanan berkuasa”ertinya—

(a) mana-mana pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Penolong Penguasa;
(b) mana-mana pegawai Kastam berpangkat tidak rendah daripada Penguasa;
(c) mana-mana pegawai Jabatan Perkhidmatan Pos berpangkat tidak rendah daripada Pegawai Kanan Pos;
(d) mana-mana pegawai awam lain yang ditetapkan oleh Menteri sebagai pegawai kanan berkuasa bagi maksud Akta ini;

“penerbitan” termasuklah—

(a) dokumen, akhbar, buku dan majalah berkala;
(b) semua bahan bertulis atau bercetak dan segala-galanya sama ada sifatnya yang serupa dengan bahan bertulis atau bercetak atau tidak mengandungi apa-apa gambaran yang boleh dilihat;
(c) apa-apa jua yang mengikut rupa, bentuknya atau dengan apa jua cara boleh membayangkan kata-kata atau idea; dan
(d) rakaman suara;

“hasil penerbitan larangan” ertinya apa-apa hasil penerbitan yang telah dilarang di bawah subseksyen 7(1) dan termasuk apa-apa salinan, penghasilan semula, cabutan atau apa-apa terjemahan, ringkasan karangan atau parafrasanya;

“permit” ertinya permit yang diberi di bawah perenggan 6(1)(a) atau (b);

“rakaman suara” ertinya apa-apa bahan yang padanya direkodkan suara manusia atau muzik instrumental atau bunyi lain dan termasuklah piring hitam, pita dan ceper laser;

“tuan punya” ertinya tuan punya tunggal mana-mana akhbar dan juga orang yang, sebagai pekongsi atau selainnya, mewakili dan bertanggungjawab atas apa-apa syer atau kepentingan dalam akhbar antara mereka sendiri dan orang yang dengan cara serupa itu mewakili atau bertanggungjawab atas syer atau kepentingan lain di dalamnya dan bukan orang lain.

Bahagian II
PELESENAN MESIN CETAK

Lesen untuk mengguna mesin cetak

3. (1) Tiada seorangpun boleh menyimpan untuk digunakan atau mengguna mesin cetak melainkan jika dia telah diberi lesen di bawah subseksyen (3).

(2) Bagi maksud seksyen ini, “mesin cetak” ertinya mesin, perkakas atau benda untuk mencetak, menyalin atau menghasil semula apa-apa dokumen yang diperihalkan dalam Jadual I.


(3) Menteri boleh memberi kepada mana-mana orang suatu lesen bagi menyimpan mesin cetak untuk digunakan atau menggunakan mesin cetak dan dia boleh menolak mana-mana permohonan untuk mendapatkan lesen sedemikian atau boleh pada bila bila masa membatalkan atau menggantung lesen itu selama apa-apa tempoh yang difikirkannya wajar.

(4) Mana-mana orang yang menyimpan untuk digunakan atau menggunan mesin cetak tanpa lesen sah yang diberi di bawah subseksyen (3), atau berlanggaran dengan mana-mana syarat yang dikenakan di dalamnya, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau keduaduanya dan deposit yang disimpan di bawah seksyen 10 boleh dilucut hak.

(5) Mesin cetak yang disimpan untuk digunakan atau digunakan yang berkenaan dengannya tiada lesen telah diberi boleh diperintahkan supaya dilucut hak oleh mahkamah walau tiada seorang pun disabitkan atas sesuatu kesalahan dan jika tidak ada pendakwaan maka mesin cetak itu boleh dilupuskan mengikut seksyen 19.

(6) Bagi maksud seksyen ini pemunya, penduduk dan mana-mana orang yang mempunyai penjagaan atau pengurusan atau membantu dalam pengurusan mana-mana premis dalam mana mesin cetak itu terjumpa hendaklah disifatkan telah menyimpannya untuk digunakan sehingga dia membuktikan sebaliknya.

(7) Menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta meminda Jadual I.

(8) Tiada apa jua dalam seksyen ini boleh meliputi perteraan apaapa ukiran atau pencetakan apa-apa kad kunjungan atau kad niaga, kepala bil atau kepala surat, atau apa-apa jua surat, memorandum atau dokumen, yang ditaip, dicetak, atau dihasil semula mengikut perjalanan biasa perniagaan, iaitu bukannya perniagaan percetakan atau penerbitan, atau bagi apa-apa jua tujuan atau maksud lain yang sah.

Mesin cetak yang digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang

4. (1) Mana-mana orang yang mencetak atau menghasilkan atau menyebab atau membenarkan dicetak atau dihasilkan dengan mengguna mesin cetak atau mesinnya apa-apa hasil penerbitan atau dokumen —

(a) yang lucah atau selainnya bertentangan dengan kesopanan awam; atau
(b) yang mengandungi perkara pengapian terhadap orang atau harta, menggalakkan pencabulan undang-undang atau terhadap apa-apa perintah yang sah di sisi undang-undang atau yang melakukan pecah keamanan atau yang mungkin membawa kepada pecah keamanan atau menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian, ketidakharmonian atau pecah belah,

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

(2) Walaupun terdapat mana-mana undang-undang yang berlawanan, mana-mana mesin cetak atau mesin yang digunakan untuk mencetak apa-apa hasil penerbitan atau dokumen yang menjadi hal perkara sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) atau apa-apa peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang dinyatakan dalam Jadual II boleh diperintahkan supaya dilucut hak oleh mahkamah walaupun tiada seorangpun disabitkan atas sesuatu kesalahan.

Bahagian III
PERMIT UNTUK MENERBITKAN AKHBAR

Kesalahan untuk mencetak, mengimport, menerbit dsb. akhbar tanpa permit

5. (1) Tiada seorangpun boleh mencetak, mengimport, menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar atau menawar untuk menerbitkan, menjual, mengelilingi atau mengedar apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau Singapura melainkan jika permit di bawah perenggan 6(1)(a) atau (b) telah diberi oleh Menteri berkenaan dengan akhbar itu.

(2) Mana-mana orang yang —

(a) mencetak apa-apa akhbar yang berkenaan dengannya permit telah tidak diberi atau yang berkenaan dengannya permit telah dibatalkan atau digantung; atau
(b) mengimport, menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar, atau menawar untuk menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu, apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau Singapura yang berkenaan dengannya tiada permit telah diberi atau yang berkenaan dengannya permit telah dibatalkan atau digantung,

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

Pemberian permit

6. (1) Menteri boleh memberi —

(a) kepada mana-mana orang suatu permit untuk mencetak dan menerbitkan akhbar di Malaysia; atau
(b) kepada mana-mana tuan punya mana-mana akhbar di Singapura suatu permit membenarkan akhbar itu diimport, dijual, dikelilingi atau diedar di Malaysia.

(2) Menteri boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung sesuatu permit selama sesuatu tempoh yang difikirkannya wajar.

(3) Menteri boleh mengenakan sebagai satu syarat pemberian permit yang tuan punya akhbar di Singapura hendaklah menubuhkan dan menyenggara suatu tempat perniagaan di dalam Malaysia atau hendaklah melantik orang di dalam Malaysia yang diberi kuasa untuk menerima penyampaian apa-apa notis atau proses undang-undang bagi pihak tuan punya dan hendaklah memberi kepada Menteri senarai yang mengandungi nama dan alamat orang itu dan menyebabkan disiarkannya mengikut apa-apa cara sebagaimana diarahkan oleh Menteri.

Bahagian IV
KAWALAN HASIL PENERBITAN TIDAK DIINGINI

Hasil penerbitan tidak diingini

7. (1) Jika Menteri berpuas hati bahawa apa-apa hasil penerbitan mengandungi apa-apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, kenyataan atau apa-apa perkara lain yang mengikut apa-apa jua cara memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang berlawanan atau mungkin berlawanan dengan mana-mana undangundang atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara, dia boleh menurut budi bicara mutlaknya melalui perintah yang disiarkan dalam Warta melarang, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditetapkan, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran itu dan hasil pengeluaran masa hadapan penerbit yang berkenaan.

(2) Berkenaan dengan hasil penerbitan yang bermula di manamana negara di luar Malaysia, suatu perintah di bawah subseksyen (1) boleh, jika perintah itu memperuntukkan sedemikian —

(a) melarang pengimportan mana-mana atau semua hasil penerbitan sama ada sebelum atau selepas tarikh perintah itu, dengan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditetapkan di dalamnya;
(b) berkenaan dengan hasil penerbitan berkala, melarang pengimportan mana-mana keluaran masa lalu atau masa depan;
(c) berkenaan dengan hasil penerbitan yang telah dikeluarkan atau nampaknya atau berupa sebagai telah dikeluarkan dari mana-mana gedung penerbitan, agensi penerbitan atau sumber lain yang dinyatakan dalam perintah itu, melarang pengimportan apa-apa hasil penerbitan lain yang mungkin pada bila-bila masa sama ada sebelum atau selepas tarikh perintah itu telah dikeluarkan, atau nampaknya atau berupa telah dikeluarkan, dari gedung penerbitan, agensi penerbitan atau sumber lain yang dinyatakan itu;
(d) menghendaki penerbitnya supaya membuat apa-apa deposit sebanyak amaun dan mengikut apa-apa cara sebagaimana ditetapkan di dalamnya sebelum apa-apa hasil penerbitan itu boleh diimport.

(3) Jika Menteri berpuas hati bahawa penerbit mana-mana hasil penerbitan telah bertindak bersalahan dengan Akta ini atau manamana kaedah atau perintah yang dibuat di bawahnya atau manamana syarat lesen atau permit atau mana-mana undang-undang berhubungan dengan hasutan atau fitnah, maka setelah memberikan peluang kepada penerbit itu untuk menunjukkan sebab mengapa deposit yang dibuat di bawah perenggan (2)(d) tidak patut dilucuthakkan, dia boleh memerintahkan supaya deposit itu atau sebahagian daripadanya dilucut hak.

(4) Sama ada atau tidak suatu perintah telah dibuat di bawah subseksyen (3) mahkamah boleh memerintahkan deposit itu atau apaapa bakinya, jika ada —

(a) dilucuthakkan jika penerbit tidak hadir di mahkamah untuk menjawab apa-apa pertuduhan jenayah atau tindakan sivil berhubungan dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan hasil penerbitan itu; atau
(b) dibayar sebagai penyelesaian apa-apa penghakiman yang didapatinya terhadap penerbit yang berbangkit daripada apa-apa prosiding yang berkaitan dengan hasil penerbitan itu.

(5) Jika deposit yang dibuat di bawah perenggan (2)(d) diperintahkan supaya dilucut hak atau digunakan sebagai penyelesaian apa-apa ganti rugi di bawah subseksyen (3) atau (4), perintah larangan di bawah subseksyen (1) hendaklah menjadi mutlak melainkan jika penerbit membuat deposit selanjutnya sebagaimana dikehendaki oleh Menteri.

(6) Seseorang penerbit tempatan atau asing adalah bertanggungjawab dan bertanggungan atas apa-apa tindakan berkenaan dengan apa-apa bahan yang disiarkan dalam hasil penerbitannya.

Kesalahan

8. (1) Mana-mana orang yang tanpa sebab yang munasabah didapati memiliki apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

(2) Mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

Kesalahan kerana menyiarkan berita yang tidak benar

8A. (1) Jika dalam apa-apa hasil penerbitan ada disiarkan dengan niat jahat apa-apa berita yang tidak benar, maka pencetak, penerbit, penyunting dan penulis berita itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

(2) Bagi maksud seksyen ini, hendaklah dianggap ada niat jahat sekiranya tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa sebelum penerbitannya tertuduh telah mengambil langkah yang munasabah untuk menentusahkan kebenaran berita itu.

(3) Tiada pendakwaan kerana sesuatu kesalahan di bawah seksyen ini boleh dimulakan tanpa keiznan bertulis Pendakwa Raya.

Pengharaman hasil penerbitan

8B. Jika mana-mana orang telah didapati bersalah oleh mana mana mahkamah atas apa-apa kesalahan berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan dalam apa-apa hasil penerbitan, adalah sah bagi mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, memerintahkan supaya diharamkan hasil penerbitan itu selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan dari penerbitan itu.

Penggantungan hasil penerbitan

8C. (1) Sementara menanti selesainya apa-apa prosiding bagi pendakwaan pencetak, penerbit, penyunting atau penulis di hadapan mana-mana mahkamah kerana apa-apa kesalahan berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan dalam apa-apa hasil penerbitan, adalah sah bagi mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, memerintahkan supaya hasil penerbitan itu digantung.

(2) Jika rayuan dibuat terhadap perintah pembebasan mana-mana orang yang dipertuduh atas sesuatu kesalahan berkenaan dengan apaapa jua yang disiarkan dalam apa-apa hasil penerbitan, adalah sah bagi mahkamah yang akan mendengar rayuan itu, atas permohonan Pendakwa Raya, memerintahkan supaya hasil penerbitan itu digantung selanjutnya sementara menanti pemberesan muktamad rayuan itu.

(3) Mana-mana orang yang melanggar sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau keduaduanya.

Hasil penerbitan tidak diingini boleh ditolak daripada diimport

9. (1) Tanpa menjejaskan apa-apa jua dalam Akta ini, Menteri boleh menolak pengimportan ke dalam Malaysia atau menahan penghantarserahan atau mengembalikan kepada pengirimnya di luar Malaysia apa-apa hasil penerbitan yang dia berpuas hati mengandungi apa-apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, kenyataan atau apa-apa perkara lain yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undangundang atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.

(2) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), Menteri boleh membenarkan pengimportan atau penyerahhantaran apa-apa hasil penerbitan setelah mana-mana bahagian daripada hasil penerbitan yang difikirkannya tidak diingini mengikut apa jua alasan seperti dinyatakan dalam subseksyen (1) itu telah dihapus, dipotong, dipadam atau dibuangkan hingga memuaskan hatinya.

(3) (Dipotong oleh Akta A684).

Menahan penghantarserahan sementara menanti keputusan Menteri

9A. Jika seseorang pegawai kanan berkuasa dengan munasabahnya mengesyaki bahawa sesuatu hasil penerbitan mengandungi apa-apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, kenyataan atau apa-apa perkara lain yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara, dia boleh menahan penghantarserahan hasil penerbitan itu sementara menanti keputusan Menteri untuk memperlakukannya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 9.

Bahagian V
PELBAGAI

Deposit

10. Seseorang yang diberi lesen atau permit di bawah Akta ini mungkin dikehendaki oleh Menteri, sebelum dikeluarkan lesen atau permit itu, supaya mendeposit dengan Kerajaan sekian amaun sebagaimana ditetapkan secara khas atau am melalui kaedah-kaedah dan amaun itu atau mana-mana bahagiannya boleh dilucut hak oleh mahkamah apabila berlakunya apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya atau sekiranya berlaku pemelanggaran terhadap mana-mana syarat lesen itu.

Dokumen bercetak hendaklah mengandungi nama pencetak dan penerbit

11. (1) Tiap-tiap hasil penerbitan yang dicetak atau diterbitkan dalam Malaysia hendaklah dicetakkan nama dan alamat pencetak dan penerbitnya dengan mudah dibaca dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris pada lembaran pertama atau akhir.

(2) Tiada seorang pun boleh menerbit, menghasil semula, menjual, mengeliling atau mengedar, atau menawarkan untuk menerbit, menghasil semula, menjual, mengeliling atau mengedar apa-apa hasil penerbitan yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak dan penerbit, atau berkenaan dengan rakaman suara, nama dan alamat pengeluar dicetak dengan jelasnya pada kulit atau bekas dan manamana orang yang bertindak dengan melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya.

(3) Berkenaan dengan hasil penerbitan yang diimport ke dalam Malaysia maka adalah menjadi pematuhan yang cukup akan seksyen ini kiranya nama pencetak, penerbit atau pengeluar dicetak dengan jelas pada mana-mana bahagian hasil penerbitan atau bekas itu.

Kesahan lesen dan permit

12. Suatu lesen atau permit yang diberikan di bawah Akta ini hendaklah tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang diendorskan dalam lesen atau permit itu dan hendaklah kekal sah selagi lesen atau permit itu tidak dibatalkan.

Pembatalan, penggantungan dan pemindahan lesen atau permit

13. (1) Tanpa menjejaskan kuasa Menteri untuk membatal atau menggantung lesen atau permit di bawah mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, jika Menteri berpuas hati bahawa mana-mana mesin cetak yang berkenaan dengannya lesen itu telah dikeluarkan adalah digunakan untuk mencetak mana-mana hasil penerbitan yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara atau bahawa mana-mana akhbar yang berkenaan dengannya permit telah dikeluarkan mengandungi apa-apa jua yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara, dia boleh membatalkan lesen atau permit itu.

(2) Tertakluk kepada subseksyen (3), tiada lesen atau permit boleh dengan apa jua cara dipindah, diserah hak atau selainnya diletakkan di bawah kawalan mana-mana orang lain daripada orang yang lesen atau permit itu pada mula-mulanya diberi melainkan jika Menteri membenarkan sedemikian dan mana-mana pemegang yang melanggar subseksyen ini boleh, dibatalkan atau digantung lesen atau permitnya.

(3) Jika sekiranya berlaku kematian, ketidakupayaan, kebankrapan atau, dalam hal suatu syarikat, penyelesaian ke atas pemegang lesen atau permit itu, atau jika seorang penerima atau pengurus dilantik berhubungan dengan perniagaan pemegang lesen itu, atau jika kerana apa jua sebab Menteri berpuas hati bahawa tidak patut tidak melakukan sedemikian, Menteri boleh membenarkan lesen atau permit itu dipindahkan.

Keputusan Menteri adalah muktamad

13A. (1) Apa-apa keputusan Menteri untuk menolak daripada memberikan atau untuk membatalkan atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah muktamad.

(2) Bagi maksud seksyen ini “keputusan” termasuklah apa-apa perintah atau arahan yang dibuat oleh Menteri di bawah Akta ini.

Hak untuk didengar

13B. Seseorang yang diberikan suatu lesen atau permit di bawah Akta ini hendaklah diberi suatu peluang untuk didengar sebelum suatu keputusan untuk membatalkan atau menggantung lesen atau permit itu dibuat di bawah subseksyen 3(3), 6(2) atau 13(1), mengikut manamana yang berkenaan. Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/18 Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/19 Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/20 Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/21 Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/22 Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/23

Jadual I

[Subseksyen 3(2)]

Ceparas, Litografi, Gravur, Intaglio atau apa-apa proses percetakan lain yang boleh mencetak dengan kadar 1,000 teraan sejam atau lebih.


Jadual II

[Subseksyen 4(2)]

Kanun Keseksaan Seksyen 255

Melancung cap Kerajaan.

Seksyen 292

Menjual, dsb. buku lucah, dsb.

Seksyen 298A

Menyebabkan, dsb. ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan benci, marah, niat jahat atau memudaratkan, dsb. pengekalan keharmonian atau perpaduan atas alasan agama.

Seksyen 464

Membuat dokumen palsu.

Seksyen 466

Pemalsuan rekod mahkamah, atau Daftar Beranak awam, dsb.

Seksyen 467

Pemalsuan cagaran berharga atau wasiat.

Seksyen 468

Pemalsuan bagi maksud menipu.

Seksyen 469

Pemalsuan bagi maksud merosakkan reputasi manamana orang.

Seksyen 489A

Memalsu atau melancung wang kertas mata wang atau wang kertas bank.

Seksyen 499

Fitnah.

Seksyen 501

Mencetak atau mengukir perkara yang diketahui memfitnahkan.

Akta Hasutan 1948 Perenggan 4(1)(c)

Mencetak apa-apa penerbitan menghasut. Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/25 Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/26 Laman:Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).pdf/27